Kelas Sebalik Talian

Bulan Mac lepas menyaksikan para pelajar institut pengajian tinggi (IPT) memasuki semester baru, menandakan sudah setahun kelas dalam talian dijalankan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020. Tenaga pengajar dan pelajar yang sebelum ini tidak pernah menggunakan Google Meet, Zoom atau Webex sudah agak mahir dengan platform di atas. Kekalutan dan huru-hara yang dialami sebelum ini mungkin dapat dikurangkan dan kerjasama antara pelajar serta pensyarah seharusnya lebih baik.

Setelah berbulan-bulan kedua-dua pihak IPT dan pelajar mengharungi fasa baru ini, pelbagai masalah yang telah berakar dalam masyarakat kita timbul dengan drastik dan jelas, bagai sabut di dasar sungai yang akhirnya terlepas dari batu besar. Tahap capaian internet adalah antara masalah terbesar mereka hadapi baik daripada pihak pelajar mahupun pensyarah yang terpaksa ulang-alik ke kampus sewaktu PKP semata-mata mendapatkan capaian internet yang lebih baik. Dalam hal ini, pelbagai medium digunakan pensyarah untuk kelas dalam talian masing-masing.

Banyak ‘jenama’ dipakai untuk melabel proses kelas dalam talian ini seperti Open and Distance Learning (ODL) yang menawarkan proses pembelajaran melalui dalam talian yang lebih fleksibel dan terbuka demi membantu meringankan beban pelajar. Tugasan-tugasan setiap subjek juga mula diubah bersesuaian dengan pendekatan dalam talian serta keadaan pelajar.

Dengan segala masalah yang telah timbul dan semua sedia maklum, pun begitu melalui pengamatan saya sebagai seorang pelajar, antara kesan secara langsungnya adalah penamatan pengajian oleh pelajar akibat kesan kelas dalam talian selain turut dipengaruhi status ekonomi keluarga dalam tempoh PKP. Dalam fakulti saya sahaja sekurang-kurangnya 10 orang pelajar telah mengambil keputusan untuk menamatkan pengajian ketika fasa kelas dalam talian dijalankan. Walaupun tidak ada data rasmi daripada pihak universiti namun kita tidak dapat menolak tekanan kelas dalam talian antara faktor penyumbang pelajar-pelajar ini akhirnya berhenti belajar sedangkan sudah setahun dalam pengajian.

Teringat saya sewaktu ketika kelas dalam talian berjalan, kami semua dikehendaki membuka kamera dan saya dapat melihat salah seorang rakan kami sedang di pasar pagi membantu ibu bapanya menjual barang dapur. Walaupun matanya melilau dan tubuhnya ke sana-sini melayan pelanggan tetapi masih mampu tersenyum dan aktif bertanya kepada pensyarah, sedikit pun dia tidak kelihatan penat dan malu. Ini secara tidak langsung memberi semangat pada saya dan pada masa sama kagum dengan rakan-rakan lain yang sedang berjuang dalam pelajaran dan membantu ekonomi keluarga, doa saya supaya perniagaannya laku keras. Pensyarah kami juga memberi kata-kata semangat kepadanya selain berkongsi pengalamannya bekerja sambilan semasa menuntut. Hanya di hujung semester saya mendapat tahu bahawa dia telah menamatkan pengajian, saya sangat terkejut.

Jumlah pelajar yang menamatkan pengajian di tengah jalan hanya sedikit bukti kepayahan kelas dalam talian yang tidak membenarkan pensyarah dan pelajar bersemuka. Sebagai manusia, kita tidak dapat lari daripada mengadakan interaksi secara fizikal atau sekurang-kurangnya melihat wajah masing-masing tanpa sempadan skrin. Penerangan pensyarah melalui webcam dan pesanan suara serta teks terasa kurang bermakna jika dibandingkan di bilik kuliah.

Walaupun begitu, masalah rangkaian telekomunikasi hanya menambah garam pada luka. Kelas dalam talian mungkin tidak seefektif kelas bersemuka namun jika akses terhadap internet pun turut bermasalah, bagaimana lagi pelajar boleh berhubung dengan pensyarah dan menyertai kuliah?

Saya tidak mempunyai banyak jari untuk menuding salah siapa namun dalam kebanyakan hierarki, kerajaanlah yang berada di atas sekali yang seharusnya menyediakan fasiliti terbaik terutamanya di luar bandar agar dapat membantu para pelajar dan tenaga pengajar menjalani proses pembelajaran yang berkesan. Veveonah adalah simbol hidup pada masalah ini – isu yang telah lama wujud namun terus diabai pihak berwajib sehinggalah ia menjadi sensasi di internet barulah pihak tertentu turun padang menyelesaikannya (dengan begitu pantas).

Ruang Beridentiti

Namun, sekali pun semua masalah berkaitan capaian internet selesai, seluruh kawasan ceruk di Malaysia ini mampu mendapat rangkaian 4G seperti diiklan di TV, masalah peribadi berkaitan identiti dan ruang akan terus menghantui mereka.

Semua ini tidak pernah dihadapi prakoronavirus, pelajar di rumah sewa atau kolej hanya fokus pada kelas, menyiapkan tugasan pada ketika lain dan terlibat dalam aktiviti sosial bersama rakan dalam waktu senggang. Pensyarah dapat hadir ke kampus, menanda jawapan, menyiapkan tugasan berkaitan pengurusan, dan ke kelas tanpa tangisan anak kecil di sisi. Sekali lagi, tidak ada mana-mana pihak saya mahu tudingkan jari untuk dipersalah.

Memetik Sazni (2020), dilema terbesar pembelajaran dalam talian adalah ruang dan identiti. Kita sering bersetuju dengan ungkapan bahawa manusia hanyalah pelakon di dunia yang bertindak sebagai pentas. Jika dahulu seorang gadis ialah anak, adik atau kakak sewaktu di rumah kemudian menjadi seorang pelajar di kampus dan bila tiba di restoran makanan segera dia ialah seorang pekerja sambilan yang memenuhi pesanan pelanggan. Semua identiti ini walaupun bertindih tetapi masih bersempadan dengan ruang dan waktu yang berbeza. Dengan kelas dalam talian, seorang pensyarah yang merupakan seorang ibu kepada 3 anak kecil juga ialah isteri yang perlu memasak dan mengemas rumah, anak yang menjaga orang tuanya dan guru kepada pelajarnya, semua ini dalam satu ruang – rumah. Pertindihan tanggungjawab dalam masa dan ruang yang sama ini membebankan mental dan fizikal lebih berbanding norma yang dulu.

Saya tidak menolak ada pelajar yang mengambil kesempatan dengan sambil lewa meninggalkan kelas tanpa alasan kerana bergantung pada rakaman kelas tersebut tetapi dalam mana-mana pihak pun pastinya ada yang bermasalah. Tujuan tulisan ini dikongsi pun bukanlah meminta bantuan menteri yang berpengalaman tinggal di Australia selama 20 tahun atau pegawai tertinggi yang gigih merapatkan silaturahim dengan mahasiswa dengan aplikasi terkini atau juga pengerusi majlis perwakilan pelajar kebangsaan untuk menekan pihak sepatutnya melihat masalah ini dengan lebih teliti. Saya menulis kerana saya antara yang beruntung tidak perlu menghadapi masalah akses internet di rumah, tidak perlu bertelagah dengan adik-beradik, makan hati dengan ibu bapa yang tidak memahami tanggungjawab saya sebagai pelajar mahupun tertekan kerana ahli kumpulan lain tidak memberi respons. Saya tidak perlu menghadapi semua itu untuk menghabiskan semester tetapi melihat rakan-rakan lain bersusah-payah keluar sehingga 10km untuk capaian internet untuk latihan temuduga, dimarahi pensyarah atas perkara yang bukan tanggungjawabnya, menangis kerana tertekan melihat rakan-rakan lain mampu menjawab soalan dalam sesi Google Meet sedangkan dia masih terkapai-kapai memahami topik, terpaksa meninggalkan kelas kerana membantu bapa mencari rezeki sehingga akhirnya ada memilih untuk menamatkan pengajian.

Dilema-dilema ini bukan hanya dirasai oleh pelajar semata-mata namun kadang-kala lebih membebankan para pensyarah. Berkejar-kejar mencari pelajar yang sudah beberapa kali tidak sertai kelas, tidak memberi sebarang respons, mengajar di hadapan skrin sambil berjaga-jaga kalau-kalau anak kecilnya bermain bahaya, terpaksa menangguh kelas kerana menjaga isteri di hospital, memenuhi tuntutan audit dan acara yang bakal tiba, ditekan orang-orang berjawatan lebih tinggi untuk melakukan pekerjaan di luar bidang dan sebagainya. Dengan semua transaksi dan kejadian berlaku dalam talian di norma baru ini, jelas ada yang meraih untung berlipat ganda namun ramai juga dihimpit berkali-ganda berbanding dulu. Semua ini bila ditimbang-tara dan difikir baik, saya sering bertanya pada takdir, apakah senang kalau kita semua dilahirkan sebagai anak menteri?

Rujukan
Mohd Sazni Ahmad Salehudin (2020). Compression of Space: Reflection on Teaching During Pandemic Pedagogy. Kyoto Review of Southeast Asia, (29).

Aminuddin Zain adalah seorang siswa dan pembaca Solidaritas.

Komen