Program Jualan Rahmah adalah cetusan idea Allahyarham Datuk Seri Haji Salahuddin Ayub, mantan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Idea Jualan Rahmah adalah untuk membantu rakyat mendapatkan bekalan barangan keperluan harian pada harga 10% hingga 30% lebih murah dari harga biasa pasaran.
Program Jualan Rahmah diadakan secara jelajah bergerak dari satu tempat ke satu tempat di seluruh negara.
Para pengguna dapat memanfaatkan inisiatif ini dalam merancang perbelanjaan mereka dan mendapatkan barangan keperluan harian pada harga yang lebih murah.
Bagi menjayakan Jualan Rahmah, Kerajaan Perpaduan MADANI telah memperuntukkan sebanyak RM150 juta untuk ianya dijalankan sepanjang tahun.
Mengikut laporan KPDN, Jualan Rahmah telah dianjurkan di hampir 4,000 lokasi di seluruh negara setakat 30 November 2023.
Sejumlah 5.6 juta pengunjung Jualan Rahmah telah direkodkan di kesemua jelajah yang telah diadakan.
Dari segi jualan, KPDN merekodkan jualan barangan keperluan harian sebanyak RM178.6 juta sehingga 30 November 2023.
Terbukti Program Jualan Rahmah mendapat sambutan yang menggalakkan dari kalangan rakyat dan ia nyata sekali benar-benar membantu dalam menawarkan barangan keperluan pada harga murah demi kesenangan poket rakyat.
KPDN komited untuk menghabiskan peruntukan program ini sebanyak RM150 juta supaya dapat dimanfaatkan oleh seluruh rakyat Malaysia.