Hari ini, kita mendapati segelintir masyarakat Islam di Malaysia mencurigai masyarakat Kristian atau Sikh di mana penggunaan kalimah Allah dilarang untuk penganut selain Islam. Selain kecurigaan, alasan penggunaan kalimah Allah untuk bukan Islam ditolak kerana kata Allah tersebut membawa konotasi berbeza antara penganut Islam dan penganut agama lain.
Terdapat paling tidak dua subjek yang sering muncul ketika membincangkan isu penggunaan kalimah Allah oleh non Muslim. Iaitu hujah agama dan sejarah. Subjek atau hujah yang paling sering ditampilkan adalah hujah agama. Penjelasan yang jernih mengenai isu ini dapat difahami dengan mengamati wacana tauhid itu sendiri.
Hal pertama yang perlu difahami adalah fakta; bahawa tauhid, dan kemusyrikan memiliki tingkat atau tahap masing-masing. Seseorang yang telah melepasi semua tahap dalam tauhid ini akan dipandang sebagai ahli tauhid (muwahhid).
Rata-rata perbincangan yang menolak penggunaan kalimah Allah oleh non muslim lebih tertumpu kepada aspek tauhid dalam ibadah. Aspek atau tingkatan tauhid dalam ibadah yang disebutkan tadi sepatutnya menduduki tahap atau perbincangan terakhir dalam wacana ini.
Tahap yang pertama yang perlu dikehadapankan adalah tauhid Zat Allah. Apa yang diertikan dengan tauhid atau keesaan Zat Allah adalah, Allah Esa dalam Zat-Nya. Oleh kerana itu, kesan kefahaman tadi membawa pengertian Allah berdikari. Allah dengan itu adalah Wujud yang tidak bergantung kepada apa dan siapa pun, dan dalam bentuk apa pun. Allah adalah Ghani (Absolut). Oleh kerana Allah adalah Absolut, segala sesuatu bergantung kepada-Nya dan memerlukan pertolongan-Nya. Allah dengan itu juga tidak memerlukan segala sesuatu. Dalam hal ini Allah berfirman:
‘Wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dialah sahaja Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji (al Faatir: 15).’
Ahli falsafah menerangkan kesan di atas sebagai, Allah itu eksis sendiri, atau sebagai wujud yang eksistensinya wajib.
Setelah menghadami penjelasan di atas, impak kedua tentang Allah untuk kita; bahawa Allah adalah Pencipta. Allah merupakan Pencipta dan sumber akhir segala yang ada. Segala sesuatu dengan itu adalah daripada-Nya. Allah, dengan itu bukan dari apa pun dan bukan daripada siapa pun. Secara falsafahnya, Allah adalah ‘Sebab Pertama’.
Oleh kerana Allah adalah sumber akhir segala yang ada, ia juga menjelaskan tingkatan Tauhid Zat Allah sebagai kebenaran ini hanya satu, dan tidak ada yang menyerupai-Nya. Poin penting ini telah ditegaskan, di mana Al-Qur’an menfirmankan:
‘Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (DzatNya sifat-sifatNya, dan pentadbiran (asy-Syûrâ: 11)’
atau pada ayat suci al-Quran;
‘Dan tidak ada sesiapun yang setara dengan-Nya (al-Ikhlâas: 4).’
Formula bahawa sesuatu yang ada akan selalu menjadi bahagian daripada sesuatu spesis hanya berlaku pada ciptaan atau makhluk sahaja. Sebagai contoh, jika sesuatu itu bahagian dari spesis manusia, maka dapat digambarkan bahawa sesuatu itu adalah anggota dari spesis manusia ini. Walaubagaimanapun untuk Wujud Yang Ada Sendiri, gambaran atau bayangan seumpama itu tidak dapat dilakukan. Allah berada di luar semua fikiran sedemikian. Oleh sebab kebenaran yang ada Sendiri itu satu, maka sumber dan tujuan alam semesta juga hanya satu. Secara mudahnya, seisi alam semesta bukanlah berasal dari berbagai-bagai sumber. Bahkan juga tidak akan kembali ke berbagai-bagai sumber. Alam semesta berasal dari satu sumber dan satu kebenaran. Allah berfirman:
‘Katakanlah: Allah jualah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dialah Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa (ar-Ra’d: 16)’.
Selain itu terdapat juga ayat al-Quran yang berbunyi terjemahannya sebagai:
‘Ingatlah kepada Allah jualah kembali segala urusan (Asy-Syûrâ: 53).’
Dalam hal ini, dapat difahami alam semesta memiliki satu pusat. Iaitu hubungan antara Allah dan alam semesta adalah hubungan antara Pencipta dan makhluk. Hubungan ini adalah hubungan sebab dan akibat. Ia bukan sepertinya hubungan antara cahaya dan mentol lampu. Hubungan Allah dengan alam semesta adalah tidak terpisahkan. Allah bersama segala sesuatu. Allah berfirman terjemahannya:
‘Dan Ia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada (al-Hadîid: 4)’.
Sekali lagi, harus difahami ketidakterpisahan Allah dari alam semesta tersebut tidaklah bermakna yang Allah bagi alam semesta itu adalah seperti cahaya bagi mentol lampu. Sekiranya ketidakterpisahan Allah itu ibarat cahaya dari mentol lampu maka ini bermakna Allah merupakan kesan atau efek dari alam semesta, bukan sebab dari alam semesta; ini kerana cahaya adalah efek dari mentol lampu. Hanya makhluk sahaja yang mempunyai sifat yang adanya kerana sesuatu yang lain. Allah adalah bebas dari semua itu. Al-Qur’an menjelaskan, terjemahannya:
‘Akuilah kesucian Tuhanmu, Tuhan yang mempunyai keagungan dan kekuasaan, – dari apa yang mereka katakan (as-Saâffaât: 180)’.
Tahap atau tingkatan seterusnya dalam memahami kedudukan Allah sebagai pencipta adalah wacana mengenai Tauhid dalam Sifat-sifat Allah. Tauhid Sifat-sifat Allah adalah mengakui bahwa Zat dan Sifat-sifat Allah itu identik, dan bahawa berbagai-bagai Sifat-Nya itu tidak terpisah antara satu sama lain. Seperti yang difahami, Tauhid Zat adalah menafikan adanya apa pun yang seumpama Allah. Tauhid Sifat-sifat-Nya adalah menafikan adanya kepelbagaian di dalam Zat-Nya. Seperti yang dimaklum oleh umat Islam, Allah memiliki segala sifat yang menunjukkan keperkasaan, kesempurnaan dan keindahan. Namun dalam Sifat-sifat-Nya tak ada segi pun yang benar-benar terpisah dari-Nya. Ini harus difahami dengan lumat, kerana keterpisahan zat dari sifat-sifat dan keterpisahan sifat-sifat dari satu sama lain merupakan kriteria khas keterbatasan eksistensi, dan tidak mungkin terjadi pada eksistensi yang tak terbatas. Oleh kerana itu, pluralitas, perpaduan dan keterpisahan zat dan sifat-sifat tak mungkin terjadi pada Wujud Mutlak. Saidina Ali bin Abi Thalib menjelaskan persoalan Tauhid Sifat-sifat Allah ini di dalam salah satu khutbahnya yang diterjemah ke bahasa Inggeris:
Praise is due to Allah whose worth cannot be described by speakers, whose bounties cannot be counted by calculators and whose claim (to obedience) cannot be satisfied by those who attempt to do so, whom the height of intellectual courage cannot appreciate, and the divings of understanding cannot reach; He for whose description no limit has been laid down, no eulogy exists, no time is ordained and no duration is fixed. He brought forth creation through His Omnipotence, dispersed winds through His Compassion, and made firm the shaking earth with rocks.
Dalam petikan khutbah di atas, Saidina Ali menjelaskan Allah tidak dapat dimengerti sepenuhnya, Allah tidak dapat dicapai oleh kecerdasan, dan akhirnya beliau menegaskan, yang tidak ada kata-kata dapat menggambarkan Allah dengan utuh. Dalam khutbah yang sama Saidina Ali bin Abi Thalib menghuraikan yang Allah memiliki Sifat-sifat, namun diperintahkan untuk tidak mengaitkan sifat-sifat kepada-Nya. Sifat-sifat yang dimiliki-Nya tidak terbatas seperti mana Allah itu tidak terbatas. Juga, Sifat-sifat yang dimiliki-Nya itu identik dengan Zat-Nya, dan sifat-sifat yang tidak dimiliki-Nya adalah sifat-sifat yang terbatas dan terpisah dari Zat-Nya dan terpisah satu sama lain. Sehubungan dengan itu, Tauhid dalam Sifat-sifat Allah bererti mengakui bahawa Zat Allah dan Sifat-sifat-Nya adalah satu. Penjelasan Saidina Ali tersebut dapat ditemui dalam petikan khutbah yang sama;
‘The foremost in religion is the acknowledgement of Him, the perfection of acknowledging Him is to testify Him, the perfection of testifying Him is to believe in His Oneness, the perfection of believing in His Oneness is to regard Him Pure, and the perfection of His purity is to deny Him attributes, because every attribute is a proof that it is different from that to which it is attributed and everything to which something is attributed is different from the attribute. Thus whoever attaches attributes to Allah recognises His like, and who recognises His like regards Him two; and who regards Him two recognises parts for Him; and who recognises parts for Him mistook Him; and who mistook Him pointed at Him; and who pointed at Him admitted limitations for Him; and who admitted limitations for Him numbered Him. Whoever said in what is He, held that He is contained; and whoever said on what is He held He is not on something else. He is a Being but not through phenomenon of coming into being. He exists but not from non-existence. He is with everything but not in physical nearness. He is different from everything but not in physical separation. He acts but without connotation of movements and instruments. He sees even when there is none to be looked at from among His creation. He is only One, such that there is none with whom He may keep company or whom He may miss in his absence’.
Tahap seterusnya adalah Tauhid dalam Perbuatan Allah. Tauhid dalam perbuatan-Nya bermakna mengakui bahawa alam semesta dengan seluruh sistemnya, perjalanannya, kausalitinya, adalah merupakan perbuatan Allah sahaja. Justeru terwujud kerana kehendak-Nya. Dalam hal ini, kita menjadi jelas bahawa dalam alam semesta ini tidak ada satu pun yang ada dengan sendiri. Segala sesuatu bergantung kepada-Nya. Ini kerana Allah adalah pemelihara alam semesta. Dalam konteks sebab-akibat, segala yang ada di alam semesta ini bergantung. Maka dengan sebab itu, Allah tidak memiliki sekutu dalam Zat-Nya. Allah tidak memiliki sekutu dalam perbuatan-Nya. Allah memiliki segala kekuatan mahupun kemampuan untuk berbuat. Manusia, baik ia penganut Islam, Kristian atau Sikh merupakan satu di antara makhluk yang ada, dan kerana itu merupakan ciptaan Allah. Allah bagaimanapun sama sekali tidak menbahagikan Kuasa-kuasa-Nya kepada manusia. Justeru, manusia tidak dapat bertindak dan berfikir semahu-mahunya sendiri, ‘dengan kuasa Allah manusia berdiri dan duduk.’
Jika seseorang mempercayai bahawa makhluk, baik ia manusia, atau haiwan dapat berbuat semahunya sendiri, ia juga bererti seseorang itu percaya bahawa makhluk tersebut dan Allah sama-sama mandiri dalam berbuat. Oleh kerana mandiri dalam berbuat bermakna mandiri dalam zat, maka kepercayaan tersebut bertentangan dengan keesaan Zat Allah. Allah berfirman, terjemahannya:
‘Dan katakanlah, Segala puji tertentu bagi Allah, yang tiada mempunyai anak, dan tiada bagiNya dalam urusan kerajaan-Nya, dan tiada bagiNya penolong disebabkan sesuatu kelemahanNya; dan hendaklah engkau membesarkan serta memuliakanNya dengan bersungguh-sungguh (al-Isrâa’: 111)’.
Wacana agama yang menafikan penggunaan kalimah Allah untuk non muslim ternyata terlepas pandang aspek-aspek atau tingkatan tauhid yang dibabarkan di atas. Wacana yang ada, rata-rata berlegar sekitar Tauhid dalam Ibadah. Sehingga kelihatan Allah adalah eksklusif untuk penganut Islam sahaja.
Tauhid Zat Allah, Tauhid dalam Sifat-sifat Allah, dan Tauhid dalam Perbuatan Allah yang dikemukakan di atas bersifat teori dan merupakan masalah keimanan. Tahap akhir, Tauhid dalam ibadah pula merupakan masalah praktik.
Jika tiga tingkatan tauhid di atas melibatkan pemikiran yang benar, tingkat keempat iaitu Tauhid dalam ibadah ini merupakan tahap ‘menjadi benar’. Dalam erti kata lain, di tahap teori, adalah untuk memiliki pandangan yang sempurna sementara di tahap praktik adalah upaya untuk mencapai kesempurnaan. Tauhid teoretis iaitu Tauhid Zat Allah, Tauhid dalam Sifat-sifat Allah, dan Tauhid dalam Perbuatan Allah adalah memahami keesaan Allah. Sedangkan tauhid praktis adalah menjadi satu. Tauhid teoretis dengan itu adalah tahap melihat, sedangkan tauhid praktis adalah di tahap berbuat. Ramai di antara kita sebagai misalan memasuki wacana penggunaan kalimah Allah untuk non Muslim dengan hujah Tauhid ibadah ini. Kita menyatakan kebimbangan bahawa kompromi penggunaan kalimah Allah oleh umat Kristian, akan mengakibatkan berlakunya penyekutuan; ‘Kita tak boleh terima dan tidak boleh berkompromi dengan orang yang mempersekutukan Allah.’
Umat Islam menerima kedudukan Tauhid praktis atau tauhid ibadah ini adalah dengan hanya menyembah kepada Allah sahaja. Terdapat acara, atau ritual yang diamalkan untuk mensucikan dan mengagungkan Allah. Acara, amal, dan ritual itu dilakukan dengan ikhlas untuk Allah. Jika ia dilakukan untuk selain daripada Allah, maka ia tertolak atau terkeluar dari Islam.
Lebih luas dari konteks penyekutuan yang sering dihujahkan itu ialah, setiap bentuk orientasi spiritual dan menerima sesuatu sebagai ideal spiritual turut tergolong dalam ibadah. Maka kerana itulah al-Quran menfirmankan, terjemahannya:
‘Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat? (al-Furqaân: 43)’.
Atau juga, jika seorang manusia mematuhi seseorang yang telah dilarang oleh Allah untuk ditaati, dan taat membuta-babi kepadanya, ia juga bermaksud manusia itu menyembah atau beribadah kepada orang tersebut. Al-Quran mengatakan, terjemahannya;
‘Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli ugama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah (at-Taubah: 31)’.
Atau dalam ayat suci al-Quran yang lain;
‘Dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah (Âli ‘Imraân: 64)’.
Dalam erti kata lain, seorang muslim yang kelihatan soleh di luar, tetapi taat kepada penguasa korup dan batil, telah memilih ibadah selain-Nya. Seorang yang jelas Tauhid Zat Allah, Tauhid dalam Sifat-sifat Allah, dan Tauhid dalam Perbuatan Allah tidak akan menyembah dan percaya total tanpa punca mana-mana rahib, sami, pendita, atau ulama. Natijah Tauhid ibadah adalah tunduk kepada Allah sahaja, berkelakuan untuk-Nya sahaja, hidup untuk-Nya sahaja, dan mati untuk-Nya sahaja. Persoalan ini dijelaskan dalam ayat suci al-Quran, bermaksud;
‘Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain’.
Juga ayat suci al Quran, terjemahannya;
‘Katakanlah, Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama – (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya (al-An’aam: 79, dan 162-163)’.
Manifestasi tauhid Nabi Ibrahim ini merupakan Tauhid praktis atau Tauhid ibadah. Adalah difahami di sini, memiliki nama dan ‘bin Islam’ belum menjadikan seseorang itu lunas semuanya, kerana aspek paling sensitif yang masih belum dipenuhi ialah ‘bebas sekutu’ seperti dijelaskan dalam Tauhid ibadah sebelumnya.
Seperti yang dinyatakan dengan panjang lebar, perbincangan boleh tidaknya menggunakan kalimah Allah telah lari dari konteks. Di peringkat teoritis umat bukan Islam tidak dapat dinafikan sebagai makhluk Allah. Dalam erti kata lain, jika non Muslim memohon untuk menggunakan kalimah Allah dalam kitab suci mereka, tiada kuasa dapat menegah permintaan tersebut. Sebagai makhluk ciptaan Allah, siapa pun berhak untuk merujuk Tuhan sebagai Allah, dan Allah sebagai Tuhan. Wacana yang ada mutakhir ini, rata-rata meloncat keluar ke wacana tahap tauhid ibadah tanpa melalui tingkatan atau tahap tertentu. Sedangkan isu penggunaan kalimah Allah harus diwacanakan dalam lingkungan tahap tauhid teoritis.
Sekiranya diskusi penggunaan kalimah Allah ini didialogkan dalam lingkaran yang betul, ia tidak akan dipermasalahkan sehingga menjadi satu bumbu konflik. Tidak akan ada non Muslim dinafikan haknya sebagai makhluk ciptaan Allah. Sayugia diingatkan sekali lagi, seperti disebut dalam wacana tauhid ibadah, umat Islam sendiri belum tentu dapat diangkat sebagai seorang ahli tauhid (muwahhid) sejati. Jika kita meletakkan diri di era Umaiyyah atau Abbasiyyah, seorang muslim yang taat kepada pemerintah korup tanpa menggunakan akal sihatnya pada zaman itu masih berpotensi untuk terkeluar dari Islam.
Allah Maha Mengetahui.
Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani adalah Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Penyelidik Bersekutu di sebuah tim penyelidikan di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard, Amerika Syarikat. Kajian beliau menganjur dari Sastera Bandingan sehingga Hak Asasi Manusia dengan penekanan terhadap kumpulan minoriti agama.