Dalam sebuah negara demokrasi, kebebasan bersuara dan berpolitik menjadi pegangan utama yang menjamin suburnya prinsip demokrasi. Jerman selepas Perang Dunia Pertama merupakan sebuah negara demokrasi dan dikenali sebagai Republik Weimar yang bermula sejak 1918 selepas berakhirnya Empayar Jerman susulan perlucutan takhta Kaiser Wilhelm II.
Jerman dalam era Republik Weimar merupakan sebuah republik dengan sistem semipresiden; terdiri dari presiden yang mempunyai kuasa darurat dan canselor yang bertanggungjawab di parlimen atau Reichstag. Namun ketidakstabilan politik ketika era Republik Weimar menyaksikan presiden jauh lebih berkuasa dari canselor.
Ketika era Republik Weimar ini jugalah Parti Buruh Jerman Sosialis Nasional atau Parti Nazi telah ditubuhkan tanggal 24 Februari 1920. Bermula sebagai parti kecil, Parti Nazi mendukung fahaman kanan melampau dan membawa ideologi yang dinamakan Sosialisme Nasional. Salah seorang pemimpin tersohor parti ini adalah sosok bernama Adolf Hitler.
Walaupun membawa agenda politik kanan melampau dan menyebarkan fahaman kebencian seperti rasisme, tidak ada halangan terhadap Parti Nazi dalam negara Jerman yang demokratik. Jika ada pun, ianya hanya berbentuk pengharaman sementara pada tahun 1923 selepas parti tersebut cuba melakukan kudeta dalam insiden Beer Hall Putsch selepas terinspirasi dengan kejayaan kudeta Parti Fasis di Itali.
Kudeta yang gagal itu menyaksikan Hitler dipenjarakan dan pada waktu inilah beliau menulis bukunya, Mein Kampf. Apabila dibebaskan pada tahun 1925, Hitler berjaya meyakinkan pihak kerajaan untuk membatalkan pengharaman Parti Nazi dengan mengubah parti tersebut dari sebuah organisasi paramilitari kepada politik sepenuhnya dan menolak sebarang kekerasan untuk mendapatkan kuasa. Hitler sendiri percaya jalan untuk Parti Nazi mendapatkan kuasa di Jerman sebagai kerajaan adalah melalui peti undi atau amalan demokrasi.
Namun fahaman kanan yang melampau dan rasisme masih menjadi modal utama Parti Nazi untuk memenangi sokongan pengundi Jerman. Pun begitu pilihan raya Disember 1924 menyaksikan Parti Nazi (yang bertanding di bawah nama Gerakan Kebebasan Sosialis Nasional) hanya memenangi 14 dari 493 kerusi Reichstag. Ia jauh lebih teruk dari pilihan raya Mei 1924 ketika Hitler masih dalam penjara dimana parti tersebut memenangi sejumlah 32 kerusi.
Keputusan pilihan raya Parti Nazi jauh lebih teruk pada pilihan raya Mei 1928 apabila hanya menang 12 kerusi dari 491 kerusi Reichstag. Keadaan ekonomi dan politik yang stabil di Jerman pada ketika itu membuatkan pengundi mula menjauhi Parti Nazi. Sebaliknya, parti politik berhaluan kiri lebih mendapat undian dengan Parti Komunis Jerman dan Parti Sosial Demokratik menguasai hampir 50% dari kerusi Reichstag.
Parti Nazi mungkin telah terkubur menjelang 1930 jika tidak kerana Zaman Meleset yang berlaku pada tahun itu. Bermula di Amerika Syarikat, kemelesetan ekonomi global tercetus dan impaknya turut dirasai di Jerman. Pengangguran massa dan keruntuhan perniagaan membuatkan ekonomi Jerman tergugat dan kerajaan yang diketuai oleh Parti Sosial Demokratik gagal mencari jalan penyelesaian. Situasi ini membuka peluang buat Hitler dan Parti Nazi memainkan sentimen perkauman serta menyalahkan kelompok Yahudi dan sayap kiri sebagai punca kemelesetan. Rakyat Jerman yang rata-rata tertekan dengan Zaman Meleset mula melihat kepada Parti Nazi sebagai jalan penyelesaian masalah negara.
Pilihan raya September 1930 menyaksikan kebangkitan Parti Nazi buat kali pertama apabila mereka memenangi 107 kerusi. Ia masih tidak cukup untuk mengatasi Parti Sosial Demokratik yang mendapat 143 kerusi dan tidak jauh dari Parti Komunis Jerman yang memperolehi 77 kerusi Reichstag.
Pun begitu pilihan raya 1930 merupakan titik penting kerana ia menyaksikan permulaan kegagalan parti-parti politik Jerman menyaingi kebangkitan Parti Nazi. Parti Sosial Demokratik walaupun merupakan parti terbesar, berdepan masalah kepimpinan dalaman. Parti Komunis Jerman pula diarahkan oleh pentadbiran Comintern di Moscow untuk mengabaikan Parti Nazi dan sebaliknya menumpukan usaha menyaingi Parti Sosial Demokratik dalam memenangi hati kelas proletariat. Manakala Parti Tengah (parti ke-4 terbesar) yang konservatif gagal melihat ancaman Parti Nazi sebaliknya lebih banyak bersekongkol dengan Hitler untuk mendapatkan kuasa.
Fahaman melampau Parti Nazi menyaksikan keganasan jalan merebak pada tahun 1931, dengan sayap paramilitari Nazi iaitu SA menyerang orang Yahudi atau terlibat dalam pergaduhan dengan Rotfront, sayap paramilitari Parti Komunis Jerman.
Pilihan raya Julai 1932 menyaksikan Parti Nazi melakukan kejutan besar apabila memenangi 230 kerusi Reichstag, tetapi masih belum cukup untuk majoriti mudah. Presiden Jerman ketika itu, Paul von Hindenburg menggunakan kuasa darurat beliau untuk melantik Franz von Papen dari Parti Tengah sebagai canselor, sekaligus mengundang rasa tidak puas hati Hitler yang merasakan dia patut terpilih kerana Parti Nazi memenangi lebih banyak kerusi.
Papen yang tidak mendapat sokongan majoriti di Reichstag merupakan seorang canselor yang lemah. Pada September tahun yang sama Papen berdepan dengan usul tidak percaya di Reichstag, sekaligus memaksa beliau menyeru Presiden Hindenburg untuk membubarkan Reichstag. Sekali lagi pilihan raya terpaksa diadakan pada tahun yang sama, kali ini pada November 1932.
Walaupun Hitler dan Parti Nazi menjangkakan mereka akan menguasai majoriti, ianya meleset sama sekali apabila Parti Nazi hanya memenangi 196 kerusi, merosot 34 kerusi dari sebelumnya. Sebaliknya Parti Komunis Jerman mencatatkan peningkatan sebanyak 11 kerusi kepada 100 kerusi Reichstag untuk muncul parti ketiga terbesar. Parti Sosial Demokratik pula menang 121 kerusi (ke-2 selepas Parti Nazi) manakala parti ke-4 terbesar adalah Parti Tengah dengan 70 kerusi.
Keadaan tergantung ini menyebabkan tidak ada kerajaan yang dapat dibentuk oleh satu parti tunggal. Maka parti yang ada perlu membentuk pakatan bagi mendapatkan majoriti mudah di Reichstag yang mengandungi 584 kerusi semuanya.
Di sini kegagalan parti-parti lain mengekang Nazi dalam satu proses demokrasi terserlah. Parti Sosial Demokratik cuba membentuk pakatan bersama Parti Komunis Jerman, tetapi ditolak kerana puak komunis mengikut arahan Comintern yang melabelkan semua parti sayap kiri sederhana sebagai ‘fasis sosial’. Parti-parti kecil lain pula, sama ada terlalu sedikit kerusinya atau terlalu berbeza ideologi untuk bersatu melawan Parti Nazi.
Dengan ketiadaan parti tunggal yang menguasai majoriti mudah, Presiden Hindenburg memilih Papen dari Parti Tengah yang konservatif untuk kekal sebagai canselor. Tetapi Papen menolak dan sebaliknya mencadangkan Adolf Hitler sebagai canselor dan dirinya sebagai timbalan. Buat Papen dan puak konservatif, mereka percaya yang Hitler mampu ‘dijinakkan’ melalui pengaruh konservatif.
Sebaik sahaja Hitler bergelar Canselor Jerman, empat minggu kemudiannya bangunan Reichstag telah dibakar. Pihak Nazi dengan pantas menuduh Parti Komunis Jerman sebagai dalang yang bertanggungjawab dan Hitler pula memujuk Presiden Hindenburg untuk mengeluarkan Dekri Kebakaran Reichstag, yang menyekat kebebasan sivil di Jerman seperti kebebasan bersuara, kebebasan akhbar dan perhimpunan awam. Setelah berkuasa melalui proses demokrasi dan kebebasan bersuara, Hitler bertindak pula untuk memansuhkan dua perkara tersebut.
Enam hari selepas kebakaran Reichstag, Hitler membubarkan Reichstag dan membuka jalan untuk satu lagi pilihanraya pada Mac 1933. Ini merupakan satu pilihan raya kotor dan penuh keganasan dengan sayap paramilitari Nazi terlibat dalam keganasan, peras ugut dan ancaman kepada parti lawan. Parti Nazi menang 288 kerusi, belum cukup untuk majoriti mudah tetapi akhirnya membentuk pakatan dengan Parti Rakyat Kebangsaan Jerman untuk kerajaan campuran.
Dua minggu selepas pilihan raya tersebut, Hitler mengusulkan Akta Penguatkuasaan 1933 yang diluluskan oleh Reichstag selepas parti-parti lain diugut oleh Nazi untuk memberi sokongan. Akta ini memberi kuasa kepada Hitler untuk menggubal undang-undang tanpa perlu melalui Reichstag. Dalam beberapa bulan sejak akta ini diluluskan, kesemua parti lawan diharamkan dan Parti Nazi muncul sebagai parti tunggal di dalam Reichstag.
Presiden Hindenburg meninggal dunia pada 2 Ogos 1934, dan Hitler melalui satu lagi akta yang ‘diluluskan’ telah memansuhkan jawatan presiden dengan menggabungkannya ke dalam jawatan canselor. Jawatan baru ini kemudian disandang oleh Hitler dengan gelaran, Fuhrer.
Demokrasi akhirnya terkubur di Jerman dan kediktatoran Nazisme berkuasa sepenuhnya. Adalah satu ironi sebenarnya kerana Hitler dan parti Nazi berjaya memerintah Jerman melalui saluran peti undi yang demokratik, tetapi serta-merta bertindak menghancurkan demokrasi itu sebaik sahaja mereka memegang kuasa.
Jika disorot kembali, kebangkitan Adolf Hitler dan parti Nazi berpunca dari beberapa kegagalan dalam kerajaan demokrasi Jerman sebelum itu.
Antaranya, kegagalan pihak kerajaan Jerman mengekang fahaman Nazi yang baru bercambah dari benih sejak 1920. Selama hampir 13 tahun, benih kebencian ini telah berakar umbi menjadi pohon besar yang membayangi seluruh Jerman dengan politik kanan melampau dan rasisme.
Hukuman penjara ke atas Adolf Hitler selepas kudeta Beer Hall Putsch tahun 1923 dibuat tanpa tekad yang kuat dan Hitler dipenjara hanya setahun sahaja. Begitu juga pengharaman sayap paramilitari Nazi seperti SA dan SS pada tahun 1932 yang hanya bertahan sebulan walaupun organisasi ini terkenal dengan tindakan keganasan ke atas kaum Yahudi dan golongan sayap kiri.
Kedudukan parti Nazi dalam Reichstag sebenarnya boleh disaingi oleh parti politik sayap kiri, terutama dari Parti Sosial Demokratik dan Parti Komunis Jerman, parti kedua dan ketiga terbesar. Malahan sehingga pilihan raya November 1932, yakni pilihan raya bersih dan adil yang terakhir dalam era Republik Weimar, peluang masih ada untuk parti haluan kiri mengekang Nazisme. Tetapi perbezaan ideologi antara kem sosialis dan komunis membantutkan sebarang usaha pakatan dan pembentukan kerajaan campuran.
Presiden Paul von Hindenburg pula, yang mempunyai kuasa darurat dan boleh saja menghalang perlantikan Adolf Hitler juga gagal menggunakan kuasanya pada saat diperlukan. Faktor umur dan kesihatan Hindenburg serta pengaruh dari Franz von Papen membuatkan beliau akhirnya akur untuk melantik Hitler sebagai Canselor Jerman walaupun keberatan. Papen, yang asalnya merupakan pemimpin Parti Tengah yang konservatif menjadi individu yang memungkinkan Hitler menjawat jawatan canselor.
Apa yang berlaku seterusnya telah tertulis jelas dalam lipatan sejarah. Perang Dunia Ke-2, Holocaust dan Nazisme menghantui negara Jerman dalam era Reich Ketiga. Cita-cita Hitler mahukan Reich Ketiga bertahan 1,000 tahun lamanya tidak kesampaian. Reich Ketiga hanya bertahan 12 tahun dan akhirnya tumbang kepada pakatan demokrasi dan komunisme antarabangsa.
Kegagalan demokrasi Jerman mengekang Nazisme adalah satu case study dalam paradoks toleransi seperti yang dilontarkan oleh Karl Popper.
“Unlimited tolerance must lead to the disappearance of tolerance. If we extend unlimited tolerance even to those who are intolerant, if we are not prepared to defend a tolerant society against the onslaught of the intolerant, then the tolerant will be destroyed, and tolerance with them.”
Pendek kata, kebebasan dalam demokrasi terjamin selagi kebebasan itu tidak digunakan oleh pihak yang tidak bertoleransi. Apa sahaja unsur negatif, ucapan benci (hate speech), fahaman rasisme, diskriminasi dan sebagainya bukanlah kebebasan yang boleh dibiarkan berleluasa. Adalah tanggungjawab satu masyarakat demokratik untuk mengekang fahaman yang tidak bertoleransi ini.
Betapa Jerman belajar dari kesilapan mereka yang lalu, ianya digunakan dalam satu case landmark antara Parti Komunis Jerman melawan Republik Persekutuan Jerman pada tahun 1952. Dalam kes tersebut, mahkamah mengharamkan Parti Komunis Jerman dengan hujah kebebasan bersuara tidak boleh diberikan kepada ucapan yang mengancam demokrasi dan berdasarkan pada doktrin totalitarian. Susulan itu Parti Komunis Jerman dibubarkan dan diharamkan sepenuhnya.
Begitulah juga pendekatan yang perlu diambil oleh kita di Malaysia, sebuah negara demokrasi yang mengangkat kebebasan bersuara dengan tanggungjawab. Kebebasan itu ada tetapi tidak kepada fahaman fasisme atau rasisme, ucapan benci ataupun ugutan/doa untuk membunuh orang yang tidak sefahaman dengannya. Kita ada tanggungjawab untuk mencabut pucuk-pucuk kebencian sebelum ia berakar umbi dan menggugat prinsip-prinsip demokrasi yang menjadi asas negara Malaysia ini.

Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.