Jangan Putus Asa Banteras Rasuah

Rasuah bukan masalah baru di negara kita. Hampir setiap hari kita disajikan oleh pihak media dengan kes rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang berlaku di pelbagai sektor di negara kita. Walaupun ramai pelaku rasuah baik pemberi mahupun penerima dapat ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan, namun masalah dan penyakit sosial ini masih terus berlaku dan belum mampu dinoktahkan. Justeru baik pihak berkuasa mahupun anggota masyarakat tidak boleh kecewa dan berputus asa dengan situasi ini sebaliknya perlu terus cekal dan beriltizam untuk membanteras rasuah.

Rasuah membabitkan soal integriti dan integriti pula melibatkan soal sikap dan tingkah laku seseorang individu. Jadi bukan satu tugas yang mudah untuk kita mengubah sikap dan tingkah laku orang melainkan mereka sendiri bersedia untuk bermuhasabah, menginsafi kesilapan serta mahu berubah. Jika tidak individu yang sudah terjebak dalam dunia ini pasti sukar dipulihkan daripada ketagihan rasuah kerana tetap mahu terus menerima mahupun memberikan rasuah umpama para penagih dadah yang terus ketagih untuk menagih dadah. Jadi adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk membantu merawat ketagihan rasuah ini. Tanggungjawab ini perlu dipikul secara bersama oleh pihak berkuasa, anggota masyarakat serta badan-badan buka kerajaan yang mendukung cita-cita mahu melahirkan sebuah masyarakat dan negara yang bebas rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Secara umumnya kita perlu akui dan wajar memuji iltizam dan usaha keras pihak berkuasa di negara ini seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terus memburu individu yang bergelumang dalam najis rasuah ini. Kita dapat melihat kesungguhan dan komitmen pihak berkuasa dari aspek penguatkuasaan undang-undang seperti menangkap dan mendakwa hinggalah ke aspek pendidikan kesedaran tentang kesalahan rasuah. Malah kita juga menyokong penuh inisiatif pihak SPRM membangunkan pangkalan data pesalah rasuah yang dipaparkan dalam laman sesawang rasmi SPRM. Mengikut SPRM, objektif utama inisiatif ini adalah untuk menunjukkan langkah-langkah pencegahan dan memberikan petunjuk yang jelas bahawa perang telah diisytiharkan terhadap rasuah. Pangkalan data ini berkhidmat sebagai satu alat kesedaran yang penting untuk membantu orang awam dan organisasi dalam melaksanakan proses penyelidikan dan penilaian sebelum mengambil, melantik atau menaikkan pangkat pekerja mereka.

Tambahan pula, pangkalan data ini juga diyakini dapat memainkan peranan sebagai alat pengajaran bagi mencegah orang lain daripada melakukan perbuatan rasuah selain bertindak sebagai faktor yang memberi keinsafan terhadap mereka yang telah disabitkan dengan kesalahan rasuah kerana maklumat mengenai mereka dan kesalahan yang telah mereka lakukan akan dipaparkan dan boleh diakses oleh orang awam selama tempoh tiga (3) tahun bermula dari tarikh ia mula dipaparkan di laman sesawang SPRM. Ini satu usaha murni yang wajar disokong dan dipuji kerana kita percaya sedikit sebanyak mampu meningkatkan tahap kesedaran dan ketakutan dalam kalangan anggota masyarakat terutamanya kepada individu yang baru mula berinak-jinak dengan rasuah. Kita berharap pihak berkuasa akan terus melaksanakan pelbagai lagi inisiatif baru bagi menangani masalah rasuah di negara kita terutamanya dari aspek pencegahan.

Dalam pada itu, bagaimana pula peranan anggota masyarakat? Bagi penulis, anggota masyarakat yang membencikan rasuah sudah tidak boleh berpeluk tubuh lagi. Jangan biarkan lagi individu yang korup dan tidak berintegriti terus merosakkan semua institusi dan organisasi yang ada sekali gus menidakkan hak rakyat. Jangan sesekali takut atau gentar untuk melaporkan rasuah dan apa jua perbuatan tidak berintegriti yang berlaku di sekeliling kita. Percayalah, sikap kita yang tidak mahu ambil peduli serta takut ditimpa masalah menyebabkan pelaku rasuah semakin berani bertindak dan mula bermaharajalela. Ayuh marilah kita bertindak menghalang dan menghentikan rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku di depan mata kita.

Dalam konteks ini jangan takut untuk melaporkan perbuatan rasuah kerana kita dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010. Hal ini terbukti apabila baru-baru ini seorang Timbalan Pengarah sebuah syarikat menjadi individu pertama yang didakwa di bawah akta ini apabila telah menyebabkan seorang pemberi maklumat dipecat dari jawatannya kerana mendedahkan kelakuan tidak wajar tertuduh kepada SPRM. Jadi janganlah takut untuk tampil membuat laporan.

Pada masa yang sama badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan agenda memperkasakan integriti serta mahu membanteras rasuah di negara ini turut boleh memainkan peranan yang lebih agresif. Mereka perlu bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan anggota masyarakat agar kita dapat memerangi jenayah rasuah ini dari peringkat akar umbi. Di samping boleh menjadi badan semak dan imbang, NGO juga boleh mempromosikan pendidikan kesedaran pencegahan rasuah. Semoga usaha NGO seperti Malaysia Corruption Watch (MCW) yang bergerak aktif untuk membanteras rasuah mampu merealisasikan hasrat membersihkan negara dan rakyat dari jenayah rasuah.

Tuntasnya, rasuah adalah penyakit sosial yang boleh merosakkan masyarakat dan meruntuhkan negara. Justeru kita tidak boleh berputus asa dalam usaha untuk mencegah dan membanteras rasuah dan tanggungjawab ini perlu dipikul bersama oleh semua pihak.

Komen