Jamin Mahkamah: Apakah Ia?

DUIT jamin mahkamah. Apakah ia?

Jamin mahkamah Itu dalam bahasa pasarnya, duit untUk pastikan tertuduh hadir di setiap sesi mahkamah.

Proses mahkamah lazimnya panjang. Makan masa hingga bertahun. Maka, sementara proses mahkamah berlangsung, tertuduh boleh keluar buat kerja harian beliau.

Justeru mahkamah mahukan duit jamin. Untuk pastikan tertuduh tidak lari keluar negara atau tidak muncul bila hari perbicaraan. Ada tertuduh dapat jaminan. Ada tertuduh yang tidak dapat jaminan. Kenapa berbeza?

Sebab kita kena tengok kesalahan apa yang individu tersebut kena tuduh.

Dalam jaminan mahkamah, ada tiga jenis kesalahan yakni (i) Kesalahan yang boleh dijamin, biasanya kesalahan-kesalahan ini hukumannya ringan jadi, mahkamah pasti akan beri jaminan; (ii) Kesalahan yang tidak boleh dijamin, tapi perlu dapat perintah mahkamah jika mahu, biasanya hukuman kesalahn ini berat maka peguam perlu mohon daripada mahkamah untuk dapatkan jaminan; dan (iii) Kesalahan yang tidak boleh dijamin langsung, biasanya hukuman bagi kesalahan ini adalah hukum gantung, atau penjara sepanjang hayat atau berbahaya kalau tertuduh diberi keluar.

Kanun Tatacara Jenayah ada jadual yang memperincikan kesalahan apa ayng boleh dijamin atau tidak.

Adakah mahkamah akan ambik terus duit jaminan itu?

Tidak. Habis sahaja perbicaraan, duit jaminan itu akan dipulangkan balik. Sama ada tertuduh bersalah atau tidak, duit jaminan tetap akan dipulangkan.

Jamin mahkamah bukan denda. Ia bukan hukuman. Ia hanyalah sekuriti sahaja. Untuk pastikan tertuduh hadir ke mahkamah.

Seandainya tertuduh tidak hadir ke mahkamah, atau melarikan diri hingga tidak dapat dikesan, apa jadi dengan duit jaminan itu?

Mahkamah akan ambil duit tersebut. Takda pulang-pulang lagi dah. Malah, tertuduh akan diisukan dengan waran tangkap. Tertuduh akan ditangkap dan dimasukkan ke dalam lokap hingga habis bicara.

Penjamin tertuduh akan dihukum atau tidak kalau tertuduh tidak hadir ke mahkamah? Tidak. Penjamin tidak akan dikenakan apa-apa.

Siapa yang boleh jadi penjamin?

Semua warganegara berumur 18 tahun ke atas. Tidak kisah siapa. Tapi biasanya, tertuduh akan pilih keluarga sendiri.

Dan kebiasaannya, mahkamah akan minta seorang saja penjamin. Dan penjamin itu kena uruskan kemasukan duit, dan penjamin juga kena hadir ke mahkamah sekiranya tertuduh tidak dapat hadir.

Dan penjamin juga tidak perlu hadir setiap kali perbicaraan. Yang wajib datang hanyalah tertuduh sahaja.

Tadi kita cerita pasal siapa boleh dapat jamin, siapa yang tidak dapat. Sekarang kita cerita pasal nilai jaminan.

Bila kita sudah dapat jamin, amaun nilai jaminan itu berbeza setiap orang.

Ada yang boleh dijamin dengan RM3,000 sahaja. Ada yang sehingga RM100,000. Ada pula sampai RM2 juta. Ada individu yang dapat jamin tetapi bersyarat. Contohnya kena lapor diri di balai polis setiap bulan hingga habis bicara.

Untuk warga asing, kebiasannya mahkamah akan minta tambah seorang lagi penjamin. Dan kedua-duanya wajib warganegara.

Ada juga tertuduh yang sampai kena tahan passport. Tidak boleh ke luar negara. Kalau mahu, kena mohon perintah mahkamah dahulu. Semua ini bergantung pada budi bicara mahkamah.

Mahkamah akan tengok kemampuan tertuduh untuk bayar jamin, latar belakang pekerjaannya, latar belakang keluarganya, kecenderungan tertuduh untuk lari dari perbicaraan dan sebagainya.

Jadi, nilai amaun jaminan adalah tidak sama bagi setiap individu.

Kalau tertuduh tidak dapat jamin, atau tidak dapat bayar jamin, apa akan jadi?

Tertuduh kena masuk lokap sampai habis proses mahkamah.

Sama ada tertuduh bersalah atau tidak selepas keputusan dijatuhkan, tertuduh perlu masuk lokap kalau tertuduh tidak dapat dijamin atau tidak dapat bayar jaminan.

Kalau proses mahkamah mengambil masa dua tahun, duduklah dia dalam lokap itu dua tahun walaupun tidak bersalah.

Kalau tertuduh didapati tidak bersalah, dia akan dibebaskan. Tapi kalau tertuduh didapati bersalah, dia akan dipindah pergi ke penjara pula. Penjara dan lokap ini berbeza ya.

Oh ya, katakan seseorang itu minta derma untuk bayar jaminan. Bila habis kes, duit derma itu pergi ke mana?

Kalau kes sudah habis, si penderma sekalian, pergilah jumpa balik tertuduh itu, minta balik duit kalian.

Sebab, mahkamah akan pulangkan balik duit itu. Itu duit kita. Kita kena ambil balik. Sedaplah tertuduh, dapat derma jamin, habis sahaja kes, dia dapat pula duit itu masuk poket walaupun asalnya bukan dia punya duit.

Melainkan kita berniat mahu sedekah kepada dia. Maka, tidak payah minta balik pun tak mengapa. Duit masing-masing.

Apa pun, jamin nii, sekali lagi, ianya bukan hukuman. Ia hanyalah untuk pastikan tertuduh hadir ke mahkamah. Sehingga habis bicara, duit jaminan itu akan dipulangkan semula.

Komen