Jadong Sang Wali Dan Sistem Yang Membenarkan

Kelip-kelip ku sangka api,
Jika api, di mana puntungnya?

Hilang ghaib ku sangka mati,
Jika mati, di mana kuburnya?

SEWAKTU kecil saya sering mendengarkan rungutan tentang urusan nikah, kahwin dan cerai yang rumit dan menyusahkan di Malaysia. Waktu itu, saya masih kecil dan hanya mendengar tanpa ada perasaan ingin tahu atau menyelidik hal tersebut. Bagi saya, perkahwinan tentu-tentu untuk kebahagiaan orang dewasa.

Sehinggalah bila tiba waktunya satu-persatu kawan-kawan yang tumbuh membesar bersama bercerita tentang urusan mereka untuk berkahwin. Ada yang mudah kerana kesemua butiran yang diperlukan mudah didapati. Membesar dalam keluarga yang berfungsi, ada kenalan dalam pejabat agama, dan kelebihan lain yang mungkin orang lain tidak dapat merasa. Tetapi, yang menjadi titik fokusnya apabila ramai yang dipersulit ketika menguruskan hal perkahwinan. Antaranya ketika wali yang sepatutnya membela dan menjaga mereka, ghaib tak ditemukan.

Undang-undang keluarga di Malaysia masih mengiktiraf kewalian seorang ayah walaupun sosok tersebut tidak pernah terlibat dalam membesarkan anak yang sepatutnya diwalikan nanti. Satu pengalaman yang membuka mata saya pada waktu itu apabila seorang rakan yang terpaksa berdepan dengan ayah yang tidak bertanggungjawab dan panas baran ketika masih bersama ibunya, untuk dipujuk menjadi wali pada hari bahagianya nanti. Trauma yang masih berparut seperti diragut membengkak dan berdarah kembali. Mencari dan memujuk sang ayah hanya kerana rakan tersebut berbinti kan nama lelaki itu amat menghuru-harakan kehidupannya. Perkahwinan yang awalnya perlu menjadi bahagian yang indah dan satu langkah baru ke depan, bertukar remuk, sakit dan air mata yang entah berapa banyak telah tumpah.

Isu ini bukan hal terpencil atau masalah baru yang tumbuh pada era millennial. Ramai wanita yang terbeban bila memikirkan soal perkahwinan kerana ada sistem yang membenarkan ayah terlepas daripada tanggungjawab tetapi tiada sistem yang membenarkan untuk anak tidak melibatkan ayah tersebut secara terus dalam urusan penting sebegini. Hal ini juga bukan dialami oleh masyarakat biasa. Ada selebriti tanah air yang berhadapan dengan isu sama. Terpaksa turun naik ke pejabat agama bertahun- tahun  untuk dikecewakan sekali lagi dengan sistem. Sehinggalah isu tersebut tular dan mendapat perhatian umum, barulah urusan di pejabat agama dipermudah. Urusannya dipersulit kerana ayah atau wali sebenar masih hidup tetapi tidak mahu ditemui. Adakah setiap kali isu begini terjadi kepada orang awam yang lain, isu tersebut perlu ditularkan barulah mereka mendapat pembelaan?

Selain itu, sistem sedia ada juga tidak dapat menyekat masalah perkahwinan sesama adik-beradik kerana hanya sijil nikah ayah dan ibu di pihak perempuan sahaja diperlukan dalam dokumen pernikahan. Sijil nikah ayah dan ibu daripada pihak lelaki tidak perlu dilampirkan dengan alasan lelaki tidak memerlukan wali. Jangan kita lupa, berlaku beberapa perkahwinan sesama adik-beradik kerana kebobrokan sistem seperti ini. Masalah cuma disedari selepas pernikahan dan telah bertahun hidup bersama pasangan. Jika pasangan tersebut sudah mempunyai anak, akan terjadi masalah yang lain kepada anak tersebut. Hal dokumentasi yang tidak jelas dan tidak ada kewajipan mendapatkan sijil nikah daripada pihak lelaki, akan memberikan kesan fatal kepada kedua-dua keluarga. Bukan untuk menambah kerja atau mempersulit proses, dokumen tersebut hanyalah sebagai cara untuk tidak ada lagi kes seperti ini berlaku.

Dokumen yang diperlukan juga bukan boleh didapati dengan mudah. Contohnya, perlu ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mendapatkan sijil kematian atau kelahiran seseorang. Perlu ke pejabat agama negeri masing-masing pula untuk mendapatkan sijil pernikahan atau penceraian. Hal ini terlalu aneh kerana kita telah dikenalkan dengan sistem kad pengenalan bercip yang dipanggil sebagai Mykad sejak awal tahun 2000-an lagi. Sepatutnya, segala butiran peribadi termasuk hal kesihatan, keluarga, nikah, hatta kematian sudah terkandung dalam kad pengenalan pintar tersebut. Semua maklum sistem kerajaan yang sangat tidak kompeten dan susah diakses oleh semua orang, menjadikan hal seperti ini beban berat yang tiada kesudahan. Adakah kita hanya mampu memberi alasan kononya melanggar perintah agama supaya penambahbaikan dalam sistem tidak dilakukan?

Setiap orang dalam masyarakat perlu mengambil peranan aktif dalam soal kebajikan orang lain. Seperti kata Pak Pram, seorang terpelajar harus sudah berbuat adil sejak dalam pikiran, apalagi dalam perbuatan. Ahli akademik, para penggerak NGO, lulusan universiti dan masyarakat umum harus sedar masalah ini telah lama berakar dan perlu dicabut terus daripada dasar. Dialog dan hujahan di medium laman sosial perlu diteliti dengan rasa empati yang akhirnya akan mewujudkan kesedaran meluas tentang sesuatu perkara. Tidak adil jika kita katakan ruang media sosial tidak mampu mengubah apa-apa sistem sedangkan banyak kes dan juga undang-undang yang diperbaharui bermula daripada perbincangan di ruang media sosial semisal Undi18 dan sebagainya.

Sebagai permulaan untuk memupuk empati terhadap golongan yang terkesan langsung dengan isu wali jadong, kesihatan mental seseorang perlu juga diambil kira lebih-lebih lagi jika punca kepada masalah tersebut datang daripada wali fasik tersebut. Banyak perkara yang boleh ditambah baik. Contohnya, daripada membiarkan anak tersebut berjumpa langsung dengan wali tersebut, pihak pejabat agama atau mahkamah yang perlu memanggil wali tersebut supaya melepaskan hak wali tersebut kepada orang yang lebih layak. Terlalu mudah menghukum jika tidak berdepan sendiri dengan masalah sistem seperti ini. Sistem yang memudahkan orang lain, bakal disambut baik oleh semua lapisan masyarakat. Sistem yang membebankan, akan membuatkan orang makin jauh dan takut dengan urusan beragama.

Komen