Islam Kita Dan Rasuah, Mana Titik Noktahnya?

BEBERAPA minggu lalu kita dikejutkan dengan kes pertuduhan rasuah ADUN Batu Maung yang melibatkan rasuah, penggubahan wang haram dan korupsi wang yang melibatkan sejumlah wang yang bernilai RM11 juta. Jurubahasa mahkamah mengambil masa selama lebih daripada 4 jam untuk membaca pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau yang berjumlah sebanyak 106 buah pertuduhan. Terkedu saya membaca berita tersebut kerana melihatkan banyaknya jumlah pertuduhan yang dibicarakan. Mesti semput jurubahasa mahkamah hendak menghabiskan bacaan kesemua 106 pertuduhan yang dikenakan ke atas pesalah. Dan minggu ini pula kita menyaksikan kes pecah amanah Syed Saddiq yang sudah disiasat SPRM sejak daripada tahun lepas bernilai sebanyak RM1.1 juta akhirnya dibawa ke mahkamah.

Rasuah adalah perkara yang sangat dilaknat dalam Islam namun banyak kes pecah amanah, korupsi dan rasuah yang kita lihat di media Malaysia ini melibatkan orang Melayu beragama Islam. ‘Hall of Shame’ pesalah rasuah dalam laman web SPRM menunjukkan ramai pesalahnya Melayu beragama Islam. Makan suap ini memang budaya yang mendarah daging di mana-mana, daripada serendah-rendah tahap penjawat awam sehinggalah ke peringkat pemimpin tertinggi negara. Najib Razak, Zahid Hamidi, Tengku Adnan adalah antara nama orang Melayu yang agamanya Islam bukan Kristian, bukan Buddha. Adalah sesuatu yang tidak masuk akal, Melayu ini tiada masalah melaknat LGBT, Liberal dan Sekular, tetapi dalam hal rasuah yang jelas betul dilaknat Nabi dan Tuhan itu, orang Islam kita menganggap ia tiada apa. Ini skandal yang kita tahu, belum lagi skandal-skandal yang kita tidak tahu yang mana boleh jadi elit-elit agama turut tidak terkecuali.

Apa sebenarnya yang tidak kena dengan Islam Malaysia ini sehinggakan rasuah dalam kalangan orang Melayu bukan perkara yang memalukan dan dianggap biasa. Nak kata Islam tidak dimartabatkan, Islam itu adalah agama persekutuan dan kita ada banyak institusi agama. Masjid di negara ini amatlah banyak, surau-surau dan musolla bertebaran di mana-mana. Nak kata tiada pendidikan agama, kita ada ratusan sekolah agama di peringkat menengah dan rendah, dan Pendidikan Islam adalah subjek wajib pelajar Melayu di sekolah. Kita juga ada universti Islam dan fakulti pengajian Islam di hampir semua universiti2 awam. Kita juga ada banyak mufti dan ulama-ulama yang merupakan ahli-ahli majlis-majlis ulama dunia dan kita juga ada menteri agama yang menjaga JAKIM yang mendapat bajet dana awam sebanyak RM 1 bilion setahun.

Kita ini dengan Islam amatlah serius kerana memang Melayu dengan Islam bersimpul mati, berpisah tiada. Tetapi yang aneh rasuah dan korupsi dengan kita juga seakan bersimpul mati juga, kerana tak mati-mati juga dengan banyaknya ceramah agama yang tular di laman-laman media sosial. Yang jelas undang-undang yang ada bukanlah jalan paling ampuh dalam mencegah rasuah kerana rasuah ini sudah membudaya dan mendarah daging dalam masyarakat kita. Sesuatu yang kita wajib sedari rasuah hidup dengan sebab wujudnya nilai dan sistem etika moral dalam masyarakat yang membenarkan amalan rasuah, suap dan sogokan, serta struktur sosial dan ekonomi. Semakin besar kadar kesenjangan kuasa dan ekonomi dalam sesebuah negara, semakin banyaklah masalah korupsi dan rasuah dalam masyarakat tersebut.

Yang menariknya pada kita, adalah ada beban psikologi feudal yang membelenggu masyarakat kita yang mendokong untuk rasuah ini kekal dalam urat nadi bangsa. Psyche feudalistik mempunyai cara fikir yang memandang bahawa untuk seseorang itu dilindungi dan diberikan manfaat adalah dengan cara memberikan manfaat dan habuan kepada orang yang mempunyai kuasa dikehendaki sebagai imbal balas kepada manfaat dan perlindungan yang dikehendaki daripada orang yang memegang kuasa tersebut. Ini secara tidak langsung mengabsahkan kekuasaan orang yang berkuasa dan memberi satu motivasi kepadanya untuk menumpuk kekayaan dengan pengaruh dan kekuasaannya. Selain itu juga ia makin tamak untuk memperluaskan kekuasaannya demi menambah kekayaan dan faedah-faedah duniawi yang boleh dikecap termasuklah kuasa dan pengaruh. Selain harta, kuasa dan pengaruh juga adalah perkara yang dikejar-kejar manusia fuedal kerana beringingan dengannya ada bermacam kelebihan dan keistimewaan yang akan diperoleh, paling penting imuniti daripada undang-undang dan ketundukan orang bawah kepadanya… Aaaah itu semua mengasyikkan. Kerana itu mereka digelar manusia kayangan. Undang-undang bumi ini bukan untuknya.

Sebagai imbal balas daripada habuan yang telah disogok tadi, manfaat yang dituntut dan perlindungan akan diberikan kepada penyogok. Dan kerana hubungan antara yang menyogok dan disogok saling memberikan manfaat untuk kepentingan peribadi masing-masing, ia adalah kitaran yang sukar untuk melemah kerana di sini lah kesetiaan antara yang berkuasa dan yang memberi rasuah dan sogokan dibina. Kesetiaan yang tidak berbelah bahagi atas sebab kuasa dan penerimaan manfaat dan perlindiunganlah yang menjadi asas hubungan penguasa-penguasa feudal dan kelas bangsawan dengan rakyat, dan kelas elit dan serta kelas marhaen di negara ini. Kerana feudalisme itu dibina atas unsur kekuasaan dan pengabsahan kekuasaan, maka tidak hairanlah jika ia masih ada lagi sehingga kini walaupun dalam keadaan sistem tradisional feudal itu sudah runtuh.

Sesuatu yang amat wajar dipersoalkan mana silapnya haluan keberagamaan kita di Malaysia ini, sungguhpun Melayu sudah Islam selama berabad-abad lamanya, kita masih ada segan-segan untuk menolak rasuah dan menghukum pelaku-pelakunya, semakin tinggi jawatan dan kedudukan orang yang melakukan rasuah, semakin kuat pula tolak ansur kita kepada mereka. Mana letaknya Islam kita yang melaknat rasuah dan korupsi, seolahnya macam hampir tidak ada. Yang mudah ditangkap dan dihukum rasuah itu cuma pegawai-pegawai bukan level menteri-menteri, menteri besar, hatta perdana menteri. Kalau daripada golongan istana, lagi lah tidak boleh disentuh. Anehnya, mereka ini diletak sebagai pelindung dan ketua agama. Ironi sekali.

Prof Shaharuddin Maaruf ada bercerita kepada kita tentang orientasi agama negara ini dalam bukunya “Idea-Idea Melayu Tentang Pembangunan”. Kata beliau, karekter yang jelas pada orientasi agama yang terdapat di alam Melayu ada beberapa perkara, dan ini agak menjelaskan kenapa Islam di Malaysia ini tidak berbekas pada etika moral masyarakat dan pemimpin sungguhpun secara zahir simbol dan manifestasinya terdapat di merata-rata tempat. Antara karekternya yang utama adalah agama tidak pernah masuk ke dalam kehidupan sosial kelas penguasa, sekurang-kurangnya ajaran agama yang mengganggu gugat kepentingan ideologi pemerintah dan kehidupan beragama itu banyak dipengaruhi oleh kepentingan kelas pemerintah. Ini apa yang disuguhkan oleh Dr Faizal Musa sebagai Islam Konseptual, Islam yang sebatas dalam kitab-kitab bukan Islam yang menjadi praktik.

Rasuah itu dosa besar, tetapi praktiknya ramai orang tidak merasa berdosa melakukan dosa tersebut lebih-lebih lagi kelas penguasa. Kata Prof Shaharuddin Maaruf lagi, ada pemisahan yang jelas dan dualiti pada dunia dan akhirat. Bermakna agama dilayan hanya sebatas ritual agama sahaja. Cukuplah beramal ibadah seperti solat Jumaat, dua hari raya, pergi menunaikan haji dan umrah, dan melaksanakan ibadah korban itu sudah cukup sebagai amal. Nah, lebih menarik sekarang, amalan-amalan agama itu tidak terbatas di situ sahaja, ia sudah ditambah dengan imej-imej agamis seperti pakaian jubah, kopiah dan tudung oleh kelas penguasa, tazkirah-tazkirah agama, dan bacaan doa serta menajdi imam solat. Pada intinya ajaran agama yang amat-amat penting dan prinsipal seperti keadilan sosial, keluhuran undang-undang, mengangkat kemiskinan, haramnya dan laknatnya rasuah dan korupsi, tidak merosakkan alam dan haramnya menzalimi sesiapa pun itu semuanya dipandang sepi.

Jadi tidak ada apa yang pelik kalau Najib Razak, koruptor paling besar negara yang sudah menyonglap wang rakyat berbilion-bilion ringgit tidak malu berdoa merintih-rintih nama Allah untuk menagih sokongan rakyat, Zahid Hamidi tidak malu untuk menggunakan nama Allah untuk menutup bohong tidak melakukan korupsi, menteri agama menangis air mata buaya insaf ketika mendengar khutbah Aidil Adha, tetapi tetaplah dia istiqamah mendukung kerajaan yang zalim dan korup, dan pemimpin-pemimpin feudal kita solat dan berdoa dengan tawadhu’ di laman-laman sosial mereka dan media-media arus perdana; dalam masa yang sama rakyat sengsara nyawa-nyawa ikan, mereka boleh buat dek macam tiada apa. Mereka tidak lah korup dan rosak secara individu dan ia terjadi tiba-tiba melainkan kerana sistem nilai feudalistik yang menundukkan agama untuk kepentingan penguasa dan kuasa, memisahkan ajaran prinsipal Islam daripada kehidupan dunia yang sudah menjadi darah daging bangsa ini selama berabad-abad, itu lah yang menyebabkan wujudnya sikap mereka ini semua.

Membanteras rasuah melalui nilai agama juga sebenarnya memerlukan keberanian moral kerana ia bertembung dengan nilai feudalistik masyarakat kita dan ancaman-ancaman penguasa termasuklah penguasa agama. Dan ia adalah kerja yang berat, kerana yang perlu dilakukan adalah merombak sistem nilai yang sedia ada, dan menyebarkan seluas-luasnya kepentingan Islam praksis (Islam pada prinsip, nilai dan tindakan), atau kata Dr Faizal, Islam aktual. Apa gunanya berbangga mengaku terpaling Islam tetapi dengan rasuah dan korupsi kita boleh bertolak ansur dan tanpa malu melakukannya.

Komen