Islam Konseptual

PADA tahun 1699, berlaku satu kejadian yang tidak dijangka di alam Melayu. Sultan Mahmud Syah telah dibunuh dan baginda dikenali sebagai Sultan Mahmud Syah Mangkat Dijulang.

Terdapat keperluan untuk kita merenung insiden besar ini semula. Jika kita melihat sumber-sumber tempatan seperti Tuhfat an Nafis, Hikayat Johor, dan Hikayat Johor serta Pahang; semuanya telah melunakkan insiden sejarah yang membabitkan Sultan Mahmud Syah ini. Ada beberapa hipotesis mengenai situasi ini. Pertama, saya percaya adanya kepentingan pengarang untuk menjaga kehormatan, maruah dan tonggak orang Melayu iaitu pemerintahnya. Kedua, dalam masa yang sama ada agenda pengukuhan semula faham feudalisme di dalam minda orang Melayu supaya mereka tidak terputus dari hakikat bahawa pemerintah adalah seorang yang mulia dan mesti dipatuhi.

Pada satu ketika,  dalam beberapa keadaan terpilih, jalan yang lebih baik kadang kala adalah dengan merujuk kepada sumber bukan tempatan, seperti dokumen dan surat pedagang Belanda, Inggeris dan Dane yang tidak mempunyai kepentingan. Dalam kes melibatkan Sultan Mahmud Syah sebagai misalan gambaran yang diberikan mengenai baginda adalah konsisten dalam semua rekod. R.J Wilkinson misalnya dalam Jurnal JRASMB jilid IX memetik surat Kapten Alexander Hamilton, ‘He was a great sodomite, and had taken many of his Orankays or Noble Sons, by force into his palace for that abominable service.’ Hal yang sama dilaporkan oleh duta Belanda di Johor ke Betawi. Dalam surat William van der Lely dan Daniel Rysdyck bertarikh 5 April 1699, mereka turut membuat laporan perihal tidak senonoh ini.

Apa yang berlaku pada tahun 1699 itu – pembunuhan Sultan Mahmud Syah – tidak syak lagi adalah sebuah revolusi. Namun demikian, harus diingat yang revolusi hanyalah sebuah proses. Ia bukan sebuah matlamat. Setiap revolusi yang berlaku dalam sejarah manusia hanyalah satu gerakan, bukannya tujuan. Revolusi tahun 1699 tersebut gagal mencapai matlamatnya iaitu mereformasikan institusi politik umat Melayu. Sungguh pun demikian, hakikat bahawa orang Melayu melakukan revolusi mental, spiritual dan material pada tahun 1699 seperti itu sangat mengejutkan.

Kejadian pembunuhan Sultan Mahmud tersebut adalah jelas satu kebangkitan rakyat. Ia berlaku kerana berleluasanya kezaliman dan kekejaman yang dilakukan oleh Sultan Mahmud Mangkat Dijulang. Untuk nota, revolusi ini disertai oleh rakyat. Sultan Mahmud bukan sahaja dilembing Megat Sri Rama kerana isterinya dibunuh sultan, tetapi rakyat telah keluar beramai-ramai lalu mengheret jenazah baginda dalam keadaan bogel, melecutnya dengan batu dan membiarkan mayatnya di rumah bendahara sehinggalah Tun Abdul Jalil mengalah oleh desakan rakyat untuk menjadi raja.  Hanya setelah rakyat berhimpun di rumahnyalah baru Tun Abdul Jalil bersetuju ditabalkan menjadi sultan yang baharu. Setelah Tun Abdul Jalil meredakan kemarahan rakyat barulah jenazah baginda dibalut dengan lapan ela kain lalu dibawa pergi. Ini misalnya dinyatakan oleh surat Gabenor Melaka ke Betawi waktu itu, van Hoorn yang bertarikh 17 Oktober 1699. Gabenor tersebut mendapat maklumat dari pedagang dan saudagar asing yang lari dari Kota Tinggi dalam keadaan terkejut dan ketakutan.

Seperkara lagi yang harus dilihat dengan dekat ialah revolusi yang berlaku pada tahun 1699 itu bukanlah revolusi material, yakni revolusi benda. Rakyat bukannya kelaparan seperti dalam hal revolusi Perancis. Di bawah pentadbiran Tun Habib Abdul Majid, dan Tun Abdul Jalil, kemakmuran Johor adalah di luar jangkaan. Ini berlaku kerana kecekapan pembesar-pembesar Melayu Johor waktu itu memperolok-olokkan kuasa asing khususnya Belanda. Pelabuhan di Kota Tinggi itu juga dikunjungi saudagar seluruh dunia. Pembangunan Johor membangun secara luar biasa. Malah ada bukti menunjukkan di Johor Lama terdapat kemudahan memperbaiki kapal. Pedagang Inggeris, Kapten Hall misalnya sering membawa sekoci Supply untuk dibaiki. Sejarawan Barat Barretto de Resende, misalnya menyatakan tentang hal ini sebagai, ‘Port Jor lies inland from Point Romania. It is once again becoming inhabited, an many galleys an other vassels are being built there. There in an abundance of provisions agallochium and tar.’

Sebelum Raja Kecil berpindah ke Riau semula, pelabuhan Johor Lama di Panchor telah mempunyai tiga buah gudang penyimpanan barang yang didanai oleh  pemodal asing yang dikenali sebagai Sidik Lebai dan La Kwa. Hal ini ikut dinyatakan oleh sejarawan terkenal B.W Andaya. Ini semua menjadi bukti kepesatan ekonomi Johor. Justeru, orang Johor tidak melarat atau berdepan dengan masalah makanan seperti Revolusi Perancis.

Maka apakah yang terjadi sebenarnya?

Apa yang berlaku pada tahun 1699 ialah penindasan spiritual yang dahsyat sehingga rakyat memerlukan jalan keluar. Apakah penindasan spiritual? Dalam hal ini, kita mungkin boleh merujuk kepada kisah Asiah isteri Firaun. Baginda misalnya hidup dalam istana yang mewah dan serba cukup tetapi masih melawan dalam senyap kerana dari segi rohaninya ia tertindas dan dizalimi. Hak Asiah untuk mengesakan Allah, untuk beriman, dan untuk mengamalkan akhlak yang mulia dicabul Firaun. Revolusi senyap Asiah ini dihargai Allah dan baginda dinobat sebagai salah seorang penghulu wanita di syurga. Adalah penting untuk kita fahami, revolusi 1699 ini berlaku jauh lebih awal sebelum berlakunya revolusi 1979 di Iran yang mempunyai maksud yang sama; iaitu untuk membebaskan diri dari belenggu penindasan spiritual.

Umat Melayu ketika itu merasakan Sultan Mahmud telah mengabaikan pembangunan rohani rakyat. Malah menganiaya mereka. Tidak hairanlah rakyat bangkit menentang baginda. Persoalan moral Sultan Mahmud itu hanyalah satu faktor dari banyak faktor yang mendorong revolusi 1699.

Insiden Sultan Mahmud Syah Mangkat Dijulang ini adalah satu kejutan yang cukup hebat untuk bangsa Melayu waktu itu. Ini dengan mengambil kira mitos dan lagenda yang menjadi kerangka epistemologi, kosmologi dan budaya Melayu.

Ini kerana selama ini Melayu dicekam oleh Islam Konseptual. Sebagai contoh kedatangan Islam konseptual yang tidak memberi kesan aktual telah secara terus-terusan memelihara status pemerintah. Dalam mitos politik Melayu, pemerintah mereka adalah dari keturunan Iskandar Zulkarnain yang mulia dan turun dari kayangan. Ia adalah satu susunan nilai yang dipertahankan bahawa pemerintah itu Tuhan. Jelas sekali ia adalah satu konsep pendewaan yang diwarisi dari zaman Hindu, yang telah diberi sentuhan Islam dengan dokongan hadis palsu bahawa raja itu bayang-bayang Tuhan di muka bumi atau zullullah fi al-‘alam, satu konsep mirrors for princes.

Jadi apa yang terjadi itu kepada Sultan Mahmud itu adalah raja yang tidak lagi ada kekudusan malah melakukan kemaksiatan, sedang masyarakat sekelilingnya sudah berkembang dan memahami tujuan dan makna kehidupan, maka raja itu hanyalah bertahan sebagai primus inter pares. Kedudukannya hanya atas persetujuan rakyatnya dan bukan lagi kerana kuasa ghaib.

Namun buat segelintir Melayu arus perdana pada waktu itu, yang telah menanamkan kesetiaan tidak berbelah bahagi walau apapun perbuatan pemerintah ini, mereka sangat terkejut dan mengutuk kebangkitan 1699 itu. Orang Laut misalnya yang kebanyakannya meyakini kesucian keturunan raja dari Palembang ini tidak dapat menerima pelantikan Tun Abdul Jalil sebagai raja yang baru. Ini lantaran tradisi Sejarah Melayu, dan kaitannya dengan lagenda purba sejak zaman kesultanan Melayu Melaka masih amat kuat.

Namun begitu, revolusi 1699 itu juga meletakkan orang Melayu pernah berani keluar dari kerangka mitos dan lagenda dan meletakkan mereka dalam kerangka lojik, munasabah dan pengesaan kepada Allah. Ia adalah tahun yang menyentak, 1699 meletakkan Melayu tidak lagi layu. Berani melakukan perubahan dan berani mengajar penindas mereka supaya dapat disanggah.

Cuma malang, selepas kejadian 1699; pembesar Melayu, para ulama pengampu dan sekian pengarang istana bersungguh-sungguh menutup sejarah ini supaya orang Melayu tidak dapat merasai gelombang kebangkitan mental tersebut.

Akan tetapi, seperti yang telah dinyatakan sebelumnya, revolusi 1699 ini adalah kebangkitan gagal. Mengapa ia gagal?

Pertamanya revolusi tersebut yang sepatutnya merupakan satu gerakan amar makruf nahi mungkar dari bawah ke atas tidak memenuhi tiga kriteria asas nahi mungkar iaitu:

  1. Pihak yang mencegah kemungkaran harus mempunyai ilmu perkara yang dicegah. Fikah siasah atau fikah pemerintahan tidak menjadi satu ilmu yang dipelajari oleh rakyat secara meluas. Islam yang datang ke rantau kita ialah Islam dari cabang sufi yang aman sifatnya. Apabila rakyat bahkan Tun Abdul Jalil yang ditabalkan sebagai Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV meneruskan kehidupan, mereka dapati mereka kekurangan dalam aspek ini. Akibatnya Raja Kechil, anak di luar nikah Sultan Mahmud Syah dengan Che’ Apong merampas semula takhta Johor dalam tahun 1718. Baginda menerima bantuan panglima Bugis, Daeng Perani dan Daeng Chelak. Yang kemudian legasi mereka didokong oleh Raja Ali Haji.
  2. Pencegahan kemungkaran yang dilakukan malangnya tidak cukup berkesan. Ini berlaku kerana kelompok yang memahami dan terkesan dengan pencegahan itu tidak disiapkan. Akibatnya, kita tahu Orang Laut masih mempertahankan konsep pendewaan terhadap raja. Raja Negara, yakni pemimpin Singapura waktu itu bersama Yang Tuan Sakti Minangkabau, Sultan Lemah Abang Palembang, dan Dipati Batu Kucing semuanya memberikan bantuan sepenuh hati untuk mengalahkan kelompok pencegah, demi menegakkan semula kemungkaran yakni formula mitos dan lagenda Melayu itu. Alasan mereka tentulah insiden 1699 itu satu penderhakaan.
  3. Kelompok pencegah, bahkan mungkin Tun Abdul Jalil sendiri tidak menyedari bahawa mudarat pencegahan kemungkaran itu lebih besar dari manfaat. Kejutan umat Melayu oleh kehilangan raja, kerana tidak diisi secepatnya secara rohaniah oleh Tun Abdul Jalil sebagai sultan telah menjadikan mudarat pencegahan merebak menjadi lebih besar dari manfaatnya. Ketika itu Baginda berdepan dengan masalah keluarga yang meruncing, tekanan Belanda yang merasakan baginda belum cukup kuat dokongan, dan akhir sekali, kehilangan panduan spiritual telah menyebabkan baginda gagal mengawal manfaat dari revolusi itu yang meleset menjadi mudarat.

Sebab paling besar ialah kebangkitan ini gagal kerana ketara setelah itu ulama Islam konseptual bercambahan lebih banyak dari biasa dalam mempertahankan cabang Islam ini. Ulama yang digelar ulama istana ini terus mempertahankan keutuhan raja sedangkan ia menyalahi sunnah. Umat Melayu kehilangan kelompok Islam aktual.

Dalam hal ini, apa yang dimaksudkan dengan Islam konseptual dan Islam aktual di sini? Ia bermaksud; Islam yang menjadikan ajaran Islam terbelenggu dalam kitab semata-mata tetapi tidak dilaksanakan. Ia adalah pertembungan antara Islam Konsep dan Islam Praktis.

Kerana itulah dari sudut pandang yang lebih luas, tokoh Raja Ali Haji harus bertanggungjawab kerana terus melanjutkan konsep pemerintah itu bayang-bayang Tuhan di muka bumi. Beliau gagal untuk membawa umat keluar dari rangka pendewaan raja era Hindu seperti diketengahkannya dalam Tsamarat al-Muhimmah. Hal ini turut terpancar pada Muqaddima Fi Intizam karya Raja Ali Haji, di mana beliau menekankan persoalan teknikal pemerintahan, dan pelaksanaan hukum misalnya. Beliau tidak sama sekali mengangkat falsafah, hikmah dan kedudukan akal untuk memandu aspek kehidupan berdasarkan Islam.

Selain itu dalam Bustan al Salatin contohnya penegasan raja daripada keturunan Iskandar Zulkarnain ini cukup ditekankan bagi menonjolkan konsep kedaulatan yang menjadikan masyarakat dan budaya kita terus terperuk dalam keadaan statik, tidak maju dan tidak mahu berubah. Islam konseptual menghalang penggunaan akal kerana bimbang status mereka tergugat. Sekiranya gerakan Islam aktual 1699 itu benar-benar merakyat dan tersebar, orang Melayu tidak akan terus memuja pemerintah. Kongkongan untuk merubah kepimpinan Melayu juga tidak terganjal.

Hari ini, Islam konseptual terdapat dalam al-Quran, kitab, sunnah, ceramah di masjid, dan ciapan mufti di media sosial. Akan tetapi langkah seterusnya, iaitu Islam aktual iaitu praktikalnya Islam tidak didirikan. Islam konseptual dengan itu boleh membenci kezaliman kerana ia ada dalam teks suci tetapi tetap didokong kerana tiada praktisnya. Inilah yang menjelaskan kepada kita mengapa ada agamawan gagal memihak kepada orang tertindas seperti yang dilakukan oleh baginda Rasulullah saw. Padahal Nabi Muhammad itu pencetus Islam aktual, dan pendokongnyalah yang benar-benar memikul tanggungjawab Islam, dan mereka sepanjang zaman mencipta sejarah.

Komen