INTERNET DI BAWAH BAYU

Siapa yang masih ingat kisah tiga tahun dulu apabila seorang sumandak bernama Veveonah Mosibin terpaksa memanjat pokok untuk menjawab peperiksaan secara dalam talian ketika negara dilanda pandemik COVID-19?

Veveonah yang merupakan siswi Universiti Malaysia Sabah (UMS) terpaksa memanjat pokok semata-mata untuk mendapatkan liputan telekomunikasi yang baik supaya boleh melayari Internet.

Demikianlah cabaran di Sabah yang perlu dihadapi oleh rakyat negeri di bawah bayu itu sebagai negeri kedua terbesar di Malaysia dengan bentuk muka bumi yang mencabar serta infrastruktur yang terhad.

Justeru Kementerian Komunikasi dan Digital melalui menterinya YB Fahmi Fadzil telah menjadikan negeri Sabah sebagai salah satu fokus kerajaan dalam usaha memperbaiki jaringan komunikasi untuk rakyat.

Dalam lawatan ke Sabah pada penghujung Oktober, YB Menteri telah berkongsi hasil inisiatif Kerajaan Perpaduan yang telah tercapai seperti menyiapkan 60 dari 67 Point of Presence (PoP) Fasa 1 yang memberi manfaat kepada lebih 6,000 premis sekolah dan perniagaan.

Pada masa sama, 118 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) untuk komuniti setempat memperkasa ekonomi digital dan jana pendapatan melalui platform e-dagang telah berjaya didirikan dengan sejumlah 14 lagi PEDi bakal menyusul.

Tidak dilupakan juga 2 dari 10 unit Starlink Fasa 1 telah dipasang di Sabah dan kerajaan menyasarkan lagi 9 dari 40 unit Starlink Fasa 2 juga bakal dipasang di negeri di bawah bayu itu.

Dalam memastikan khidmat telekomunikasi seiring dengan perkembangan teknologi semasa, sejumlah 401 dari 622 tapak 5G juga telah disiapkan bagi menyebarluaskan liputan 5G di Sabah.

Penyiapan 401 tapak 5G ini juga telah memastikan liputan 5G di kawasan berpenduduk dalam negeri Sabah mencapai tahap 48% buat masa ini.

Adalah diharap inisiatif Kerajaan Perpaduan ini akan berterusan dengan lancar dalam memastikan Internet di bawah bayu setanding di negeri-negeri lain dan tidak ada lagi anak negeri Sabah yang perlu panjat pokok demi mendapatkan talian Internet.

Komen