Inilah Kisah DAP Saya

Saya tak pasti dari mana saya patut bermula, namun saya cuba menulis dengan sejujurnya dari hati bagaimana saya berada di sini hari ini sebagai ahli seumur hidup sebuah parti pelbagai kaum yang telah bertapak di Malaysia selama lima puluh lima tahun.

Inilah kisah DAP saya.

Saya mula terdedah dengan politik sejak saya kecil lagi. Bukan kecil-kecil main api itu. Sudah besar jugalah. Latar belakang keluarga, khususnya ayah saya yang terlibat dalam politik mendedahkan diri saya dengan politik. Namun pandangan saya terhadap politik waktu itu masih lagi kabur, sekabur kisah Azmin Ali. Tetapi tragedi 1998 semasa saya di universiti telah menerbitkan jiwa memberontak saya. Gelora membangkang gaya politisyen mula membentuk dalam diri saya waktu itu.

Masa pun berlalu, tetapi politik kekal menjadi keghairahan saya yang pertama dan kemudian barulah lagu-lagu Kembara oleh M. Nasir dan kelab bola Manchester United semasa era tendangan kungfu Eric Cantona.

Setelah saya didekati oleh beberapa pemimpin Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menerusi salah satu cawangan kecil mereka di kawasan Shah Alam, saya mula membantu mereka beroperasi. Itupun sekejap saja. Tak jadi ahli pun. Sehinggalah saya tidak pernah hadir walau sekali pun beberapa siri usrah, mereka mula menaruh syak. Mereka yang beriya-iya mengajak saya menyertai parti mereka kemudiannya menyindir-nyindir kerana menjangkakan yang saya tentunya telah atau sekurang-kurangnya akan menyertai parti yang lagi satu itu.

Malang pak lebai, semua yang dijangka meleset tak terucap.

Saya pernah berkongsi rasa kepada isteri saya mengenai hasrat saya – menyertai parti DAP. Kata saya, saya cuma mahu menyatakan sikap dan pendirian saya, itu sahaja niat di hati saya. Kalaupun saya rasa saya boleh menyumbang sesuatu selepas penyertaan saya ke dalam parti, saya percaya ianya tidaklah sebesar mana.

Saya masih ingat, kami berbaring dan tangan saya di dahi, risau macam kereta nak kena tarik. Isteri saya menjadi ‘wanita yang membawa selimut’. Dia tenang dan menyoal balas keputusan yang bakal saya ambil. Keputusan untuk membeli rumah pun tidaklah sepanas perbincangan kami waktu itu. Namun, setelah puas diperdebat dan diperhalusi, akhirnya dia jugalah yang menjadi orang pertama yang bersetuju dengan keputusan saya.

Saya mulakan langkah dengan mengirim emel kepada Hannah Yeoh, ADUN Subang Jaya waktu itu. Saya menyatakan hasrat untuk menjadi ahli dan sekadar mahu menjadi ahli. Tidak lebih dari itu. Ia berlaku sekitar tahun 2012. Pertemuaan kami diatur dan saya bertemu dengan beliau di Pusat Khidmat beliau di SS14, Subang Jaya. Perbualan kami menjadi sejarah yang pernah saya tulis dalam sebuah artikel yang anda boleh Google di Internet. Saya tidak berhajat untuk mengulanginya dalam tulisan ini.

Masa terus berlalu dan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pun tiba. Hannah Yeoh perlu mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada tahun 2008. Di sinilah pengalaman dan kisah DAP saya bermula. Ia bermula selepas Hannah Yeoh mengirim SMS (short message service) menjemput saya menjadi salah seorang penceramah dalam siri kempen beliau.

Waktu itu Whatsapp tiada lagi. Sejurus mendapat SMS dari beliau, saya terus maklumkan kepada isteri. Saya tertanya-tanya (sehinggalah sekarang), alasan apa beliau percaya sehingga tidak teragak-agak mengajak saya berceramah dalam kempen PRU beliau. Walhal saya bukanlah berbakat pun. Isteri saya – ‘wanita yang membawa selimut’- meyakinkan untuk menyahut cabaran tersebut. Saya mulakan dengan malam pertama berceramah bersama Dr Wan Azizah, Khalid Samad dan Nik Nazmi. Malam seterusnya bersama Rafizi Ramli dan beberapa nama yang lain. Saya juga berkesempatan sepentas dengan Dr Ong Kian Ming dan Teresa Kok untuk malam berikutnya.

Sejak dari situ, saya mula aktif dalam jawatankuasa cawangan. Bermula menjadi penolong setiausaha, kemudian menjadi setiausaha, timbalan pengerusi dan pengerusi. Saya juga aktif menulis di Roketkini, kadang-kadang di Malaysiakini dan sesekali keluar di Free Malaysia Today. Namun, saya lebih kerap menulis di Roketkini – lidah parti. Cuma, khidmat saya kepada parti tidak lebih dari sekadar menulis, menghadiri rapat umum dan berkongsi pandangan di pentas forum. Bukan kerja sepenuh masa.

Saya tidak pula berkempen mengajak rakan-rakan saya menyertai saya di dalam parti. Pilihan saya hanya menjadi pilihan saya saja. Saya bukan buat Multi-Level-Marketing, ajak seorang dan seorang itu mengajak tiga orang yang lain. Saya cuma mahu menunjukkan jalan. Jika diandaikan yang saya ini telah disuntik ‘vaksin parti DAP’, saya cuma mahu memberitahu dunia yang saya selamat dan tidak ‘mati’- saya masih Islam dan masih lagi Melayu. Itu sudah memadai. Anda boleh mengambil giliran untuk ‘dicucuk’ sama atau anda boleh menolaknya, tidak ada sesiapa pun yang memaksa.

Mungkin dari minat saya yang suka menulis, kemenangan Pakatan Harapan dan Hannah Yeoh di Segambut telah membawa saya lebih jauh ke dalam parti. Saya meletak jawatan dalam tempoh tidak sampai 24 jam daripada tempat kerja saya yang 10 tahun lamanya.

Keputusan untuk berhenti hanya dalam masa beberapa jam sahaja selepas Hannah Yeoh sah dilantik menjadi Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Ketakutan meninggalkan profesion yang telah memberi saya makan semenjak saya tamat pengajian tahun 2001 adalah sesuatu yang real. Sedikit pun saya tidak pernah terlintas untuk berhenti dan berkhidmat kepada Timbalan Menteri walaupun semasa saya membantu mana-mana calon DAP semasa kempen PRU-14 yang lepas.

Saya cuma mahu membantu DAP menang dan kembali ke meja kerja saya yang bertimbun fail-fail yang tertangguh. Tidak terfikir sehingga menjadi Setiausaha Politik seperti sekarang. Seperti mana yang saya nyatakan di awal tulisan saya di atas, niat saya menyertai DAP hanya sekadar menyatakan sikap dan pendirian saya. Saya cuma berharap sikap dan pendirian saya dapat mengubah persepsi orang di sekeliling saya terhadap politik dan vehicle seperti parti DAP ini. Saya tidak berhajat untuk mengubah dunia, cukup keputusan saya menyertai DAP dapat mengubah ‘dunia kecil’ saya yang terdiri daripada rakan-rakan kampung, rakan di sekolah dan di universiti dulu, anak-anak murid saya, ahli keluarga dan jemaah surau – saya fikir itu sudah memadai.

Saya tidak minta sesuatu yang berlebihan dari apa yang mampu saya lakukan. Saya tahu mengukur baju di badan sendiri. Saya cuma mahu memainkan peranan yang sekecil-kecilnya kerana saya sangat takut dengan amanah yang tidak mampu untuk saya pikul. Ada neraka khas untuk mereka yang tamakkan kuasa dan jawatan seperti itu. Gerun hati saya memikirkan itu sahaja.

Namun, saya tidaklah menjangkakan yang DAP dan Hannah Yeoh akan membawa saya sejauh ini. Menjadi Pegawai Tugas-Tugas Khas Kepada Timbalan Menteri semasa Hannah Yeoh di Putrajaya benar-benar mencabar fizikal, mental dan emosi. Dalam masa yang singkat, apa yang kita tawarkan mesti ditunaikan.

Makanya, saya wajib berterima kasih kerana dengan menjadi ahli DAP, ianya telah membawa saya ke Putrajaya, memberikan saya pengalaman paling berharga dalam hidup, mencipta suka-duka berpolitik, mempelajari kemahiran dan memiliki ilmu baharu serta mendepani pelbagai dugaan yang mustahil untuk saya tulis dalam rencana sependek ini.

Oleh sebab itulah saya tumpahkan segala kudrat yang ada semasa saya menjadi sebahagian daripada kerajaan di Putrajaya. Saya fikir, hanya itu sahajalah cara saya mahu membalas budi.

Saya jarang menulis panjang sebegini dan saya tidak rasa yang saya berjaya luahkan kesemuanya di sini, namun ketahuilah semua – inilah kisah DAP saya.

Komen