73 jong masuk kuala. Hanya 32 yang sempat berlabuh di jeti. 41 lagi karam sebelum tiba di muara. Jong hilang majoriti, undi popular merudum 43%. Jatuhan sebanyak 4%, berbanding pilihanraya dua tahun dulu.
Ini satu realiti yang pahit untuk ditelan. Tapi sebenarnya belum jadi racun yang membunuh. Ya, masih ada ruang untuk menjahit layar yang carik, dan menukang geladak yang tiris. But first, be a gracious loser. Accept the verdict by rakyat, and m̷o̷v̷e̷ sail on. Jangan lagi berfantasi dalam diam, mengharap ada lompatan-lompatan jijik dan keji.
kalau fikiranmu dipenuhi duri
kaulah minyak di dalam api
— T. Alias Taib (Di Kebun Rumi, 2002)
Dalam soal politik, Sabah memang selalu menawarkan citarasa paling luar jangka. Dari semenjak Malaysia dibentuk sehingga Jumaat lepas, negeri ini telah menukar kerajaan sebanyak 6 kali. Satu keluk kelintar yang maha dahsyat.
Pada Sabtu lepas, sekali lagi Sabah mendapat kerajaan baru untuk kali ketujuh (secara rasmi, pagi ini). Sekilas pandang, macam tiada yang pelik. Sebab fitrah asasi negeri ini memang gemar menukarganti. Tapi sebenarnya ini amat mengejutkan. Kenapa?
Dalam sejarah politik Sabah selama 57 tahun, belum pernah ada kerajaan yang tumbang dalam tempoh 27 bulan. Semua pemerintah sebelum ini diberi peluang sekurang-kurangnya dua penggal (9-10 tahun). Kali ini, setengah penggal pun hampir tidak lepas.
Apa maksudnya? Kesedaran demokrasi sudah bertambah subur. Rakyat semakin bitara dan berani menggunakan hak serta kuasa yang ada di tangan. Mesej rakyat kepada ahli politik sangat garang: “Layan kami secara terhormat. Atau sepantas kilat kami akan tundukkan kalian, separas rumput di bumi!”
Seperti juga kata-kata Mark Twain: “Politicians are like diapers. They need to be changed regularly, and for the same reason.”
Sebelum ini, pengundi agak takut-takut tukar diapers. Bila taik sudah menimbun dan keluar bau tengik satu daerah, baru ada usaha menukar. Sekarang lain. Seperti yang terbukti dalam PRN Sabah 2020. Baru tercirit pun, pengundi sudah berani rentap diapers dan tanggal buang. So, jangan main-main.
Sepanjang kempen PRN yang baru tamat, semua parti politik telah menabur janji di depan rakyat. Kita juga tahu, di belakang rakyat mereka turut bertukar janji sesama sendiri (baca: agihan jawatan). Dengan rendah hati, saya merayu sekalian ahli politik yang menang untuk mendahulukan janji kepada rakyat.
Kenapa PH federal digelar kerajaan “gajah bunting”? Sebab pemerintahannya cuma bertahan 22 bulan; ngam-ngam tempoh gajah hamil beranak. Ambil pengajaran dari kelaku sumbel PH, yang lebih agungkan janji sesama sendiri daripada janji kepada rakyat.
Katanya, manifesto pilihanraya itu bukan kitab suci. Tapi janji sesama dia (agihan kuasa PM) seolah-oleh macam wahyu Tuhan yang wajib ditaati. Janji untuk kepentingan diri, beriya-iya tidak mau engkar. Sanggup berbalah sengketa. Namun janji kepada rakyat begitu mudah dimungkiri.
Akhirnya kerajaan itu tiarap terciduk separuh jalan. Mungkin akibat sumpahan karma rakyat jelata. But this is a good lesson for everyone.
InsyaAllah, jika janji kepada rakyat diberi pemberat dan didahulukan; janji sesama pemimpin akan lebih mudah dipenuhi. Percayalah.
Dalam situasi pandemik yang sukar ini, kita perlukan arahtuju dan dasar kepimpinan yang padu. So that we can unite as a collective formidable force to win this battle. Moga mandat rakyat dimartabatkan, kepentingan peribadi diketepikan.
Dirgahayu Sabah, tanahairku tercinta.
———
Nota kaki:
Pencapaian gred bagi semua “registered single entity” yang bertanding dalam PRN 2020 di Sabah:
1. Perikatan Nasional — 17/29 = 59% (C+)
2. Warisan — 29/54 = 53% (C)
3. Barisan Nasional — 14/41 = 34% (E)
4. Parti Bersatu Sabah — 7/22 = 32% (E)
5. Parti Keadilan Rakyat — 2/7 = 29% (F)
6. UPKO — 1/12 = 8.3% (F)
7. BEBAS — 3/57 = 5.2% (F)
8. Parti-parti Lain — 0/73 = 0%
Tiada satu pun parti yang lulus cemerlang. Yang lulus pun, hanya cukup-cukup makan. Maksudnya “marking scheme” rakyat semakin strict dan rinci. Tiada lagi yang layak mendabik dada dan minta puji, macam dulu-dulu. Semua parti wajib buat refleksi, hayati hikmah yang ternukil dan belajar lebih tekun bagaimana menyelami aspirasi rakyat. Ibrah paling besar dalam pilihanraya kali ini — pengundi makin berkuasa. Don’t take them for granted.

Rem Dambul atau Profesor Madya Dr. Ramzah Dambul adalah seorang klimatologis asal Sabah. Beliau juga merupakan penulis buku antaranya Alien Menchari Chinta, Déjà Vu Cinta Pencari Katarsis dan Dari Cinta Kepada Cinta, selain pernah menjadi penyunting utama buku ‘Sabah Priority Issues: Setting the Course for Change’.