Hubaya, Hubaya, Bahaya Dari Gunung!

“Hubaya, hubaya, bahaya dari gunung!”

Ucap Onn Jaafar satu masa dahulu. Presiden pertama dan pengasas UMNO, tidak ada kena mengena dengan pelakon dan pengacara lembut yang suka memasak serta memakai baju bercorak bunga matahari, yang namanya Jaafar Onn.

Semuanya bermula pada Mac 1948 di sebuah sekolah agama bernama Maahad Al-Ihya Al-Sharif, yang terletak di Gunung Semanggol, Perak. Di sebalik sekolah agama yang mengibarkan bendera merah putih berbintang dua belas itu, lahirlah Hizbul Muslimin dibawah kepimpinan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, yang turut didukung oleh Dr Burhanuddin Al-Helmy. Bersama dalam pakatan politik berbilang kaum bernama PUTERA-AMCJA, matlamat mereka ialah membebaskan Tanah Melayu dari jajahan British.

Maka kelam-kabutlah Onn Jaafar pada masa itu, keluar masuk kampung berucap tentang “hubaya, hubaya, bahaya dari gunung”, merujuk pada kebangkitan kesedaran politik umat Islam yang lahir dari Gunung Semanggol. “Mahu buat jarum sebatang pun belum pandai, inikan mahu merdeka”, ejek puak-puak UMNO kepada pejuang kemerdekaan masa itu.

UMNO pada masa itu bukanlah sebuah pertubuhan yang memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu. Slogan mereka hanya terhad pada “Hidup Melayu”.

Onn Jaafar, nasionalis Melayu Johor yang tidak ada pertalian saudara dengan Jaafar Onn itu, kemudian menambah lagi dengan berkata “bahaya dari gunung itu masih lagi ada dan ditambah pula satu bahaya yang tumbuh dari tanah dan menjalar akarnya supaya Melayu terhapus dan terjatuh kerana sebenar-benarnya parti Islam itu ‘merah’”. Merah yang dimaksudkan ialah pro-komunis.

Lalu mengadulah UMNO seperti anjing mengadu pada tuannya. Kepada raja-raja Melayu berdaulat dan berdarah kuning diadu akan hilangnya kuasa raja kepada rakyat yang sedang bangkit. Kepada penjajah British yang disanjung pula diadu akan jatuhnya Tanah Melayu kepada fahaman komunisme dek kerana perjuangan rakyat tanpa perbezaan kaum.

Hasilnya, pemimpin-pemimpin PUTERA-AMCJA disumbat masuk ke penjara, dibawah akta yang digunapakai hingga ke hari ini untuk melindungi keselamatan kita semua, namanya ISA. Turut dicekup ialah Ustaz Abu Bakar, ketua umum Hizbul Muslimin pada masa itu, selain tugasnya sebagai guru agama di Maahad Al-Ihya Al-Sharif.

UMNO kemudiannya dihidangkan tampuk kekuasaan oleh British, yang akan dikongsi bersama raja-raja Melayu yang bakal kekal di takhta singgahsana biar pun moyang-moyang mereka terdahulu yang bertanggungjawab menjual negeri-negeri Melayu kepada British ratusan tahun sebelum itu.

Itu sejarah Hizbul Muslimin, yang juga merupakan sebahagian dari sejarah Maahad Al-Ihya Al-Sharif, sejarah Gunung Semanggol dan sejarah hidup Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, tokoh keagamaan dan pejuang kemerdekaan berhaluan kiri yang dikhianati UMNO. Dan sejarah ini juga merupakan sebahagian dari sejarah Parti Islam Se-Malaysia atau ringkasnya PAS.

Kerana jika tidak adanya Hizbul Muslimin, Maahad Al-Ihya Al-Sharif, Gunung Semanggol, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dan tidak lupa Dr Burhanuddin Al-Helmy, maka tiadalah PAS hari ini.

Hari ini, UMNO dan aparatus propaganda mereka iaitu Utusan Meloya bercakap tentang perlunya muzakarah antara UMNO dan PAS. Alasan untuk muzakarah ini katanya demi membincangkan soal masa depan dan memupuk perpaduan orang Melayu dan umat Islam. Kononnya masa depan dan survival bangsa Melayu serta agama Islam kini sudah tergugat hingga memanggil kepada muzakarah antara dua parti terbesar orang Melayu ini.

Soalnya kenapa baru hari ini mahu bermuzakarah? Kenapa selepas tragedi 8 Mac, bekas MB Selangor, Khir Toyo yang kuat makan tempe itu tiba-tiba bermimpi tentang muzakarah UMNO bersama PAS? Kenapa tidak 8 Mac tahun lepas, atau selepas keputusan PRU11 dulu? Kenapa selepas PRU12 baru mahu bermuzakarah?

Dan apakah pula alasannya UMNO memerlukan PAS jika selama ini UMNO jugalah yang lantang bersuara hanya mereka dan mereka sajalah yang boleh membela nasib bangsa Melayu? Juga bukankah UMNO pernah menuduh PAS itu tidak lebih dari sebuah parti yang hanya bertopengkan agama Islam untuk mencapai aspirasi politik mereka?

Itu semua yang lantang disuarakan UMNO di waktu mereka adalah raja segala parti politik di Malaysia. Di waktu mereka berkuasa UMNO melihat PAS sebagai tidak lebih dari parti pembangkang picisan, yang harus dicaci, dihina dan dipijak. Bagi UMNO, PAS adalah ancaman kepada mereka kerana sokongan asas PAS terdiri dari majoriti bangsa Melayu beragama Islam, yang juga merupakan kumpulan sasar UMNO.

UMNO tidak pernah melihat PAS sebagai ‘equal-partner’ mereka. Di mata UMNO, PAS tidak layak untuk menjadi parti yang disokong oleh bangsa Melayu beragama Islam.

Tapi hari ini bila UMNO sendiri terumbang-ambing, tidak lagi menjadi pilihan rakyat Malaysia, tiba-tiba UMNO bertukar nada dan mula menghulur salam persahabatan bersama PAS. Kononnya demi perpaduan bangsa Melayu dan mengekalkan Ketuanan Melayu (baca UMNO).

Sudah tentu, bermain isu perkauman adalah kepakaran UMNO sejak zaman pra-kemerdekaan lagi. Hatta ke hari ini isu perkauman adalah senjata utama UMNO bila kedudukan mereka dalam bahaya.

Lihat saja bila Pulau Pinang jatuh ke tangan DAP, siapa yang paling lantang bersuara kononnya hak Melayu di Pulau Pinang sudah tergadai? Sedangkan selama ini Pulau Pinang kekal berpuluh tahun lamanya di bawah BN, terbelakah nasib Melayu Pulau Pinang?

UMNO yang sebenar-benarnya hanya berminat membela nasib bangsa Melayu yang berkeahlian UMNO. Cakap-cakap Perhimpunan Agung tentang memperkasakan ekonomi Melayu yang sebenarnya ialah tentang memperkasakan ekonomi Melayu UMNO. Masuk UMNO bukan soal mahu tolong Melayu atau jaga Islam, masuk UMNO ialah tentang berapa banyak kontrak dan tender aku boleh dapat dari kerajaan, atau apa jawatan aku boleh pegang dalam kerajaan.

Adakah orang-orang berkopiah putih dari PAS yang bermuzakarah 3 kali di waktu malam bersama UMNO itu, niatnya juga kerana mahu kontrak atau jawatan?

Soal bangsa dan agama kononnya.

Hari ini, hanya Melayu UMNO saja yang percaya UMNO ikhlas membela Melayu dan melindungi Islam. Melayu yang lain, berparti atau tidak, sudah lama hilang kepercayaan terhadap UMNO.

Tidak ada sebab untuk PAS perlu bermuzakarah dengan UMNO. PAS bukan parti nasionalis Melayu. Aku yakin arwah Ustaz Abu Bakar dan Dr Burhanuddin tidak redha jika ada yang mengatakan PAS itu parti nasionalis Melayu. Islam tidak pernah membeza-bezakan antara warna kulit.

Dan jika ikhlas mahu bercakap soal perpaduan, kenapa mahu terhad kepada perpaduan Melayu sahaja? Kenapa tidak perpaduan setiap bangsa di Malaysia yang hakikatnya walaupun sudah lebih 50 tahun merdeka, masih lagi terpisah antara satu sama lain?

Kalau betul mahu bercakap soal masa depan Islam, maka memimpinlah seperti yang dikehendaki dalam Islam. Bukannya memimpin atas dasar perkauman dan menolong sesama kroni, kemudian mahu bermuzakarah saat puak parti sendiri berada dalam risiko kehilangan kuasa dan sokongan.

Di Syria 1351 tahun dulu, Muawiyah pernah berlagak baik, menonjolkan dirinya sebagai seorang yang menyeru perdamaian dan mahu bermuzakarah, bila tenteranya menjunjung mushaf Quran di hujung tombak hingga memperdaya sebahagian besar anggota tentera dalam pasukan Khalifah Ali. Ini berlaku dalam Perang Siffin, saat tentera Muawiyah di ambang kekalahan di tangan tentera Khalifah Ali.

Perdamaian menyusul, yang membawa kepada perpecahan di dalam barisan Khalifah Ali hingga membawa kepada terkuburnya pemerintahan Khalifah dan bangunnya pemerintahan raja berketurunan yang bertentangan dengan prinsip Islam itu sendiri.

Apa tidak pernah baca sejarah Islam? Atau sendiri terpedaya dengan muslihat UMNO yang tiba-tiba menyeru kepada perdamaian dan muzakarah, hingga terlupa bagaimana dengan menyahut seruan sedemikian akan hanya memecah-belahkan PAS khususnya, dan Pakatan Rakyat amnya.

Ingat, UMNO dulu pernah mengadu domba pada British hingga tertangkapnya Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dan terkuburnya Hizbul Muslimin.

Ingat, UMNO jugalah yang pernah membunuh Ibrahim Libya dan ahli PAS yang lain, bila gerombolan aparat polis kerajaan dengan kereta perisai mereka menerobos masuk Kampung Memali di Baling, Kedah pada tahun 1985 dulu, atas alasan membasmi ajaran sesat.

Sudah lupa? Apa Tuan Guru Presiden sudah lupa?

Mana boleh. Sedangkan tuan punya badan sendiri yang memberi amanat di Banggol Peradong pada 1981 dulu, hingga bangun orang di Memali kerana amanat tuan punya badan. Apa katanya? Politik suku agama suku? Perjuangan kita ini jihad?

Oh ya, orang PAS juga manusia. Bukannya Nabi. Ya Nabi itu juga manusia, tapi jauh bezanya dengan manusia PAS ini.

Cuma yang pasti setiap manusia itu diberi akal fikiran.

Tahun 1974, Asri Muda memimpin PAS masuk BN. Tahun 1978 PAS bercerai talak dengan BN, selepas tidak dapat lagi tidur sekelambu dengan UMNO.

Asri Muda jatuh dari kepimpinan PAS dan menghabiskan sisa hayatnya bersama UMNO. Itu teladan untuk Tuan Guru di Rusila.

Ingat Gunung Semanggol, ingat Memali, kenang apa yang berlaku pada Ustaz Abu Bakar dan Asri Muda. Itu semua pengajaran buat PAS. Jika masih belum serik, tidak tahulah bagaimana lagi.

“Hubaya, hubaya, bahaya dari gunung”, ucap Onn Jaafar dulu.

Mungkin hari ini PAS pula perlu mengingatkan sesama mereka,

“Hubaya, hubaya, bahaya dari Putrajaya!”

(Artikel ini asalnya ditulis pada 24 Julai 2008 dan pernah diterbitkan di dalam buku Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Ia diterbitkan kembali bersempena Muktamar Tahunan PAS ke-68)

Komen