Hari Sarawak Dan Kepentingannya Dalam Konsep Persekutuan

MUNGKIN ramai yang tidak sedar bahawa hari ini, 22 Julai adalah Hari Sarawak atau lebih tepat lagi mengikut warta kerajaan negeri, Hari Kemerdekaan Sarawak.

Mungkin jika ada yang sedar pun tidak mahu ambil peduli melainkan dia berada di Sarawak dan sedang menikmati cuti umum serta hujung minggu yang panjang.

Akan tetapi, pentingnya 22 Julai sebagai Hari Sarawak tidak boleh kita ketepikan lebih-lebih lagi dalam meniup kembali semangat Persekutuan Malaysia yang semakin terancam akibat wujudnya gerakan pemisah yang dicetuskan oleh pemusatan kuasa secara keterlaluan di peringkat kerajaan persekutuan.

Artikel ini akan mengulas secara ringkas asal-usul 22 Julai sebagai Hari Sarawak dan kenapa ianya penting dalam acu persekutuan yang merupakan asas kepada negara kita hari ini.

Kemerdekaan Sarawak

Sarawak menjadi sebuah negara berdaulat pada tahun 1841 dan dikenali Kerajaan Sarawak di bawah pemerintahan Raja Putih, James Brooke. Brooke memperolehi Sarawak melalui perjanjian dengan Kesultanan Brunei selepas membantu dalam menamatkan pemberontakan di Sarawak.

Walaupun kerap dirujuk sebagai penjajah, pemerintahan Raja Putih sebenarnya mendapat sokongan dari penduduk setempat. Suku kaum Dayak khususnya, yang merupakan suku kaum majoriti di Sarawak adalah setia di bawah pemerintahan Raja Putih James Brooke. Polisi paternalisme diamalkan bagi menjaga kebajikan dan kepentingan penduduk asal Sarawak. Bahkan lama sebelum negeri-negeri lain mempunyai dewan undangan negeri mereka, Kerajaan Sarawak terlebih dahulu menubuhkan Majlis Tertinggi pada tahun 1867 sebagai dewan undangan negeri tertua dan ia dianggotai oleh pemimpin-pemimpin tempatan.

Kerajaan Sarawak mendapat pengiktirafan sebagai sebuah negara oleh Amerika Syarikat pada tahun 1850 dan Britain pada tahun 1864. Sarawak menjadi sebuah negara yang makmur dengan pembangunan ekonomi yang pesat bahkan mempunyai matawang sendiri iaitu Dollar Sarawak.

Pada 24 September 1941, Perlembagaan Sarawak telah digubal untuk membolehkan pentadbiran Sarawak dipegang sepenuhnya oleh rakyat Sarawak. Perlembagaan ini bakal menjadikan Sarawak sebuah negara demokratik dengan sistem raja berperlembagaan, di mana Raja Putih memerintah melalui nasihat Majlis Tertinggi sebagai yang berfungsi sebagai parlimen untuk Sarawak.

Namun kedatangan Perang Dunia Kedua dan pendudukan oleh Jepun bagaimanapun telah menamatkan era Kerajaan Sarawak yang bertahan 100 tahun lamanya. Apabila Jepun ditewaskan, masa depan Sarawak menjadi samar. Pemerintahan Raja Putih tidak dapat dikembalikan dan keputusan dibuat untuk menjadikan Sarawak sebagai Tanah Jajahan Mahkota (Crown Colony) di bawah Britain pada 1 Julai 1946 mengkhianati Perlembagaan Sarawak 1941.

Keputusan ini mendapat tentangan dari rakyat Sarawak yang mahukan kemerdekaan dan status Sarawak sebagai sebuah negara berdaulat dikekalkan seperti sebelum Perang Dunia Kedua. Penentangan ke atas Britain berlaku dan kemuncaknya adalah pembunuhan ke atas Gabenor Duncan Stewart oleh pejuang kemerdekaan Sarawak, Rosli Dhobi bersama organisasi rahsia Rukun 13. Britain kemudiannya bertindak untuk menghapuskan semua pergerakan anti penyerahan dan Sarawak kekal menjadi tanah jajahan sehinggalah pada tahun 1963.

Apabila idea Malaysia dibangkitkan pada tahun 1961, barulah ada usaha dari Britain untuk memberikan kemerdekaan kepada Sarawak dengan syarat Sarawak kemudiannya akan menyertai Persekutuan Malaysia.

Kemerdekaan Sarawak akhirnya dicapai pada 22 Julai 1963. Gabenor Sarawak ketika itu, Alexander Waddell meninggalkan kediaman rasmi pemimpin iaitu Astana dan menyeberangi Sungai Sarawak menggunakan sampan untuk menyerahkan kuasa kembali kepada rakyat Sarawak. Bendera Union Jack diturunkan dan bendera Sarawak dikibarkan. Stephen Kalong Ningkan kemudiannya diumumkan sebagai Ketua Menteri Sarawak yang pertama (kini gelaran Ketua Menteri dipanggil Premier).

Hampir dua bulan selepas itu, Sarawak bersama Malaya, Sabah dan Singapura akhirnya membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Konsep Persekutuan

Menyedari pentingnya Hari Sarawak diraikan adalah perlu dalam menjaga semangat persekutuan yang merupakan asas kepada negara kita.

Malaysia seperti kita ketahui adalah sebuah negara persekutuan. Negara persekutuan berbeza dengan negara kesatuan. Di dalam negara persekutuan, ada negeri-negeri yang mempunyai kuasa dan kerajaan mereka sendiri. Kerana itu di Malaysia kita mempunyai kerajaan persekutuan dan juga kerajaan negeri.

Di dalam rantau Asia Tenggara, hanya Malaysia satu-satunya negara persekutuan.

Namun sejak kebelakangan ini, konsep persekutuan dalam wacana negara kita semakin pudar. Ramai di kalangan rakyat lupa bahawa Malaysia asasnya adalah sebuah negara persekutuan yang terdiri dari 13 negeri. Justeru timbul persoalan dangkal tentang kuasa negeri serta sistem yang berbeza antara negeri khususnya di antara Sarawak dan Sabah dengan negeri-negeri di Semenanjung.

Maka tidak hairanlah ada mereka yang berasal dari Semenanjung berani mempersoalkan kenapa Sarawak dan Sabah mempunyai kuasa autonomi sendiri seperti kawalan imigresen contohnya. Itu belum lagi menyebut tentang Pekara 18 (Sarawak) dan Perkara 20 (Sabah) yang menjadi dokumen perjanjian penting kesediaan dua negeri atau wilayah ini untuk bersama Malaya membentuk Persekutuan Malaysia.

Justeru tarikh signifikan seperti Hari Sarawak perlu diraikan setiap rakyat Malaysia. Agar kita sedar bahawa di dalam negara persekutuan ini, setiap negeri adalah berbeza dan mempunyai keunikannya tersendiri. Walau kita menyambut Hari Merdeka pada 31 Ogos atau Hari Malaysia pada 16 September, masih ada tarikh penting lain yang besar maknanya pada negeri-negeri tertentu.

22 Julai adalah tarikh besar buat Sarawak kerana ia membuktikan bahawa bumi Kenyalang itu pernah pada satu masa bergelar sebuah negara berdaulat lama sebelum Malaysia wujud. Walaupun kini sebahagian dari Malaysia, kita perlu akui Sarawak ada sejarah, legasi dan indentitinya sendiri yang perlu dipertahankan dan dihormati.

Komen