“Cita-cita itu ialah memperindah martabat manusia, memuliakannya, mendekatkan pada kesempurnaan”
R.A KARTINI
TEKNOLOGI canggih berkaitan perubahan iklim selalunya kedengaran seksi dan menggiurkan. Tenaga nuklear, kincir angin, panel solar dan macam-macam lagi teknologi timbul tiap hari.
Sains tulen dan sains sosial sangat berkait rapat dengan kejayaan sesuatu teknologi berkaitan perubahan iklim. Teknologi canggih atau sektor yang diletakkan pada salah lokasi juga bakal mengganggu keseluruhan kehidupan masyarakat setempat. Contohnya, ketika pemerintahan British dahulu, kolonial memperkenalkan tanaman dari negara asing yang kini telah menjadi ancaman kepada pertumbuhan spesis tempatan. Malah, teknologi dan cara pertanian kita juga berubah total sejak daripada itu menambah beban kepada petani tradisional dan juga Orang Asli.
Teknologi sepatutnya datang untuk membantu mengurangkan beban tertentu tetapi apa yang golongan bukan aktivis alam sekitar tidak faham di sebalik pesatnya pertumbuhan teknologi tersebut adalah :
1. Kurangnya penglibatan sesuatu gender atau sesuatu golongan dalam perbincangan atau teknologi berkaitan climate change akan mengundang keputusan yang bias dan lebih menindas.
Sebagai contoh: masalah perebutan tanah yang tiada kesudahan daripada pihak Orang Asli dengan kerajaan negeri adalah hasil tuntas tiadanya penglibatan Orang Asli dalam pembuatan dasar atau perbincangan nyahwarta.
Demokrasi alam sekitar juga kelihatan janggal di mata rakyat Malaysia. Tidak mengejutkan apabila negeri Selangor sahaja setakat ini yang menjalankan penyiasatan awam sebelum memulakan sesuatu projek pembukaan hutan tetapi, keputusan tentang tanah yang diberi sepenuhnya kepada menteri besar, menutup suara golongan minoriti yang terlibat. Ya, ada perbincangan tetapi pada akhirnya kuasa mutlak terletak atas tangan sang pemimpin lelaki.
Contoh kedua dalam hal ini: beberapa teknologi dan pengkhususan climate change yang tidak mesra wanita menyukarkan para wanita terlibat atau mendapat hak yang samarata dalam urusan tanah, peruntukan berkaitan tanah dan mitigasi. Contoh kes boleh dibaca tentang kes-kes di Afrika, Asia dan juga masalah pertanian yang meruncing di India.
Peruntukan dana dan polisi yang berat sebelah menyukarkan para wanita untuk bersaing dan mendapatkan teknologi tercanggih yang bisa didapatkan oleh kaum lelaki. Akhirnya, golongan wanita hanya menjadi pekerja yang dibayar rendah, tidak dapat mandiri dan menyelia tanah sendiri seperti lelaki.
2. Jika teknologi tidak gender bias, kenapa laporan setiap tahun, wanita dan kanak kanak merupakan golongan paling terdedah dengan impak climate change? Tidak pernah berkurang malah bertambah saban tahun! Maksudnya di sini masih teknologi sedia ada belum mampu menyelesaikan masalah climate vs women.
Laporan daripada Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) juga telah menggariskan dengan jelas berlaku jurang yang besar berkaitan teknologi gender bias dalam hal climate change disebabkan masalah daripada keputusan polisi dan keterlibatan gender yang tidak seimbang di sebalik keputusan sesuatu polisi dibuat.
3. Setelah berhujah panjang semalam, jelas bahawa ahli sains tersebut hanya menggunakan satu data yang telah saya berikan artikel tentang unreliable, untrue and bias report daripada Copenhagen Consensus tentang isu berkenaan dan tidak dapat menerangkan bagaimana negara miskin mampu membeli atau menjalankan teknologi tidak mampu milik tersebut.
Suka juga untuk saya ingatkan, Malaysia pernah berhasrat memindahkan tenaga elektrik dari empangan Bakun di Sarawak ke Semenanjung Malaysia. Kononnya empangan besar itu mampu memberi tenaga yang mencukupi untuk kegunaan seluruh Malaysia. Ironinya, empangan tersebut bukan sahaja mengakibatkan beberapa kampung masyarakat Orang Asal di sana tenggelam bahkan mereka sendiri tidak pernah mendapat bekalan elektrik dari projek tersebut.
4. Teknologi dan sains tulen tidak pernah gender bias? Mungkin ahli sains itu terlepas pandang atau lupa syarikat Apple sendiri pernah disaman kerana mengeluarkan teknologi gender bias. Beberapa pemain teknologi dan AI juga pernah membuat kesilapan sama. Kerana apa? Kerana tiada peranan wanita ketika perbincangan atau semasa pembuatan teknologi tersebut.
Teknologi berkembang mengikut kesesuaian zaman. Sebagai contoh, teknologi keretapi dahulu hanya memikirkan tentang bagaimana ingin membawa penumpang dari satu lokasi ke satu lokasi. Setelah beberapa tahun, teknologi tersebut nyata menampakkan kekurangannya apabila penumpang wanita mula tidak mendapat keselesaan dan gangguan seksual ketika menaiki keretapi sehingga terwujudnya gerabak khas untuk penumpang wanita sahaja.
Nah! Nyata pengalaman dan keterlibatan sesuatu gender di sebalik sesuatu pembuatan teknologi mampu memberi keselesaan kepada semua golongan.
5. Keputusan berkaitan sains tulen tersebut juga tidak mampu menandingi keputusan pembuat polisi/pembuat dasar pada akhirnya.
Sebagai contoh: lebih dari 50 tahun yang lepas, para saintis telah memberi amaran kepada pemimpin dunia berkaitan pandemic dan climate change yang berlaku sekiranya Revolusi Industri (yang dimulakan dan dipelopori oleh lelaki pada waktu itu) tidak dihentikan atau dikurangkan. Tapi apa yang berlaku? Pada waktu itu, para lelaki sebagai pembuat dasar tidak mengambil peduli akan amaran tersebut sehingga berlaku masalah iklim yang berlapis-lapis.
Donald Trump juga dilihat sebagai pemain polisi yang mengamalkan patriarki dan tidak mengambil endah tentang peranan sains tulen yang dibentangkan oleh para saintis. Selepas Amerika Syarikat menarik diri dari Perjanjian Paris, kebanyakan teknologi atau usaha untuk memulihkan iklim juga terbantut. Sekaligus membuka ruang kepada pemain industri untuk memonopoli teknologi terbaru.
Sejarah juga berkali-kali membuktikan pilihan yang salah melalui pimpinan satu gender telah membuat kemusnahan yang besar. Seperti kita lihat dalam kes Chernobyl ramai juga perempuan yang terkorban dan kanak kanak yang cacat kerana keputusan salah daripada patriarki. Menjadi mangsa kepada hal yang tidak melibatkan mereka adalah zalim dan menindas.
Maka jelaslah bahawa sains tulen tidak boleh berdiri sendiri tanpa sains sosial. Tanpa mengecilkan peranan mana-mana bidang, kita sepatutnya memperluas bahan bacaan berkaitan impak sosial terhadap komuniti. Peranan kedua-dua bidang tersebut sangat penting sehinggakan jika ingin menjalankan sesuatu projek berskala besar, pihak yang terlibat harus menyediakan Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) dan juga Laporan Impak Sosial (SIA) bagi mengelakkan teknologi salah tempat.
Hal ini kerana isu climate change adalah isu yang berselirat dan tanpa komponen manusia dalam hal ini, usaha sains adalah sia-sia dan delusional.
(Suka untuk saya tekankan disini, patriarki adalah ideologi yang boleh menghinggapi lelaki atau perempuan. Maka jangan libatkan perdebatan lelaki VS perempuan di sini)

Shakila Zen adalah seorang Aktivis Alam di pertubuhan NGO bernama KUASA dan terlibat dengan pemerkasaan komuniti rentan. Manis yang melawan.