Facebook: Apabila Semua Warna Bercampur

KATA Mark Zuckerberg, pengasas Facebook, “Misi kami adalah untuk menjadikan dunia ini lebih terbuka dan saling berkait.”

Rangkaian sosial seperti Facebook telah menjadi fenomena sejagat. Berapa banyakkah kebaikan dan keburukan yang dibawa oleh Facebook?

Seperti biasa, kita akan berbahas tentang apa hukumnya sesuatu yang baru seperti televisyen, Internet dan sebagainya. Tidak terkecuali Facebook. Seperti biasa juga, kita akan mendengar pendapat umum ini: sesuatu itu bergantung kepada individu, jika ia digunakan untuk kebaikan, kebaikanlah yang akan datang. Begitulah juga sebaliknya.

Ambil saja pistol sebagai contoh. Ada orang menyimpannya untuk mempertahankan diri, dan ada orang memilikinya secara salah untuk merompak atau kerja-kerja jahat lain. Bayangkan jika setiap orang diberi hak memiliki pistol, dan dikatakan kepada mereka, ia bergantung kepada niat individu tersebut: jika digunakan untuk kebaikan, kebaikanlah yang akan datang. Tidakkah dunia selepas itu akan huru-hara dan bising dengan bunyi tembakan pistol?

Kita boleh katakan ia terpulang kepada niat individu tersebut, tetapi kita tidak dapat mengawal niat seseorang itu menggunakannya untuk apa.

Tetapi, adakah Facebook boleh membunuh? Terlalu jauh bandingannya dengan pistol. Pistol mampu membunuh, dan Facebook pula tidak mampu membunuh secara fizikal. Tetapi, si pembunuh biasanya terdiri daripada orang-orang yang sakit jiwanya. Hakikatnya kita lebih takutkan penyakit-penyakit fizikal, dan mengabaikan penyakit-penyakit berkaitan jiwa, malah kita tidak melihat Facebook sebagai satu bentuk ancaman kepada jiwa manusia kerana ia tidak merosakkan secara fizikal. Jika kita mahu berfikir, kesan kerosakan dalam masyarakat yang dicetuskan oleh Facebook adalah lebih kompleks dan lebih besar daripada tembakan pistol.

Perhatikan kepada arak. Kebaikan yang sedikit di sebalik kemudaratan yang besar.

Misalnya, hak kebebasan bersuara. Jika ia digunakan oleh golongan yang baik, kebaikanlah yang akan datang. Jika ia digunakan oleh golongan jahat untuk bersuara, kejahatanlah yang akan datang. Persoalannya, adakah kebebasan bersuara itu harus dibenarkan kepada semua orang, untuk semua perkara? Sebaliknya, jika anda memperjuangkan hak kebebasan bersuara, lalu anda menggunakan Facebook, dan anda menentang hak kebebasan bersuara sekelompok manusia yang menyeru kepada murtad misalnya di dalam Facebook, anda sebenarnya melakukan sesuatu yang bertentangan, iaitu menentang apa yang sedang anda sendiri lakukan, iaitu menyuarakan pendapat.

Dan jika kedua golongan berlawanan ini bebas bersuara, apakah yang akan terhasil? Bayangkanlah najis bercampur madu dalam satu bekas. Apabila yang suci bercampur yang kotor, ia akan mengotorkan kesemuanya.

Kebebasan bersuara adalah anjuran Barat. Facebook sebenarnya adalah salah satu medium untuk meraikan kebebasan bersuara. Mengapakah Barat memperjuangkan kebebasan bersuara ke seluruh dunia, walhal di dalam kebebasan bersuara itu juga akan ada suara-suara suci agama? Tidakkah suara-suara agama ini akan memadamkan kejahatan? Hakikatnya, apabila semua warna bercampur, seperti dikatakan tadi, ia hanya melahirkan satu warna, iaitu hitam, warna gelap.

Adakah Facebook ini adalah antara medium menegakkan sistem Dajjal untuk menguasai dunia ini dengan meruntuhkan sistem sedia ada masyarakat dunia? Mereka mahu menjadikan dunia ini anarki apabila semua orang mengagumi pendapat masing-masing dan mempertahannya. Ini akan memudahkan perancangan mereka menguasai dunia ini. Mereka menjayakannya melalui sistem demokrasi, kebebasan bersuara, atau masyarakat terbuka seperti Open Society Foundations milik George Soros. Ya, sesiapa pun berhak menulis di dalam Facebook apa-apa sahaja pendapatnya walaupun bertentangan dengan kepercayaan agama.

Ambil contoh status-status yang terdapat di dalam Facebook, yang banyak menimbulkan perdebatan yang tidak selesai-selesai, malah hanya melalaikan. Manakala sesetengahnya difahami, sesetengahnya dibantah hanya kerana perbezaan idea politik walaupun apa yang ditulis itu tiada kaitan politik. Warga Facebook terdiri daripada pelbagai lapisan sosial, umur, agama, pendidikan, dan status ekonomi, dan adalah terlalu rumit untuk menyampaikan sesuatu kepada semua mereka ini. Ada yang membantah tanpa memahami apa yang tertulis. Apa yang akhirnya terhasil adalah perperangan maya.

Saya teringat kepada Rhuwaibhidah, anak-anak muda yang membacakan ayat-ayat suci tetapi tidak sampai ke hati, hanya di kerongkong.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah saw. bersabda; “Lagi akan datang kepada manusia tahun-tahun yang tandus (kemarau panjang). Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan “Ruwaibidhah”. Sahabat bertanya, “Apakah Ruwaibidhah itu, wahai Rasulullah?”. Nabi saw. menjawab, “Orang yang kerdil dan sebenarnya hina dan tidak mengerti urusan orang ramai” ( H.R. Ibnu Majah)

Bagaimanakah orang-orang kecil ini boleh bersuara dan dikenali dunia? Adakah kerana rangkaian sosial seperti Facebook telah menjadi lidah kepada mereka? Kita sendiri telah menyaksikan lahirnya ramai “bintang” Facebook.

Apa yang pasti, Facebook telah melahirkan ramai orang kecil yang tidak diketahui entah dari mana, dan sibuk mencampuri urusan orang ramai, yang mereka sendiri jahil mengenainya. Orang-orang muda seawal 20-an, yang jika tidak diketahuinya umurnya, akan disangka sekelompok ulama yang sedang bermuzakarah.

Dengan ulama-ulama tua Facebook yang berfatwa mendapat pahala jika like status-status yang bersifat keagamaan, sehingga timbul persoalan, mendapat dosakah jika kita tidak like status-status yang bersifat keagamaan itu.

Sekali lagi, pistol itu neutral sifatnya. Jika diguna untuk mempertahan diri, itu sebaiknya. Dan jika digunakan untuk merompak, itu satu kesalahan. Tetapi, adakah kita akan membenarkan pistol kepada semua orang dengan menyerahkan kegunaannya kepada niat individu seperti tadi?

Ada kebaikannya Facebook, seperti juga air arak ada kebaikannya secara saintifik. Saya tidak nafikan, tetapi kemudaratannya adalah lebih besar jika kebaikan dan keburukan itu bercampur.

Adakah Facebook boleh dikias kepada perihal arak yang terdapat sedikit kebaikan di dalamnya, tetapi kemudaratan yang dibawanya lebih besar? Walaupun ada kebaikan di dalamnya, ia tetap memudaratkan secara umumnya. Secara khusus, ada orang yang mengambil arak dalam kuantiti yang banyak, tetapi tidak mabuk, dan ada orang yang mabuk walaupun hanya mengambilnya dalam jumlah yang sedikit. Jika begitu, mengapa tidak dibenarkan kepada orang yang tidak mabuk walaupun meminum berbotol-botol arak itu mengambil arak? Itu adalah pemikiran manusia, sedangkan Tuhan telah mengumumkan arak itu haram kepada semua, walaupun setitik.

Yang jelasnya, ayat-ayat suci, gambar-gambar porno, caci-maki, pujian dan sebagainya telah bercampur-gaul di dalam Facebook. Facebook telah menjauhkan yang dekat, mendekatkan yang jauh. Kawan semeja terasa jauh, dan kawan di Singapura terasa dekat melalui Facebook. Dekat atau jauh ditentukan oleh capaian di dunia maya. Rumah-rumah telah menjadi terlalu privacy untuk tetamu dan saudara mara, tetapi hal-hal dalam kain telah dilondehkan di dalam Facebook kepada umum. Facebook telah mendedahkan warna seluar dalam seorang anak dara pingitan kepada lelaki yang tidak dikenalinya. Hal-hal khilafiah agama telah diperdebatkan secara terbuka di hadapan masyarakat awam yang jahil hingga menimbulkan fitnah. Ulama-ulama telah dimaki-hamun hanya kerana perbezaan pendapat oleh orang-orang muda yang tidak tahu berbahasa Arab pun.

Akhirnya kita akan dihadapkan dengan pernyataan bahawa semua itu bergantung pada seseorang individu itu dalam menghadapi kekotoran Facebook dan berusaha menapisnya dan menggunakannya untuk kebaikan. Tetapi, ingatlah sekuat manapun daya imun badan seseorang, jika dia selalu menghadapi persekitaran yang kotor dan berkuman, lambat-laun dia pasti akan mendapat jangkitan kuman.

Benarlah, pada akhir zaman, orang-orang yang berjalan di atas jalan kebenaran itu benar-benar terasing di mata masyarakat, sebagaimana kita hari ini akan berasa sedikit pelik apabila mengetahui ada orang-orang yang tidak memiliki akaun Facebook.

Secara sinisnya, kewujudan ramai tokoh agamawan dalam Facebook sebenarnya hanyalah menjadikan mereka itu sebagai duta, bahan promosi dan penarik orang ramai untuk turut menyertai Facebook. Orang akan menggunakannya sebagai hujah, “apa salahnya Facebook, kerana di dalam Facebook ulama-ulama pun ada mengajarkan ilmu.”

Sekiranya seseorang itu menyatakan Facebook itu secara keseluruhannya merosakkan masyarakat, tidak bermanfaat, dan alat Dajjal, sudah tentu satu dunia ini, termasuk anda, akan sepakat menentang pendapat itu.

Tetapi, fikirkanlah bahawa fitnah-fitnah akhir zaman itu tidak hanya dalam bentuk yang membawa kepada keburukan, tetapi ia juga dalam bentuk yang membawa kebaikan, mencampuradukkan kedua-duanya agar umat manusia keliru dan terjerumus ke dalam fitnah-fitnahnya. Bahkan menurut Ibnu Al-Atsir makna asal kata “ad-dajl” adalah “al-khalth” (pencampuran, pengaburan).


Tulisan Azman Hussin ini ada di dalam Keldai Dan Kitab.

Komen