Dua Keputusan Besar Di Dua Mahkamah Besar

Hari ini ada dua keputusan besar dibuat di dua mahkamah besar.

Yang pertama di Mahkamah Persekutuan, keputusan sebulat suara 9-0 oleh prosiding hakim mengisytiharkan bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang digubal oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor adalah tidak sah kerana ianya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Cabaran ke atas kesahihan ini dibawa oleh Sisters In Islam (SIS), sebuah badan bukan kerajaan yang pada tahun 2014 telah difatwakan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebagai sesat dan menyeleweng dari Islam kerana dituduh mengamalkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama.

SIS telah mencabar keputusan tersebut di Mahkamah Tinggi tetapi permohonan mereka ditolak dan sebaliknya diarahkan untuk memohon kepada Mahkamah Syariah yang turut diberi kuasa membuat semakan kehakiman.

Tidak berpuas hati, SIS telah membawa kes ini ke Mahkamah Persekutuan bagi mencabar kesahihan dan keperlembagaan Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Mahkamah Persekutuan dalam mendengar permohonan SIS telah membuat keputusan sebulat suara bahawa DUN Selangor tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang yang memberi kuasa kepada mahkamah tinggi syariah negeri, bagi mendengar semakan kehakiman berhubung keputusan dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri.

Panel sembilan hakim kemudiannya mengisytiharkan bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.

Dalam erti kata mudahnya, kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang mereka sendiri yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana kuasa untuk mendengar kes semakan kehakiman adalah milik ekslusif mahkamah sivil seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Juga dalam erti kata mudah lainnya, Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang utama dan terulung di Malaysia. Mana-mana undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.

Keputusan Mahkamah Persekutuan ini penting kerana ia menguatkan kedudukan Perlembagaan Persekutuan yang semakin hari dicabar oleh pihak-pihak berkepentingan yang menunggang agama dan cuba meletakkan hukum agama mereka di atas perlembagaan negara ini.

Keputusan besar kedua pula berlaku di Mahkamah Tinggi, beberapa jam selepas keputusan Mahkamah Persekutuan dikeluarkan.

Di Mahkamah Tinggi, hakim telah mengisytiharkan bahawa nasib tiga beradik yang berada di dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat diserahkan kembali kepada ibu kandungnya.

Kes tiga beradik dan ibunya mungkin nampak seperti kes perebutan hak jagaan yang lazim berlaku, tetapi apa yang membuatkan kes ini luar biasa adalah ia melibatkan isu agama. Loh Siew Hong, ibu kandung kepada tiga orang anak tersebut telah berpisah dengan suaminya M Nagashwaran yang selepas perceraian, telah menukar agamanya kepada agama Islam dan memutuskan untuk ketiga anaknya juga beragama Islam.

Loh telah diberikan hak penjagaan serta kawalan tunggal ke atas ketiga-tiga anaknya oleh Mahkamah Tinggi bertarikh 31 Mac 2021. Namun bekas suaminya telah melarikan dan menyembunyikan tiga beradik itu, sepasang kanak-kanak perempuan kembar berumur 14 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun dari ibu kandung mereka yang berhak.

Loh mendapat maklumat bahawa ketiga-tiga anaknya disembunyikan di bawah jagaan seorang pendakwah di Yayasan Hidayah Centre di Bayan Lepas, Pulau Pinang. Bagaimanapun Loh dinafikan peluang untuk berjumpa dan menjemput anaknya untuk tinggal bersama oleh pendakwah tersebut.

Isu ini menjadi perhatian umum kerana kerumitan agama. Loh beragama Hindu sedang anaknya pula beragama Islam mengikuti bapa mereka. Namun apa yang menjadi persoalan adalah pertukaran agama kanak-kanak tidak boleh dibuat tanpa mendapat persetujuan kedua ibu dan bapa.

Dalam isu ini, kes melibatkan M Indira Ghandi di Mahkamah Persekutuan pada tahun 2018 perlu dijadikan rujukan. Keputusan mahkamah menetapkan bahawa pertukaran agama melibatkan kanak-kanak tanpa persetujuan kedua ibu dan bapa adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sekali lagi seperti dalam kes SIS di Mahkamah Persekutuan yang diceritakan awal tadi, Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama dan terulung dalam negara ini dan ianya tidak boleh dicabar oleh undang-undang lain, termasuklah undang-undang syariah di negeri Perlis yang digunakan oleh puak penunggang agama bagi mensahihkan pertukaran agama ketiga-tiga anak Loh itu.

Ada banyak lagi isu berkaitan lain yang berkait dengan kes puan Loh. Antaranya hak penjagaan yang diputuskan mahkamah perlu dihormati dan sebarang perlanggaran adalah satu penghinaan ke atas mahkamah. Juga perlu diberi perhatian bahawa di sisi undang-undang setiap individu adalah sama, dan seperti yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan “tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang”.

Islam mungkin agama rasmi, tetapi dalam permohonan writ habeas corpus oleh Loh kedudukan agama tidak diambil kira oleh mahkamah dalam menegakkan undang-undang.

Kedua-dua keputusan besar di dua mahkamah besar hari ini memberikan mesej yang jelas. Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati dan dipatuhi. Pada masa sama ia juga mengisyaratkan bahawa agama tidak sepatutnya dijadikan senjata untuk kepentingan atau kelebihan pihak tertentu.

Baik untuk menekan organisasi seperti Sisters In Islam, atau pun individu seperti puan Loh Siew Hong.

Semoga keluhuran perlembagaan kita sentiasa terlindung, hendaknya.

Komen