LEBAI percaya dia kebal segala jenis virus. Lebai yakin dia tak lut apa pun jenis penyakit. Lebai lagi pun anti vaksin. Paling selalu, Lebai ada rasa dia macam wali Tuhan. Lebai tidak suka kaum Liberal. Lebai benci LGBT. Lebai rasa nak lenyek Syiah dan Ahmadi.
Dalam kuliah di surau, lepas-lepas Lebai menceceh; orang akan tanya kemusykilan agama. Lebai akan jawab yang, ‘Liberal ni lawan Tuhan. Liberal masuk nuraka. LGBT tak payah cerita, tak masuk dalam kamus kita.’
Bila tiba-tiba ada penyakit baru nama Covid menjelma dari negeri China, Lebai rasa jengkel. Apa lagi dunia? Ini semua kerenah dunia yang fana ini.
Bila dia dengar kuil, tokong dan gereja menggantung semua acara keagamaan; Lebai tergelak. ‘Kita ada Tuhan Yang Maha Kuasa. Kita berdoa kepada Yang Maha Kuasa sebab Yang Maha Kuasa menjaga kita dan menentukan segalanya. Agama sana tu tak percaya sebab itu mereka takut kepada benda yang halimunan.’
Bila ada orang Syiah menyanggah dengan mengatakan, ‘Penentuan Tuhan adalah berdasarkan sebab akibat; dan sains adalah bahagian dari sebab akibat,’ Lebai sangat marah, meruok merah padam, ‘Syiah ni pengasasnya Tom Cruise ada iras scientology.’
Bila orang menjawab Tom Cruise itu bukan ahli falsafah tetapi bintang filem dengan punggung tonggek, Lebai membalas hebat; ‘Inilah orang yang tak percaya dan beriman dengan mukjizat Tuhan. Padahal Maryam yang tidak berkahwin pun melahirkan Isa alaihissalam.’
Lebai pun buat endah tak endah mengenai Covid. Lebai pun jelajah segala ceruk desa, dan berceramah mengenai agama yang memerintahkan umatnya agar tunduk kepada hukum Ilahiyyah. Bila ada orang Liberal bilang kepadanya yang hukum alam itu adalah juga hukum Ilahi, dia pun sangkal dan mengujarkan, ‘Jangan main-main dengan syariat Tuhan.’
Lebai ada banyak duit. Dan semua duit ini untuk ditabur. Berguna untuk membeli jiwa.
Tabur sini hambur sana. Kalau ada yang memerlukan, macam asnaf, Lebai akan berlari terbirit-birit ke sana dan hulur sikit. Kalau orang tak jemput lagilah dia nak ke situ. Maka sekali ada Lebai diundang ke daerah wabak yang tinggi kesnya. Lebai pun pergi. Tak ada pelitup muka. Tak ada penjarakan. Bila ada budak-budak tegur Lebai di media sosial, lekas saja Lebai naik angin dan Lebai mengingatkan agar mereka tabayyun.
Waktu di kawasan wabak itu ada orang mengajak Lebai makan belangkas. Orang pun tanya apa hukum makan belangkas?
Lebai menjawab, boleh sangat ikut mazhab Shafie.
Pulang dari wilayah wabak, Lebai terpaksa menjalani ujian swab di stesen keretapi. Ujian itu dibuat seorang jururawat montok, tetapi montok itunya tidak berapa nampak dalam kostum khas. Dia dipaksa mendongak, menengadah dan cet cet surp surp misi montok yang tak berapa nampak montok itu menjolok dalam lubang hidungnya sambil godek-godek kayu uji bila ia tiba di hujung. Ada perit-perit lemak rasanya.
Dia disuruh mengenakan gelang merah jambu. Itu tanda dia wajib kuarantin. Lebai hanya tahan menggelang selama dua jam, dia beritahu isterinya hukum pakai gelang merah jambu itu haram untuk lelaki.
‘Macam tak ada warna lain. Hijau ke. Cari lah warna Islam sikit. Ini kaler pink?’
Lebai tidak percaya dengan sains sangat. Apa benda kuarantin berhari-hari tak boleh sembahyang jamaah? Apa malaun tak boleh serah kura tangan untuk diciumi makmum, orang padahal nak dapat berkat dia sebagai tok guru. Apa barang vaksin-vaksin untuk cegah penyakit?
Lebai suka mengenakan jubah yang panjang, boleh sapu lantai dan tanah. Lebai suka berkopiah menutup rambutnya yang masam-masam. Lebai rasa gah sebab dia lepasan Universiti Makkah.
Kalau berjalan, Lebai buat-buat bongkok sedikit supaya tampak tawaduk. Kalau orang bertanya soalan, dia buat macam tak berapa dengar. Sebab orang alim selalu ada pekak-pekak sedikit. Kemudian dia akan bersuara dengan nada perlahan, kalau lagi perlahan macam dalam kelambu maka lagi afdal. Dia rasa ada gaya tok-tok guru pondok bila dapat cakap bisik-bisik. Orang yang bertanya atau mendengar akan begitu takjub. Orang akan kata mungkin inilah manhaj dakwah Lebai. Begitulah bila bercakap dengan orang mukmin, cakap elok bisik-bisik. Kalau dengan orang kafir, Lebai akan terpekik-pekik. Bila dia bersyarah, ada air liur berbusa putih terhimpun di tepi mulut kiri kanan. Macam di antara kelopak bibir. Air liur ini kudus suci, sebab air liur orang alim adalah ubat-ubatan. Ia adalah tibbul Islami.
Lebai suka sengih. Sambil sengih dia akan sepetkan sedikit matanya supaya nampak macam sedang mengingat Sang Pencipta. Kalau tengok gaya dia, kita tak akan percaya iblis boleh duduk atas bahu dia. Jenis begini syaitan pun tak mahu dekat sebab gerun.
Kalau ada orang tohmah dia sebagai Salafi, dia akan juih mulut. Dia akan tunjuk kreatif. Dia akan sengaja bermesra dengan band-band penyanyi nasyid lelaki anak muda jambu-jambut. Dia suka terima surat berkajang-kajang daripada budak-budak. Surat atau warkah itu selalunya memuja dia sebagai ulama yang tersohor dan mendunia. Dia akan tersipu-sipu. Lebai akan beristighfar dengan suara kuat, melenguh macam kerbau betina sedang mengawan seraya menuturkan spontan, ‘Astaghfirullah.’
Orang suka menjemput Lebai untuk tahnik bayi baru lahir. Kalau ada kesempatan mentahnik, dia akan tenyeh-tenyeh jari tunjuknya pada bibir bayi tersebut. Bayi akan menangis. Dia akan cium gomol pipi tembam bayi sambil serapah-serapah sikit ayat suci dan puh puh puh. Biar terpercik air liur terjun kena muka bayi yang belum besar pinggan. Berkat.
Lebai kaki pusing. Dia boleh pusing cerita dan naratif jadi lain. Lebai pun jelajah masuk madrasah budak tahfiz. Dia bertanya kepada anak-anak tahfiz apa masalah mereka?
Ada seorang budak tahfiz menunggunya dekat kereta Hellfire sebelum pulang dan membisikkan yang masalah mereka cuma satu, ‘Kami diliwat guru.’
Lebai menggosok pundak kepala anak tahfiz dan menghulurkan dua puluh ringgit, ‘Kamu asnaf. Nah, belajar pandai-pandai dan dengar cakap ustaz. Apa – saja – cakap ustaz.’
Budak tahfiz itu bergenangan air mata.
Lebai dalam ceramah-ceramahnya memberitahu, ‘Kita mesti tolerate dengan orang kafir. Kita santuni mereka. Macam saya, jiran saya yang nyonya apek semua saya buat baik. Kalau ada buah cempedak lebih-lebih orang beri saya, maka saya akan beri kepada mereka.’
Bila ada pakar bahasa membantah yang ‘tolerate’ itu berkonotasi negatif kerana tolak ansur mungkin membawa maksud terpaksa, dia lekas membalas; ‘Buah cempedak itu angin, saya beri kepada mereka. Lagipun saya gemar akan Takumi Minamino.’
Apabila isu SOP menjadi trending di media sosial, Lebai terasa perlu untuk ikut trend semasa. Dia pun melantak cerita SOP dalam tazkirah dan kuliah agamanya.
‘Kita dalam Islam ada SOP. Sebagai contoh untuk solat, SOPnya adalah wudhu. Dan wudhu itu antara lain basuh tangan bersih-bersih. Kita sudah lama melakukan cucian kendiri dan menjaga diri dari penyakit. Agama lain ada?’
Menurut Lebai, kuliah dia itu adalah subjek perbandingan agama ala-ala Ahmad Deedat.
Lebai paling suka menulis surat terbuka. Dia pernah tulis surat kepada beberapa artis perempuan. Kalau-kalau artis itu ada buat ‘tak senonoh’ (macam menari terkangkang padahal tudung melekat di kepala). Dia suka dapat bersurat-surat dengan artis. Tambah-tambah kalau artis itu rasa terpukul dek kecaman masyarakat. Artis itu akan terpaksa insaf di publik dan memohon maaf. Artis itu akan terpaksa mengakui mendengar nasihat Lebai. Artis akan berterima kasih kerana tazkirah Lebai. Kemudian Lebai akan rasa kemenangan. Macam Liverpool dapat kalahkan Chelsea.
Ada berita tersebar, perihal wabak Covid menyinggah di sebuah kedai menghidang belangkas di sebuah daerah yang tinggi kesnya. Orang beritahu Lebai, tetapi Lebai tak rasa itu satu berita.
‘Covid-covid ini satu cerita. Bukan satu berita. Dongeng belaka.’
Antara peminat Lebai ialah Mak Cik Kiah. Dia rasa kad laporan Lebai memang cemerlang. Apa Lebai cakap dia patuh. Dia rasa berpahala sangat dapat dengar dan akur dengan Lebai. Apa Lebai buat semua sunnah. Kalau dia dengar Lebai makan kuih putu Perak, dia juga rasa kuih putu Perak itu patut dimakan walaupun Mak Cik Kiah bukan orang Perak.
Ada sekali Mak Cik Kiah dengar Lebai datang beri ceramah dekat surau berdekatan rumahnya. Mak Cik Kiah terkinja-kinja rasa macam anak dara. Pipi Mak Cik Kiah merah padam bila dengar nama Lebai. Mak Cik Kiah beritahu anaknya, Suhana bahawa Ustaz Attakkuarantini hadir di surau memberi ceramah dengan judul ‘SOP Mendapat Keberkatan Ilahi’.
Dalam ceramah tersebut, Lebai menegaskan Islam adalah agama yang ada SOP. Dan SOP menurut Lebai ialah hudud, hudud, hudud. Mak Cik Kiah sebagai peminat sempat menghampiri Lebai dan melambai-lambai, ‘Saya ini peminat ustaz.’
‘Saya faham,’ jawab Lebai.
Lebai tidak mengenakan pelitup muka. Air liurnya terenjis-renjis ke muka Mak Cik Kiah. Ada sebesar separuh kuku hinggap di atas kening Mak Cik Kiah.
‘Bagaimana saya boleh bantu mak cik? Asnaf ke?’
Mak Cik Kiah yang tergamam berdepan dengan ikonnya melongo terkebil-kebil. Pun dia angguk-angguk kecil. Kalau Lebai fikir dia asnaf, maka asnaflah dia. Lebai hulur dekat lima ratus, ‘Betullah ini zaman terbaik untuk hidup.’ Bisik hati dalam Mak Cik Kiah.
Masuk 14 hari, Lebai sah dijangkiti Covid. Dia hanya berfikir bagaimana dia hendak menghadap masyarakat. Lebai buat pengumuman terbuka, ‘Saya Lebai dan saya ingin jelaskan yang sebagai Lebai saya cemerlang. Ramai asnaf terima bantuan daripada saya. Saya ada covid. Afwan. Moga Allah pelihara.’
Dalam kepala Lebai tak ada muka-muka jamaah dan umat yang disapa, disapu dan disuanya. Bila dia dijemput ambulan ke hospital, Lebai lambai-lambai tangan kepada jiran-jirannya yang mengintai dari celah jendela. Isterinya teresak-esak di pintu. Lebai memujuk, ‘Kanda tak apa-apa. Tak ada simptom pun dinda.’
Memang Lebai tak ada rasa apa. Di wad, tatkala misi ada bertanya jika dia teringin nak makan apa-apa. Lebai pesan belangkas masak lemak kalau ada.
Lebai tetap percaya, covid bukan berita. Ia hanya cerita. Dongeng belaka.
Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani adalah Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Penyelidik Bersekutu di sebuah tim penyelidikan di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard, Amerika Syarikat. Kajian beliau menganjur dari Sastera Bandingan sehingga Hak Asasi Manusia dengan penekanan terhadap kumpulan minoriti agama.