Dilema DAP Memilih Calon Melayu

DALAM satu webinar anjuran ISEAS-Yusof Ishak Institute, Dr. Ong Kian Ming, bekas Ahli Parlimen Bangi menyatakan barisan calon DAP di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor. Bagi Dr. Ong Kian Ming, Ini satu tamparan hebat kepada DAP kerana menggugurkan wakil rakyat Melayunya yang berada di kerusi selamat.

Kritikan ini hadir selepas DAP menyerahkan kerusi DUN Dusun Tua yang dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kepada UMNO-Barisan Nasional (BN).  Malah, senarai calon DAP bagi PRN Pulau Pinang dan Negeri Sembilan juga ketandusan calon Melayu.

Dari sudut yang berbeza, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) daripada Perikatan Nasional (PN) pula mempertaruh dua calon Melayu di kerusi campuran yang mempunyai lebih ramai pengundi bukan Melayu di N36 Bandar Utama dan N37 Bukit Lanjan.

Dunia sudah terbalik. GERAKAN yang selalu kalah berani letak calon Melayu di kerusi campuran di Selangor dan DAP hanya meletakkan calon tunggal Melayu di N36 Bandar Utama.

Lebih menghairankan apabila DAP menuntut jawatan Speaker DUN Selangor untuk diberikan kepada ADUN Banting, Lau Weng San sebagai balasan memberikan kerusi Dusun Tua kepada UMNO-BN. Tuntutan ini tidak harus berlaku kerana jawatan Speaker DUN Selangor telah disandang DAP sejak 2008.

Malah, DAP secara terang-terang melakukan “scheme of things” dengan menawarkan beberapa bekas ADUN jawatan dalam kerajaan tanpa segan dan silu. Persoalannya, apakah ini kesan daripada nikmat menjadi kerajaan? Adakah DAP meminggirkan Impian Malaysia dan kembali  menjadi gedung untuk sesuatu etnik sahaja?

Ada benarnya, DAP menghadapi cabaran untuk meletakkan calon kerana rundingan kerusi yang lebih kompleks di bawah Kerajaan Perpaduan. Namun, ia tidak seharusnya menjadi alasan DAP melupakan hasrat mengangkat pemimpin pelbagai etnik dalam pilihan raya.

Suka Jalan Pintas

Kekurangan calon Melayu dalam PRN kali ini jelas bertentangan dengan pendirian DAP dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang sanggup menampilkan calon Melayu demi membuktikan parti itu terbuka dan komited mengangkat pemimpin berbilang etnik, termasuk Melayu.

DAP kali ini terlepas peluang untuk membuktikan parti itu boleh meletakkan calon Melayu yang berwibawa di kerusi campuran mahupun majoriti Melayu. Sedangkan mereka mempunyai kelebihan di ketiga-tiga negeri asas yang diterajui PH.

Sebenarnya, PRU15 telah membuktikan calon Melayu DAP menujukkan prestasi memberangsangkan apabila tidak hilang deposit di beberapa kerusi parlimen yang mempunyai lebih 70 peratus pengundi Melayu seperti Gerik, Jerai, Pontian dan Mersing ketika gelombang hijau mengamuk di kerusi-kerusi ini. Calon Melayu DAP turut memenangi kerusi campuran parlimen Bangi dan Bentong  pada PRU15. Sekali lagi, apakah DAP tidak yakin dengan data dan fakta ini?

Nampaknya dilema DAP dalam mengangkat perjuangan etnik kian parah. Kepimpinan masih ketagih pendekatan “jalan pintas” untuk memenangi hati pengundi Melayu dengan kebergantungan kepada rakan-rakan dalam PH dan UMNO-BN.

Pasca pembentukan Kerajaan Perpaduan menonjolkan kelunakan DAP dengan UMNO-BN sebagai usaha membentuk Kerajaan Perpaduan dalam PRN15. Meskipun tidak tahu sejauh mana hasilnya, komitmen DAP ini begitu janggal buat akar umbi UMNO-BN. Kejanggalan ini menyebabkan sesetangah daripada akar umbi tidak sanggup memberi undi kepada PH dalam PRN15.

Keterbukaan dan keutamaan DAP menerima bekas pemimpin Melayu daripada UMNO dan BERSATU ke dalam parti agak kronik. Faktanya, hampir semua pemimpin Melayu ini telah meninggalkan DAP dan kini kuat memburukkan parti di khalayak ramai. Terdapat segelintir anak muda menyertai parti kerana mudah menjadi calon pilihan raya dan mendapat jawatan politik kerajaan, khususnya selepas PRU14.

Melayu Banjiri Bandar

DAP seharusnya berhati-hati dengan keputusan menjauhi Impian Malaysia dengan meminggirkan calon Melayu. Perubahan demografi kawasan bandar yang kini hampir 70 peratus dibanjiri orang Melayu boleh memberi saingan sengit kepada DAP di kawasan bandar dan separa bandar. Trend terkini menunjukkan ramai pengundi Melayu bandar menerima kemaraan PN sebagai wakil rakyat dan kerajaan.

Perkara ini lebih sukar buat DAP jika berlaku persempadanan semula pilihan raya yang boleh dilaksanakan selewat-lewatnya tahun 2026. Sekiranya kawasan majoriti bukan Melayu diubah kepada kerusi campuran, yakni populasi pengundi seimbang antara kaum, bolehkah DAP keluar daripada amalan biasa dengan meletakkan calon Melayu di kawasan ini?

Buat masa ini, DAP boleh menang selesa dalam PRN15 kerana undi bukan Melayu masih lagi kekal bersama mereka. Namun, DAP harus sedar usaha untuk meyakinkan pengundi Melayu itu tidak ada noktah dan perlu dilipatgandakan untuk masa akan datang.

Mungkin DAP perlu perjelaskan kerangka untuk meletakkan calon acuan Malaysia yang diimpikan. Jelaskan pemimpin dan ahli Melayu apa yang dimahukan untuk memastikan DAP benar-benar parti acuan Malaysia. Jika sekadar pandai jaga kawasan dan buat program bantuan dengan orang Melayu, sudah ada beribu orang UMNO dan PAS melakukan perkara yang sama.

Sekiranya ingin Melayu bercakap dasar ekonomi dan mengangkat masyarakat majmuk, UMNO dan PKR sudah ada. Kalau nak ahli parti Tik Tok, Melayu PAS dan ahli MUDA jauh lebih pakar daripada apa yang DAP ada. Jadi, Melayu apa yang ingin diangkat DAP?

Memang benar, DAP yang ada dalam Kerajaan Perpaduan lebih berdisiplin berbanding Kerajaan PH pada tahun 2018. Tetapi, kedangkalan DAP yang terus berubah untuk tidak meletakkan calon Melayu, mendiamkan diri dalam reformasi institusi, serta melupakan hasrat mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan hanya menimbulkan banyak persoalan berbanding kelegaan.

Saya percaya, pengundi bukan Melayu terbuka menerima calon Melayu di kawasan campuran, asalkan calon itu berwibawa dan amanah. Oleh itu, DAP boleh buat yang lebih baik untuk terbuka mengambil pendekatan baharu dan bukan berjiwa kecil dalam soal meletakkan calon.

Apa yang saya gusar, DAP hanya berhasrat menggantikan MCA untuk duduk dalam kerajaan. Lebih membimbangkan jika pendirian DAP ini menuju ke arah parti berbilang kaum seperti GERAKAN yang tidak mempunyai hala tuju dan menjadi pak turut dalam PN. Hakikatnya, Kerajaan Perpaduan hanyalah untuk penggal ini sahaja. Jadi apa hala tuju DAP menjelang PRN di beberapa negeri lain dan PRU16 yang akan datang?

Komen