Di Antara Tenaga, Peradaban Manusia Dan Kewujudan Celestial

Baru-baru ini ada kesempatan menonton filem Eternals. Sebagai peminat komik, seronok melihat penceritaan dibuat sebegitu rupa dan paling menarik, filem ini memberi penekanan lebih tentang kewujudan Celestial (Samawi) dan bagaimana mereka muncul dalam Marvel Universe berbanding dengan cerita lama iaitu Fantastic Four: Rise of Silver Suffer.

Tetapi pokoknya adalah, penulisan ini dibuat atas dasar bukan sahaja filem ini menarik, malah ia memberikan “subtle” mesej tentang kita, peradaban kita, kepenggunaan tenaga dan siapakah Celestial dalam buku sejarah peradaban kita. Sebelum kita masuk dengan lebih spesifik dan menjawab persoalan tersebut, saya terangkan asal usulnya Celestial ini dan kenapa pula ada Eternals.

Selama berjuta-juta tahun, Celestials telah menanam benih mereka di planet berpenduduk untuk Celestial baharu yang akan dilahirkan, dengan Deviants dihantar oleh mereka untuk memusnahkan pemangsa (apex predator) di setiap planet untuk memastikan perkembangan kehidupan diteruskan dengan jayanya.

Walau bagaimanapun, apabila Deviants berkembang dan mula memburu populasi asli planet, Celestials mencipta Eternals untuk memusnahkan mereka. Dengan pembalikan Blip (dalam Avengers Endgame ada disentuh lebih hal ini), Bumi telah mencapai populasi yang diperlukan untuk kelahiran Celestial Tiamut, yang akan mengakibatkan kemusnahan Bumi.

Kemunculan Celestial adalah hasil daripada tenaga. Pelbagai tenaga dan kegiatan kita sebagai manusia, sekecil-kecil pun akan mengeluarkan tenaga (dipanggil sebagai tenaga daya). Apabila tenaga dihasilkan, akan adanya karbon untuk dilepaskan, seperti manusia, tenaga dikerahkan karbon dioksida dikeluarkan.

Apa yang menjadikan peradaban manusia adalah hasil daripada tenaga yang dihasilkan, dikerahkan akan menghasilkan jumlah karbon yang banyak. Kemunculan Celestial adalah tanda kemusnahan, semakin ia besar dan mampu “emerge” semakin banyak kemusnahan muncul dan semakin tenatnya bumi.

Tiga bahan asas yang mempercepatkan proses itu berlaku dan ini berdasarkan rekod sejarah bangsa manusia adalah bahan fosil, arang batu dan gas. Kalau kita lihat sekarang, bahan fosil dan arang batu semakin banyak digunakan, maka ia bukan sahaja menipiskan ozon malah memanaskan bumi.

Semakin majunya kita, perubahan zaman tersebut melalui banyak penggunaan terhadap tiga bahan tersebut apatah lagi dengan kemajuan mempunyai cahaya elektrik, bahan ini masih digunakan dan impaknya terhadap bumi adalah lebih besar daripada apa yang kita sangkakan.

Selain daripada bumi panas angkara penggunaan tiga bahan ini meningkat, ais di Antartika semakin cair menyebabkan paras laut semakin meningkat oleh kerana ais menjadi cair, mengakibatkan beberapa permukaan bumi akan ditenggelami air. Selain itu, ia menyebabkan ruang udara kita makin rendah kualitinya dan membuka ruang bagi mikroroganisma yang bahaya berjaya mengevolusikan diri dengan mempelajari kualiti udara dan berjaya mengadaptasikan diri.

Mengikut kajian udara dan suhu kit (meteorologi), ketika ini kita telah mencapai 0.81°C kenaikan suhu dan tidak lama lagi kita akan ke arah 2.7°C pada 2050 kalau mengikut penggunaan semasa tenaga. Bagi memastikan kita di bawah 1.5°C pada 2030, Perjanjian Paris dibuat pada tahun 2015, namun kita masih lagi kekal dalam trajektori asal oleh kerana tidak ada daya untuk berubah kepada tenaga yang kurang memberi risiko kepada kita.

Kalau kita mengekalkan perkara tersebut, peradaban manusia akan mula terhakis satu demi satu apabila sebuah jajahan semakin hari hilang di muka bumi. Lihat saja India, oleh kerana lapisan udara mereka toksik, ia menyebabkan evolusi Covid-19 dengan lebih maut dengan adanya kewujudan varian Delta. Ini memberikan kesan teruk kepada kita dan mikroorganisma maut ini belajar dengan lebih cepat untuk beradaptasi dengan keadaan semasa.

Selain itu, Kepulauan Fiji dan sekitar Kepulauan Nusantara (nama lama) akan hilang selamanya oleh kerana paras air naik dan menenggelamkan mereka oleh kerana aktiviti kita menambak dan aktiviti lain yang membuatkan pelepasan karbon. Negara kita juga tidak terlari daripada musibah ini. Batu Pahat, Klang dan Georgetown adalah antara daerah yang ditenggalami air disebabkan aktiviti kita sendiri.

Walaupun ianya hanyalah cerita fiksyen tetapi kita harus mengambil iktibar bahawa aktiviti ini bukan membawa perubahan pada peradaban manusia malah membinasakan kita pada masa akan datang. Belajarlah daripada filem Eternals, kita kena kurangkan penggunaan tenaga yang menggunakan tiga sumber itu dan beralih kepada sumber yang boleh diperbaharui bagi mengurangkan kepanasan global.

Komen