Ketika merasmikan karnival Usahawan Desa 2023 di Anjung Floria, Putrajaya baru-baru ini Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan penubuhan Dana Komuniti MADANI.
Dana Komuniti MADANI adalah satu inisiatif Kerajaan Perpaduan MADANI untuk masyarakat desa memulakan projek ekonomi sendiri.
Untuk permulaan, kerajaan akan memperuntukkan RM1 bilion sebagai peruntukan keseluruhan dana sepanjang tahun 2024.
Dana ini boleh digunakan oleh masyarakat desa untuk memulakan projek-projek penjanaan ekonomi komuniti, seperti projek kraftangan, inap desa atau kebun hidroponik.
Setiap kampung, desa, rumah panjang mahupun Projek Perumahan Rakyat (PPR) layak untuk disalurkan sebanyak RM100,000 bagi projek ekonomi komuniti tersebut.
Agihan peruntukan akan diserahkan kepada penghulu, penggawa atau tuai rumah selaku ketua komuniti untuk berbincang dengan komuniti masing-masing tentang projek yang akan mereka laksanakan.
PMX menegaskan bahawa dana yang diperuntukkan adalah khas untuk projek penjanaan ekonomi komuniti sahaja dan tidak boleh digunakan untuk tujuan pembaikan jalan atau jambatan rosak.
Kerajaan juga sedia memberi dana tambahan RM1 bilion lagi sekiranya projek komuniti desa itu membuahkan hasil dan berjaya.
PMX juga memberi amaran bahawa sekiranya berlaku dana ‘dicuri’ pihak tidak bertanggungjawab, siasatan akan dibuat supaya tiada penyelewengan atau ketirisan terhadap projek dijalankan.
Pendekatan baharu kerajaan ini dijangka memberi manfaat kepada jutaan rakyat dan hendaklah digunakan dengan berhemah dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.