Charlie Hebdo Dan Maulidur Rasul

Sejarah mengajar kita bahawa provokasi keganasan dan aksi keganasan jarang berakhir dengan perdamaian dan keamanan. Keganasan fizikal mahupun keganasan fikiran.

Mereka yang menulis serta melukis karikatur terbitan Charlie Hedbo jelas mempercayai dogma “Pena itu Senjata”. Maka niat mereka terus menerbitkan bahan yang menghina serta anti Islam adalah jelas mempunyai agenda menyerang dengan provokasi.

Yang kurang diketahui, adalah Charlie Hebdo merupakan akhbar yang bukan saja menerbitkan bahan yang menyerang Islam, malah Kristian, Yahudi, Katolik, semua agama pernah diserang oleh akhbar tersebut.

Tiada satu agama yang menghalalkan pembunuhan insan yang lain. Mereka yang mencabut nyawa orang lain atas apa jua sebab pun tidak punya alasan yang menghalalkannya. Saya tidak akan pertahankan mereka dan tiada siapa yang boleh memutihkan tindakan berdarah mereka, dan tiada siapa yang dapat kembalikan cahaya kepada kegelapan yang telah dipaksakan atas ahli keluarga mereka yang telah dicabutkan nyawa.

Saya juga seorang yang menjunjung tinggi hak dan kebebasan tukang seni dan para pejuang pena untuk meneruskan perjuangan masing-masing. Akan tetapi, bagi mereka yang mempertahankan hak akhbar Charlie Hebdo untuk berkartun; anda tidak jauh beza dengan mereka yang membunuh atas alasan karya anda.

Pena adalah senjata.

Anda guna alasan mereka membunuh, kononnya anda tidak.

Jangan sesekali lupa, pena adalah senjata. Sekiranya mereka membunuh; kini anda tidak jauh beza dari mereka.

Pada Maulidur Rasul ini, elok kita menyambut kemampuan kita untuk menolak segala keganasan, fizikal mahupun fikiran; supaya kita boleh terus menikmati perdamaian dan keamanan, khususnya pada ketika kita dilanda pandemik ini.

Komen