Catatan Skema: Unik Sangatkah Malaysia?

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Unik sangatkah masyarakat Malaysia kerana kita terdiri daripada pelbagai kaum, adat, agama, wilayah, gender, perangai, tabiat dan prejudis? Yang selalu kita dengar terutama apabila orang Malaysia bercerita kepada orang dari luar negara adalah betapa uniknya masyarakat kita kerana mempunyai penduduk pelbagai kaum dan agama.

Memang ia satu hal yang menarik tetapi rasanya ia bukan sesuatu yang lain daripada yang lain. Kepelbagaian kaum dan agama itu bukan keunikan yang terlalu unik. Ada lagi banyak negara lain yang mempunyai pelbagai kaum dan agama dalam masyarakat masing-masing. Malah, seperti kita, mereka juga mempunyai pelbagai bahasa, budaya dan adat resam.

Jadi apakah sebenarnya yang unik tentang Malaysia?

Bagi saya, yang unik untuk negara kita sebenarnya adalah daya kesabaran, ketahanan dan tolak ansur masyarakat pelbagai kaum dan agama. Ini telah terbukti, khususnya selepas Peristiwa 13 Mei 1969, di mana tiada lagi kejadian yang membawa tragedi secara besar-besaran. Walaupun ada hantu-hantu yang masih mengugut mahu melahirkan satu lagi tragedi bersejarah, lebih ramai antara kita yang sudah matang dan tidak mudah tunduk dengan ancaman cabul itu yang hanya membusukkan ruang-ruang media sosial.

Bagaimana keadaan ini boleh berlaku?

Memang sesekali timbul ketegangan dalam hal-hal politik, kaum dan agama, amat jarang ia meletus menjadi huru-hara atau kacau-bilau yang berjangkit ke seluruh negara. Antaranya insiden rusuhan dan pergaduhan di sebuah kuil di Subang Jaya, Selangor pada akhir 2018 dan di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur pada 2015. Walau apa pun ketegangannya, masyarakat kita tetap tenang, aman dan damai. Apa yang terbuku di dalam hati, itu soal lain.

Rahsianya ialah seperti yang saya katakan adanya daya kesabaran, ketahanan dan tolak ansur masyarakat pelbagai kaum dan agama yang telah lama menolak kacau-bilau, huru-hara dan keganasan.

Malah, dunia mengetahui bahawa sepanjang demonstrasi Bersih sejak tahun 2009 hingga 2016 serta perhimpunan-perhimpunan lain pada era kerajaan-rompak-wang-rakyat Najib Razak terdahulu, semuanya berlangsung dengan aman, tenang dan damai. Jika ada sedikit kekecohan, ia hanya merupakan provokasi pihak tertentu, dan kerana ada seorang dua kawan-kawan yang hilang sabar.

Inilah keunikan sebenar di Malaysia. Inilah yang kita semua perlu raikan. Keunikan pelbagai kaum dan agama tidak akan mempunyai nilainya jika kita tidak mempunyai daya kesabaran, ketahanan dan tolak ansur yang tinggi.

Sekarang kita masuk bab skema. Apa tidaknya, hal yang ingin dibangkitkan di sini ada kaitan dengan susunan kata-kata yang terpampang di belakang buku latihan murid dan pelajar di sekolah sejak tahun 1970. Dan kerana ia dipapar di buku latihan sekolah, jarang ia diambil iktibar.

Itulah Rukunegara. Ikrar keramat ini sudah 50 tahun usianya. Isi dan maknanya penting untuk mengekalkan perpaduan dan keharmonian; sayangnya ia semakin dilupakan.

Menjelang dekad 2020, kita sepatutnya memberi peluang kepada diri sendiri untuk kembali menghayati isi dan makna Rukunegara yang jelas lagi terang maksudnya tanpa sebarang bayangan tersifat. Apa yang tersurat, itulah asas hubungan antara kaum dan agama di Malaysia.

Tentu ada yang menganggap seruan ini sebagai skema, malah ada yang akan kata poyo. Tetapi jika kita berdiri di hadapan cermin, apakah yang akan dilihat? Hebat sangatkah diri kita? Progresifkah kita? Liberalkah kita? Jujur dan ikhlaskah kita? Bersihkah diri kita daripada memberi/menerima rasuah atau mencipta/menyebar/memviralkan fitnah? Atau sekadar bergayut dengan mentaliti usang semata-mata?

Tanpa disedari inilah hakikat hidup di Malaysia – kebanyakan kita tetap konservatif, taat pada feudalisme, dan selesa dengan pengasingan kaum.

Oleh itu, ada ciri-ciri dalam Rukunegara yang boleh disematkan ke dalam jiwa setiap warga agar kita kekal aman, damai dan bahagia di bawah satu bumbung yang bernama Malaysia.

Kalau kita sudah lupa, mari kita renung kembali Perisytiharan Rukunegara:

Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:
● Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya
● Memelihara cara hidup demokratik
● Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama
● Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak
● Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden

Bagi mencapai cita-cita Perisytiharan ini yang dapat mengekalkan perpaduan kita di samping menolak elemen-elemen radikal, ekstrem dan melampau dalam apa jua aspek, kita harus berpegang kepada prinsip-prinsip yang dilakarkan dalam Ikrar Rukunegara:

Kepercayaan kepada Tuhan
● Kesetiaan kepada Raja dan Negara
● Keluhuran Perlembagaan
● Kedaulatan Undang-undang
● Kesopanan dan Kesusilaan

Rukunegara adalah tonggak pelaksanaan jiwa dan hasrat Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara. Dengan semangat ini, tidak mustahil kita dapat mengelakkan pertelingkahan antara kaum dan agama yang cuba dibawakan oleh pihak-pihak yang mahu memaksa politik ekstrem mereka ke atas masyarakat berbilang kaum.

Jika kita lupa untuk mengamalkan prinsip-prinsip serta cita-cita Rukunegara, Malaysia bakal tenggelam dalam kemelut perkauman dan keagamaan sempit seperti beberapa negara lain di mana akhirnya rakyat sendiri yang menderita. Sudah ada contoh-contoh seperti pada zaman Jerman Nazi pada 1930-an hingga 1945, di negara bekas Yugoslavia sepanjang 1990-an, di Rwanda pada 1994 dan beberapa negara lain yang mana perkauman membawa kepada peperangan dan pembunuhan beramai-ramai.

Keganasan tidak mengenal mangsa, tidak mempedulikan kaum atau agama, tidak memilih gender, malah tidak mengecualikan wilayah. Keganasan bakal menghancurkan masyarakat dan negara.

Skema atau tidak, berpegang kepada Rukunegara – kedua-dua Perisytiharan dan Ikrarnya – yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan setidak-tidaknya dapat menjamin keamanan, kedamaian dan keharmonian hidup kita. Ia juga mampu mengekalkan keunikan Bangsa Malaysia pelbagai kaum dan agama yang hidup dengan daya kesabaran, ketahanan dan tolak ansur yang tinggi. Inilah keunikan masyarakat dan negara kita.

Jika setakat mahu menjadi wira media sosial dengan menghamburkan kehebatan kata-kata agama yang ekstrem atau anarkisme atau apa-apa suara radikal, ia hanya tinggal begitu sahaja di dalam ruang gosip media sosial itu sendiri. Kadang-kadang kita lupa wujudnya dunia nyata di luar sana.

Di dunia nyata, kita masih bersembang rancak serta ketawa riang bersama kawan-kawan yang berbeza agama, kaum dan gender. Di dunia nyata juga, kita membanting tulang mencari nafkah kerana perlu membayar sewa rumah, pinjaman motosikal dan kereta, membiayai belanja anak-anak dan isteri/suami, dan pelbagai hal duniawi.

Memang kita unik tetapi bukan seperti mana yang biasa dicanangkan. Keunikan kita masyarakat Malaysia adalah menyedari setiap insan terpaksa melalui jalur-jalur kehidupan ini (tidak melibatkan segelintir keluarga super kaya). Keunikan inilah yang melahirkan daya kesabaran, ketahanan dan tolak ansur kita.

Komen