DALAM mitologi Melayu, wujud satu komuniti manusia halus yang dikatakan hidup dalam dimensi selari yang kadang-kadang bertindih dengan dimensi kita. Komuniti ini dipanggil Orang Bunian dan mereka nampak lebih kurang serupa dengan manusia. Mereka juga mempunyai struktur-struktur sosial yang juga seakan manusia, dipercayai tinggal di dalam hutan-hutan, bersifat halimunan pada mata kasar kita, dan mereka juga mempunyai kuasa-kuasa ghaib. Struktur-struktur batu yang seakan menyerupai manusia di Gua Tempurung dipercayai mewakili rupabentuk Bunian.
Perhubungan antara Bunian dan manusia biasa bukanlah sesuatu yang luar biasa. Memang wujud kisah-kisah manusia yang telah pergi dan tinggal di dunia Bunian. Jika kamu tersesat dalam hutan, Bunian dikatakan salah satu entiti yang mula-mula sekali dipersalahkan kerana menyebabkan kamu tersasar dalam perjalanan. Pada tahun 1997, anggota keluarga Lans Korporal Abdul Halim Desa yang telah hilang sewaktu treking di Taman Rimba Rekreasi Gunung Jerai dilaporkan percaya bahawa dia telah diculik oleh Orang Bunian. Pada tahun 2005 seorang pembantu makmal dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Isa Sait telah hilang selama sembilan hari di Taman Negara Niah, Miri. Apabila Isa muncul semula, dia mengakui dalam laporan polisnya yang dia telah diculik oleh Bunian. Dia melaporkan yang dia akhirnya berjaya melepaskan diri dengan menaiki bas dan van untuk pulang ke Kuching.
Ketepikan episod-episod penculikan seram ini buat seketika, kerana Bunian juga selalunya dikatakan mempunyai reputasi yang peramah jika dibandingkan dengan entiti-entiti ghaib yang lain. Di Pulau Redang, Bunian dikatakan pernah tinggal di lima himpunan batu-batu, Batu Surat atau Batu Bedung berdekatan Pasir Changar Hutang. Menurut kepercayaan tempatan, masyarakat kampung akan pergi menemui Orang Bunian untuk memberitahu mereka tentang kenduri-kendara yang akan dilangsungkan, termasuklah berapa orang tetamu yang dijangkakan hadir. Pada hari kenduri dilangsungkan, set penuh peralatan pinggan mangkuk akan muncul entah dari mana untuk digunakan dalam kenduri.
Wartawan Rusdi Mustapha, seorang bekas koresponden majalah Time, mengakui beliau menghadapi risiko diperlekehkan apabila beliau kononnya telah menemubual seorang Bunian, yang telah diterbitkan dalam majalah Men’s Review pada tahun 1999. Minat Rusdi terhadap hal ini bermula dengan kes seorang lelaki yang dijumpai beberapa hari selepas dia hilang, terperangkap di celah-celah rumpun buluh yang tebal. Lelaki itu mendakwa telah dijaga oleh Bunian, di mana dia menggambarkan wanita-wanitanya sebagai “penuh berahi dan cantik,” sementara lelaki-lelakinya “baik hati dan peramah.”
Menurut Rusdi, Orang Bunian telah menculik lelaki tersebut kerana dia tanpa henti mencantas dahan-dahan pokok sewaktu mencari petai. Orang Bunian itu memberitahu lelaki tersebut yang salah satu dahan pokok yang dicantas itu tergantung buaian seorang bayi Bunian. “Buaian itu jatuh ke tanah kira-kira 60 kaki ke bawah tapi bayi Bunian itu tidak cedera,” lelaki itu berkata kepada Rusdi.
Rusdi kemudiannya berjaya mengaturkan satu temubual eksklusif bersama “seorang matriak Bunian yang sangat jelita” yang telah dua kali muncul dalam mimpinya bertanyakan samada Rusdi serius tentang perjumpaan itu. Dalam artikel ini, dia menerangkan masyarakat Bunian sebagai mempunyai “struktur sosial yang sangat kuat serta amat teratur” yang hidup dalam satu “persekitaran yang aman dan suci.” Dan tentang wanita-wanita Bunian pula, dia berkata: “Siti Nurhaliza atau Erra Fazira sudah pasti tidak mampu melayakkan diri untuk pertandingan ratu cantik Bunian. Dua-dua akan kalah teruk.”
Selepas beberapa upacara dan dugaan, Rusdi diberitahu untuk pergi ke satu tempat rahsia – sebuah kawasan lapang yang terbentang indah umpama padang golf di dalam hutan yang dipenuhi bauan semerbak bunga-bungaan yang memabukkan.
Sebaik dia tiba di situ, persekitarannya tiba-tiba berubah menjadi sebuah hutan yang “dipenuhi kehijauan yang luar biasa,” diapit oleh dua batang sungai. Matriak Bunian itu menjelma di depannya, memberikannya “ucapan salam lazim orang Islam” dan menawarkan Rusdi segelas air minuman. Nama wanita itu ialah Hajah Zabedah dan dia baru saja pulang dari Mekah buat kali ketiga. Dalam temubual yang seterusnya, Rusdi memetik kata-kata Hajah Zabedah: “Kami memang wujud, sama seperti kamu. Lama dulu kami memilih untuk hidup dalam dimensi ini di mana kami bebas dari sebarang gangguan samada dalam bentuk sosial, agama, alam sekitar atau daripada kelemahan-kelemahan asas manusia. Bila kamu pulang semula ke dimensi kamu selepas malam pertama perjumpaan kita, kamu akan jumpa dua helai bulu burung Kuau, rakan suci kami, di bawah bantal kamu. Nescaya kamu akan percaya bahawa kamu sebenarnya bukan bermimpi.”
“Untuk membuktikan lagi yang kamu bukan bermimpi, kuncikan dua helai bulu burung yang kamu jumpa di bawah bantal kamu itu di dalam sebuah kotak. Dua atau tiga hari kemudian, ia akan hilang. Akan tetapi jika kamu membuat keputusan untuk menyimpan bulu-bulu burung itu, kamu akan tahu yang jauh dalam benak hati kamu, kamu sebenarnya tahu bahawa kamu telah pun menemui kami dan kami memang betul-betul wujud.”
“Kami tidak merasa kesakitan, kerana kami tidak ada kesedihan. Kami makan bila kami lapar dan kami tunjukkan perasaan cinta setiap hari. Ada lebih kurang 10,000 orang di tempat ini. Hampir tiga suku daripada mereka adalah wanita dan kanak-kanak. Saya penghulu. Kami bukan bersifat karnivor tetapi kami bukanlah 100% vegetarian. Kami banyak makan keluaran hutan. Petai dikukus, kami tidak makannya mentah. Kami makan durian sepertimana kamu makan durian. Makanan utama kami ialah pucuk-pucuk pokok Anau. Walaupun kami amat marah pada kemusnahan hutan-hutan, tak kira banyak mana orang kamu menghapuskan hutan, tempat-tempat tinggal kami akan terus kekal tidak terusik. Tetapi kamu harus ingat bahawa hutan-hutan kamu dan kunci kepada kewujudan kamu adalah saling berkait. Pembangunan bandar kamu terlalu drastik. Pada satu hari nanti ia harus dihentikan.”
“Sewaktu kami memilih untuk tinggal dalam dimensi ini, kami telah tinggalkan ramai orang yang kami kenal. Ada antara mereka yang telah meninggal dunia, dan kami memang kenal datuk kamu. Dia seorang yang baik. Walaupun kami tinggal berasingan, kami juga mengembara. Ramai antara kami telah pun mengerjakan ibadat haji. Jangan perlekehkan saya dengan soalan-soalan Tabung Haji kamu! [Hajah Zabedah telah pun menjangka satu soalan yang ingin ditanya oleh Rusdi]. Kami pergi ke Mekah dengan cara kami sendiri. Ya, saya dan keluarga saya pernah lihat Menara Berkembar dan kami juga kenal siapa Dr. Mahathir. Saya tahu apa yang ada dalam fikiran kamu. Saya gembira kerana kamu tidak takut untuk berbual dengan kami. Saya tak tahu bagaimana kamu akan menulis semua ini atau samada sesiapa akan percaya kepada kamu. Ini satu perkara pasti yang saya tahu dan saya mahu beritahu kamu. Pilihanraya Umum kamu akan berlangsung. Itu saya boleh jamin.” [‘Temubual’ ini dikatakan berlangsung sebelum Pilihanraya Umum November 1999].
Rusdi kemudiannya disuruh untuk pergi, tapi dia dialu-alukan untuk datang semula. Dia diberi segelas lagi air minuman, kemudian persekitarannya terus bertukar semula menjadi ‘dunia sebenar.’ Abang, sepupu dan rakannya yang dia minta pertolongan dalam pengalaman ini ada di situ dan berkata yang Rusdi telah hilang selama dua jam. Hari berikutnya, Rusdi bangun dari tidur dan menjumpai dua helai bulu burung Kuau di bawah bantalnya.
Tulisan ini ada di dalam Kitab Pengetahuan Hantu Malaysia.