Bergembira Di Atas Kesedihan Najib

Selepas Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta semalam, pelbagai reaksi yang timbul di media sosial.

Ada yang meraikannya sebagai satu kemenangan buat rakyat kerana keadilan telah berjaya ditegakkan. Ada pula yang bersedih atau marah kerana merasakan Najib Razak telah difitnah dan dianiaya. Mereka ini tentu-tentulah penyokong setia Najib Razak.

Ada juga segelintir yang memilih untuk bersikap neutral seperti ianya perkara yang biasa-biasa. Untuk kumpulan ini, mereka tidak mahu dilihat menyokong Najib Razak tetapi pada masa sama tidak bersetuju jika hukuman yang dijatuhkan ke atas Najib diraikan sebagai satu kemenangan.

Maka keluarlah ayat-ayat menginsafkan tentang bagaimana Najib Razak juga seorang manusia biasa yang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan. Bahawa kononnya apa yang berlaku adalah sebahagian dari perancangan Tuhan yang maha hebat dan penuh maksud tersirat, mungkin untuk mengubah Najib Razak agar menjadi insan yang lebih baik. Turut tidak ketinggalan dikisahkan bagaimana sepanjang pemerintahannya selaku Perdana Menteri, pelbagai bantuan dan usaha telah dibuat untuk membantu rakyat dan memajukan negara ini. Dek kerana itu jasa kebaikannya jauh mengatasi satu kesalahan yang dibuat beliau.

Tentu sekali, di penghujung ayat terakhir akan ditulis, maafkanlah Najib Razak.

Memaafkan Najib Razak

Ketika ramai yang menyeru untuk kita memaafkan Najib Razak, perlu juga diingat baru sehari Najib menjalani hukuman penjara 12 tahun beliau dan belum satu sen pun lagi dari denda RM210 juta itu sudah dibayar.

Sepanjang tempoh sejak dijatuhkan hukuman bersalah, Najib Razak tidak meringkuk seminit pun di dalam penjara. Sebaliknya beliau mendapat penangguhan hukuman dan kebebasan itu digunakan oleh Najib ke hulu dan ke hilir berkempen politik dan pada masa yang sama mempertikaikan kesahihan isu 1MDB.

Najib Razak langsung tidak menunjukkan sedikit pun rasa sesal atau rasa bertanggung jawab di atas onar 1MDB beliau. Sebaliknya di media sosial seperti Facebook, beliau terus memutar belit fakta untuk memperdaya rakyat.

Bagaimana mungkin kita bisa memaafkan Najib Razak ketika hukuman beliau baru dijatuhkan semalam dan dengan ada lagi 4 kes yang belum habis dibicarakan?

Dosa Najib Razak

Skandal 1MDB sememangnya tidak menyakiti sesiapa secara fizikal. Tetapi mahu atau tidak kita wajib sedari bahawa skandal 1MDB ini akan merompak masa depan negara melalui implikasi kewangan yang berlaku.

Pertama sekali, berbilion ringgit telah lesap melalui skandal 1MDB ini. Wang berbilion ringgit ini bukannya datang dari poket Najib Razak tetapi sebaliknya adalah wang negara yang juga merupakan wang rakyat. Inilah duit hasil kutipan cukai selama ini yang sepatutnya digunakan untuk tujuan pembangunan negara.

Yang kedua, implikasi dari pinjaman dan melibatkan 1MDB telah mengakibatkan negara menanggung beban hutang yang tinggi. Baki komitmen hutang 1MDB sehingga 30 Jun 2022 adalah sebanyak RM32.08 bilion. Jumlah ini adalah setelah ditolak RM10.84 bilion yang telah dibayar kerajaan. Komitment hutang 1MDB sahaja dilaporkan merangkumi 15% dari hutang semasa negara.

Angka kewangan ini tentulah tidak datang dari poket kita rakyat marhaen. Tentu sekali gaji kita dibayar seperti biasa, pendapatan kita seperti lazimnya justeru ada antara kita yang berfikiran, “bukan aku yang kena bayar hutang 1MDB”. Tetapi yang ditulis awal tadi, tanpa kita sedar apa yang dirompak dari kita adalah masa depan.

Dengan setiap ringgit komitment hutang 1MDB yang ditanggung kerajaan bermakna hilang setiap ringgit yang boleh digunakan untuk sekolah, hospital, rumah mampu milik, jalan raya, jambatan atau pelbagai perbelanjaan pembangunan lain yang boleh dilaksanakan.

Kesannya tidak terasa untuk kita hari ini, tetapi lambat laun generasi akan datang, yakni anak cucu kitalah yang akan terkesan. Bayangkan 10 atau 20 tahun pembangunan negara terbantut akibat komitment hutang 1MDB dan negara kita ketinggalan berbanding jiran serantau?

Bergembira Di Atas Kesedihan

1MDB adalah antara skandal kewangan terbesar di dunia. Bahkan, Jabatan Keadilan Amerika Syarikat menggelarkan skandal 1MDB sebagai skandal kleptokrasi terbesar dunia setakat ini. Siasatan berkenaan 1MDB bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi juga di lebih 10 negara lain melibatkan pelbagai agensi kerajaan, institusi kewangan dan individu tertentu.

Jenayah yang telah dilakukan Najib Razak dalam skandal 1MDB bukan sahaja penggubahan wang haram, tetapi juga pecah amanah dan salahguna kuasa. Ketika bergelar Perdana Menteri, Najib telah melakukan pelbagai tindakan seperti memecat penjawat awam yang menjalankan tugas, menyingkir pemimpin politik lain, menangkap dan mendakwa rakyat yang cuba bersuara serta menggugat integriti institusi seperti kehakiman dan legislatif.

Apa sahaja dilakukan oleh Najib Razak bagi mendiamkan isu 1MDB.

Dengan ketiadaan pilihan lain, satu-satunya cara untuk menyekat kemungkaran Najib Razak adalah melalui pilihan raya. Tarikh 9 Mei 2018 adalah detiknya apabila rakyat turun mengundi untuk menumbangkan rejim kleptokrat.

Tanpa kuasa, Najib Razak akhirnya berjaya dibawa ke muka pengadilan.

Seperti kata Zaid Ibrahim, justice is a long winding road. Untuk sampai kepada hari semalam, Selasa 23 Ogos 2022 memakan masa bertahun lamanya. Tiga peringkat mahkamah dilalui, sejumlah 9 hakim terpaksa mengadili proses perbicaraan bagi mencapai matlamat menyumbat si kleptokrat ke dalam penjara.

Adakah betul untuk kita bergembira di atas kesedihan Najib Razak?

Semestinya.

Ya, Najib seorang manusia tapi itu bukan alasan untuk beliau mencuri. Ya, Tuhan mungkin ada agenda tersendiri untuk mentakdirkan Najib masuk ke penjara tetapi itu hubungan Tuhan dan Najib. Jenaya Najib dalam 1MDB, adalah antara kita sesama manusia. Mahkamah dunialah yang menjatuhkan hukum agar keadilan tertegak.

Bergembiralah rakyat. Kerana kita sudah memenjarakan si kleptokrat.

Komen