Apakah Melayu Malas: Pandangan Pejuang Kemerdekaan Ibrahim Haji Yaakub

Terdapat sebuah buku tulisan pejuang kemerdekaan tanahair Ibrahim Haji Yaakub dengan judul ‘Melihat Tanahair’ (1941) yang membuatkan saya ralit menekuninya. Ibrahim menggunakan nama Dr Iskandar Kamel untuk judul ini dan sebahagian besarnya ditulis di Singapura di hujung tahun 1930an. Nama Iskandar Kamel ini adalah nama yang beliau gunakan ketika menceburkan diri dalam TNI (Tentera Nasional Indonesia) dengan pangkat Leftenan Kolonel. ‘Rahsia’ ini didedahkan oleh sahabatnya, Pak Sako atau Ishak Haji Muhammad pada tahun 1975.

‘Melihat Tanahair’ seperti yang dapat diungkap dari judulnya adalah sebuah catatan kembara Ibrahim. Sukar untuk kita tidak membandingkan dengan catatan kembara ‘Kisah Pelayaran Abdullah’  oleh Munshi Abdullah. Ini kerana seperti Munshi, Ibrahim bukan sekadar melangok merayau ke negeri-negeri sedia ada di Tanah Melayu tanpa sebab musabab, tetapi Ibrahim berkelana sambil ikut mencatat. Makanya, catatan itulah yang sangat penting dan bermanfaat untuk dikaji dan diteliti.

Setelah Ibrahim meletakkan jawatan di akhbar ‘Majlis’ yang pada tahun 1939 menjadi milik Syarikat Kebangsaan Melayu Berhad, beliau membuat keputusan untuk ‘melihat tanahair’.

Kata Ibrahim, tujuan beliau itu tidak lain tidak bukan untuk:

‘menyempurnakan satu siasatan yang berhubung dengan hal ehwal bangsa saya orang Melayu, sekurang-kurangnya mendalamkan pengalaman fahaman atau pengertian saya sendiri bersangkutan dengan hal pergaulan, kemahuan dan politik bangsa sendiri. Saya mahu mengenal pembesar-pembesar, penganjur-penganjur bangsa dan Tanahair, serta mengetahui serba sedikit hal ehwal kehidupan (ekonomi) orang-orang Melayu.’

Ibrahim melunasi kembara beliau itu mengelilingi Malaya dengan ‘menaiki keretapi, motokar, kapal, menyewa perahu, naik basikal, menunggang gajah, berjalan kaki’ dan didanai oleh sahabat handainya.

Buku kecil ‘Melihat Tanahair’ ini sebetulnya tidak habis dikarang kerana Ibrahim ditahan penjajah Inggeris di Singapura pada tahun 1941. Akan tetapi ia sempat diterbitkan dan dicetak dengan menggunakan tulisan Jawi. Naskah-naskah buku ini kemudian dirampas Inggeris, judul ini diharamkan dan hanya pada tahun 1970 ia ditemukan kembali oleh Yusuf Nahar, seorang pembaca di Ipoh. Ibrahim kemudian membaiki isi buku ini pada tahun 1971 ketika menetap di Jakarta. Niat Ibrahim tidak lain tidak bukan supaya catatan beliau itu ‘berguna bagi jenerasi muda zaman sekarang tentang Semenanjung di zaman penjajahan Inggeris pada zaman saya ikut berjuang untuk kemerdekaan bangsa dahulu itu.

Apa yang menjadikan karya ini diharamkan penjajah waktu mula-mula terbit tidak lain tidak bukan kerana kritikan Ibrahim ‘menyiasat hal ehwal kehidupan iktisad orang Melayu seluruhnya’.

Justeru, apakah muatan penting buku ‘Melihat Tanahair’ yang langka ini?

Sikap Melayu Suka Berpecah

Terdapat dua poin penting yang ingin saya selongkar dan saya hadirkan dalam nukilan pendek ini. Pertama, Ibrahim banyak bercakap mengenai modal. Menurut beliau, orang Melayu mundur (dalam tahun 1930an) kerana tiada kekuatan modal. Ibrahim melihat Melayu tidak menjadikan wang ringgit sebagai modal dan kepentingan modal ini hanya dikenali ‘sesudah negeri ini diperintahkan oleh pemerintah kaum kapitalis’.

Akan tetapi, Ibrahim tidak memilih untuk menyalahkan Inggeris semata-mata. Beliau lebih suka, di dalam buku itu menyalahkan orang Melayu sendiri kerana enggan berubah. Menurut Ibrahim, akhbar-akhbar Melayu sudahpun mengajak dan menyeru agar orang Melayu hidup bersekutu – yakni bekerjasama dan mengelakkan berpecah – akan tetapi sikap tidak endah telah mengakibatkan orang Melayu tidak mempunyai kekuatan untuk membetulkan keadaan:

‘Meskipun seruan-seruan mengajak pada menjalankan pekerjaan bersama (gotong-royong) telah berpuluh-puluh tahun diserukan oleh akhbar-akhbar Melayu, tetapi orang-orang saya terus membawa perasaan untuknya sendiri-sendiri sahaja, iaitu menjadi satu bukti yang besar menunjukkan bagaimana besarnya kerosakan budi pekerti orang-orang Melayu pada masa ini. Hinggakan mereka tidaklah dapat dibawa muafakat. Beberapa persekutuan yang hidup membawa pertelagahan (pertentangan) faham dengan persekutuan yang lain. Beberapa hal perniagaan yang semata-mata haluannya kerana dirinya seorang sahaja. Maka di sinilah pula menyebabkan layunya perniagaan bangsa Melayu, oleh sebab ketiadaan modal, kerana enggan mengadakan ikatan bersekutu sesamanya sendiri. Istimewa pula fahaman-fahaman yang berlainan di antara satu pihak dengan yang lain, hingga hiduplah orang-orang Melayu dengan keadan yang bercempera (berpecah-pecah) tidak ada sesuatu tujuan atau pegangan kebangsaan (nasionalisma) yang boleh di pegang oleh mereka melainkan ikut kehendaknya masing-masing sahaja.’

Keluhan Ibrahim di atas sangat penting difahami agar poin-poin berikut beliau dapat dihadami.

Apakah Benar Melayu Malas?

Ibrahim Haji Yaakub mengesahkan bahawa beliau sering mendengar dakwaan Melayu itu malas, dan tuduhan itu adalah satu ulangan penjajah Inggeris; yang kemudian diterimapakai dan diyakini oleh orang masyarakat peribumi itu sendiri.

Akan tetapi apakah Melayu benar-benar malas?

Ibrahim pertama-tamanya, menyatakan dakwaan itu menyebabkan beliau ‘berdukacita’ kerana Ibrahim menegaskan, dengan bahasa beliau sendiri, ‘saya tahu betul-betul petani dan peladang bangsa saya keluar daripada rumahnya sesudah sembahyang subuh dan balik ke rumah kadang-kadang waktu senjakala.’ Bahkan, Ibrahim menjelaskan anak-anak mereka kadang-kala ikut sama bekerja, atau yang lebih dewasa menjaga adik-adik yang kecil. Bukan itu sahaja, Ibrahim melihat nelayan Melayu bertungkus lumus turun ke laut menyabung nyawa manakala kaum wanita membantu dengan membaiki alat-alat menangkap ikan ini:

‘Jadi sangatlah besar kesilapan kalau pemimpin-pemimpin mengatakan orang Melayu itu malas. Salah sekali. Orang Melayu sebenarnya rajin bekerja. Nelayan-nelayan bangun waktu dinihari membawa nasi bekal turun ke laut dengan perahunya. Jika nasib baik boleh pulanglah ke pantai pukul tiga empat petang, kadang-kadang sampai senjakala ataupun malam. Betul-betul mereka menggadaikan nyawa kerana sesuap pagi dan sesuap petang. Isteri atau anak-anaknya, anak-anak perempuannya yang tinggal di rumah daripada waktu subuh lagi bangun memupui (menggulung) benang membubui (memperbaiki) pukat, jaring dan alat-alat lainnya. Menyediakan atau mempersiapkan rumahtangga. Apabila petang sahaja bersedia pula ke pantai-laut menantikan perahu-perahu suaminya atau abangnya atau adiknya balik membawa ikan untuk jualan kepada tauke-tauke Cina yang sudah memajaknya lebih dahulu dengan wangnya untuk pembelian rumah. Demikian pula kuli pemotong getah. Laki-laki perempuan bekerjasama daripada waktu subuh lagi sudah bangun tidur menyempurnakan pekerjaan masing-masing. Inikah yang dikatakan orang Melayu malas? Bangsa saya orang Melayu malas?’

Keduanya, poin penting buku ini ialah, jika bangsa Melayu tidak malas; malah rajin seperti diperikan oleh Ibrahim, apakah yang mengakibatkan mereka ketinggalan? Inilah punca besar mendorong Ibrahim untuk menjelajah ke seluruh Tanah Melayu dengan harapan dapat ‘melihat tanahair’ dan memberi beberapa solusi dari sudut pandang beliau.

Di Mana Salah Melayu?

Ibrahim tahu di mana sebabnya Melayu ketinggalan. Di dalam buku ‘Melihat Tanahair’ beliau mendedahkan sebab-musabab itu dengan panjang lebar. Inilah yang menjadi poin kedua Ibrahim di dalam karya langka beliau. Ibrahim menyatakan gaya pentadbiran di negeri-negeri Melayu – atau lebih tepat kepimpinan – orang Melayu dapat dipersalahkan sebagai punca akar yang menyebabkan orang Melayu ketinggalan:

‘Oleh yang demikian kerajaan Melayu telah berpecah-belah sama sekali lima ratus tahun lamanya, iaitu empat ratus tahun lamanya, menderita di bawah pemerintahan nafsu raja-raja dan orang-orang besar bangsa Melayu sendiri. Dan seratus tahun menerima kemasukan kuasa dari luar negeri dan mendapat berbagai-bagai perubahan. Istimewa manakala peredaran siasah dunia telah berubah daripada kekuasaan Maharaja-maharaja yang bertangan besi kepada kekuasaan demokrat kaum modal. Maka hal ehwal orang Melayu yang tidak mengerti akan hal-hal perjalanan kekuasaan Modal dan cara pentadbirannya itu, telah tinggallah sama sekali.’

Ibrahim seterusnya mengatakan golongan aristokrat Melayu ini telah bekerjasama dengan kaum pemodal bangsa Cina, dan tentunya Inggeris sehingga mengabaikan nasib orang Melayu. Hal ini diputuskan oleh Ibrahim setelah beliau meneliti bentuk-bentuk pentadbiran atau kepimpinan orang Melayu di setiap negeri. Ibrahim sebagai contoh melihat bagaimana gejala ini terjadi dengan begitu bersahaja dalam ‘mesyuarat kerajaan negeri Johor’.

Ibrahim menulis, saya petik:

‘Tidak kurang daripada tiga kali saya telah melihat dan mendengar majlis mesyuarat Kerajaan Johor. Dewan Mesyuaratnya di kaki bukit sebelah barat Johor Baharu mengadap ke sebelah Teberau. Tanya siapa-siapa yang masuk ke Dewan Mesyuarat ini, tentulah menyertai saya iaitu apabila sahaja sampai ke dalam Dewan itu, serasa berada di dalam sebuah rumah seorang tauke Cina yang kaya, oleh sebab di sekeliling Dewan itu penuh tulisan-tulisan Cina yang bertulis dengan airmas dan macam-macam gaya. Ada yang besar dan ada yang kecil, dan tentulah orang yang baharu masuk ke situ bertanya apa sebabnya maka begitu pula halnya Dewan Mesyuarat Kerajaan Johor menjadi seakan-akan Dewan Mesyuarat Cina pula. Jika tidak disiasat jauh tentulah berbagai-bagai sangkaan telah datang. Bagi saya telah menyelidikinya, rupa-rupanya bangunan itu telah dihadiahkan oleh ikatan beberapa orang tauke Cina yang kaya-kaya di dalam Johor menghadiahkan kepada Johor. Jadinya yang bertulis Cina itu ialah nama-nama orang-orang yang berjasa pujian-pujian kepada Raja. Doa-doa dan lainnya dalam bahasa Cina. Apa buruk baiknya Dewan Mesyuarat Kerajaan Johor seperti Dewan Mesyuarat Cina itu, saya serahkan kepada pikiran orang Johor sahaja yang menilainya sendiri. Pengerusi Mesyuarat Kerajaan Johor ialah yang Berhormat Mulia, Menteri Besar. Ahli-ahlinya resminya enam belas orang, di antara tiga orang pegawai Bangsa Inggeris. Tiga belas orang pegawai bangsa Melayu termasuk kerabat-kerabat Diraja serta Orang Besar Sultan dan sepuluh orang ahli bukan resmi iaitu enam bangsa Eropah, seorang Melayu, dua orang Cina dan seorang India.’

Ibrahim menambah, kepimpinan Melayu yang sedia ada pada waktu itu sudah amat lemah. Ini terjadi kerana terdapat banyak persengketaan antara bangsawan Melayu yang sudahnya membuatkan rakyat marhaen melarat:

‘…acap kalilah terjadi perang saudara, adik beradik, anak-beranak di antara Raja-Raja dan Datuk-Datuk samanya sendiri. Mereka berebut-rebut daerah kekuasaan. Berebut-rebut mengutip hasil dari pedagang-pedagang yang mengerjakan sawah ladangnya.’

Keadaan pecah belah ini dimanfaat oleh penjajah Inggeris bersama-sama kaum pemodal dari bangsa Cina. Ini kerana Ibrahim melihat kaum kapitalis atau pemodal (apa bangsa sekalipun) tidak pun menghiraukan nasib rakyat bawah, apatah lagi nasib kaum peribumi yang kian tertinggal, dan kemudian ditohmah malas.

Keadaan ini sukar dicerna oleh orang Melayu awam tatkala itu kerana ‘orang-orang Melayu tidak mengerti cara-cara pentadbiran modal’, dan lebih syahdu orang Melayu ditipu oleh pemimpin sendiri; ‘orang Melayu tidak faham akan muslihat-muslihat yang datang daripada luar, ialah oleh sebab mereka telah lebih lima ratus tahun lamanya tertindih di bawah kezaliman Kerajaan Raja-Raja dengan peperangan sama sendiri (mulai sesudah runtuhnya kerajaan melayu Seri Bijaya di akhir Kurun ke 12 masehi).

Dalam suasana yang demikian kacau itu, iaitu perpecahan orang Melayu dan kezaliman golongan bangsawan; dengan cepatnya orang bawahan Melayu terabai.

Maka seruan agar Melayu tidak terpedaya dengan mudah oleh pujuk rayu kaum pemodal Melayu (kaum bangsawan) dan Cina (pemodal atau kapitalis) terdengar sayup-sayup sekali. Apabila ia ditambah helah Inggeris maka kaum Melayu kian tidak berdaya.

Jadi, Melayu yang rajin sekalipun menjadi tertinggal dan perlahan-lahan kehilangan warisan pusaka mereka:

‘Jadinya pada masa didatangkan pentadbiran baharu pada kurun ke 19 Masehi yang membawa kepada berbagai-bagai perubahan adalah sangat-sangat mengelirukan mengacau bilau pada pihak-pihak orang-orang Melayu yang bertanggungjawab pada menyelamatkan bangsa dan tanahairnya. Lebih susah lagi oleh sebab orang-orang Melayu telah berpuak-puak, berpecah-pecah, masing-masing membuat negeri dengan bersendiri. Kerana itu di dalam masa setengah kurun sahaja dijalankan pembukaan negeri di tanah Melayu ini, dimulai tahun 1896, orang Melayu pun bersurut diri daripada segala bahagian penghidupan mereka. Segala jenis perusahaan pekerjaan telah dipajak diborong oleh modal-modal yang datang dari luar serta memasukkan buruh daripada luar. Jadi terampaslah tanah-tanah yang subur yang dipunyai oleh peladang-peladang Melayu. Tanah-tanah lombong timah dan pasar perniagaan yang dimiliki oleh ahli-ahli perniagaan Melayu. Pentadbiran yang dikuasai oleh Raja-raja dan orang besar-besar Melayu.’

Pokoknya, Ibrahim tidak melihat kesalahan Melayu itu pada orang Melayu sepenuhnya, tetapi kebuntuan dan kemiskinan orang Melayu itu membarah kerana sikap penting diri kaum aristokrat Melayu, agenda Inggeris yang penuh makar dan haloba kaum pemodal Cina.

Salah Yang Diteruskan Hari Ini

Pandangan-pandangan Ibrahim demikian mungkin kontroversial pada hujung tahun 1930an dan tidaklah menghairankan buku ‘Melihat Tanahair’ ini dilarang, dirampas naskah jualannya dan hanya hidup kembali pada tahun 1970an. Itupun idea Ibrahim ini tidak tersebar secara meluas.

Namun demikian, pandangan atau gagasan Ibrahim ini muncul secara sejajar apabila Syed Hussein Alatas menulis ‘Mitos Peribumi Malas’ (1977) yang sedikit sebanyak mengesahkan dan membenarkan dakwaan-dakwaan Ibrahim di atas. Tidak mustahil Syed Hussein ada membaca tulisan penting Ibrahim ini waktu itu.

Bahkan, jika kita meneliti elok-elok, kita mendapati gagasan Ibrahim Haji Yaakub di atas ikut mendokong pandangan Munshi Abdullah dalam magnum opus beliau ‘Hikayat Abdullah’ dan ‘Kisah Pelayaran Abdullah’.

Oleh demikian, sudah terpakai menurut cendekiawan Melayu; orang Melayu tidaklah malas akan tetapi mereka tertinggal kerana pengkhianatan bangsa dan pemimpin sendiri. Mereka, pemimpin Melayu ini suka bersengketa demi kepentingan diri sendiri iaitu merebut kekuasaan dan agihan kekayaan. Untuk tujuan mengukuhkan cengkaman, pemimpin Melayu ini rela bekerja dengan pemodal Cina yang lahap lantas menyebabkan orang Melayu di bawah kian terperosok. Keterhempukan Melayu di dalam gaung itu menjadi lebih malang di saat pemodal asing (dalam hal ini Inggeris) menghunjam mereka ke lubang lebih dalam.

Mutakhir ini tidaklah banyak beza dengan apa yang dilihat oleh Ibrahim pada era 1930an itu. Pemimpin Melayu saling bercakar untuk berkuasa, harta dan aset negara dijual dan diniagakan, manakala pemodal asing (kali ini dalam wajah kapitalis China) memburu khazanah bangsa Malaysia yang masih tersisa. Lebih dahsyat terdapat pemimpin Melayu yang menjarah Melayu di bawah tanpa segan silu. Juga, sepertinya dekad-dekad 1930an dan 1940an itu akan ada ramai Melayu yang tidak peduli dengan seruan untuk menjadi matang dan segera berubah. Masih ramai Melayu yang senang diperdaya dan percaya dengan pembohongan kaum atasan yang serakah. Kaum Melayu yang memperdayakan Melayu jahil ini melakukannya dengan dana besar kaum aristiokrat dan kapitalis Melayu di atas itu nun tadi. Mereka kadang-kala menggunakan hujah cintai bangsa (baca bangsawan). Persis dahulu kala, kaum patriot palsu ini ikut bermuka-muka. Dan, akan ada Melayu yang sanggup bermati-matian mengorban diri untuk sebab palsu ini, ibarat ramainya Melayu yang terbodoh dan mati katak ketika perang saudara sesama kaum feudal lama dahulu.

Maka pusingan syaitani berterusan, dan Melayu seperti yang dilihat Ibrahim Haji Yaakub dalam ‘Melihat Tanahair’ kelihatannya kekal tidak dapat keluar dari perangkap tersebut.

Komen