Alam Semesta, Ruang Dan Masa

Sewaktu kita mula membesar, banyak persoalan yang sering timbul di minda kita. Ketika kita kecil, kita tertanya-tanya dari manakah bayi datang? Apabila meningkat umur sedikit, kita mula bertanya bagaimana siang dan malam boleh berlaku? Beginilah proses ingin tahu mendidik kita untuk terus bertanya, dan mencari jawapan bagi setiap pertanyaan kita.

Antara persoalan besar yang kita mungkin ingin tahu, tapi masih belum dapatkan jawapannya ialah berapa besarkah alam semesta ini? Persoalan ini ditanya kerana kita dapat melihat ribuan bintang di malam hari, seolah-olah tidak ada penghujung bagi langit malam. Di manakah penghujung alam semesta ini? Jika terdapat penghujung alam semesta, apakah di sebalik sempadan alam semesta kita?

Setiap persoalan yang kita tanya, walaupun terjawab, pasti akan menghasilkan soalan baharu. Kaedah pemikiran beginilah yang membawa manusia untuk terus mengkaji dan mengkaji bagi memuaskan sifat ingin tahu serta menjawab segala persoalan yang timbul. Dari sinilah manusia dibezakan dengan makhluk lain; manusia tidak henti berfikir mencari jawapan.

Jika kita melihat langit yang tiada awan pada waktu malam, kita akan dapat lihat bintang-bintang yang bertebaran di segenap ruang. Namun, sebenarnya bintang-bintang yang kita lihat merupakan suatu pemandangan masa silam yang terpampang di hadapan kita. Ini kerana bintang tersebut adalah sangat jauh sehingga cahaya daripada bintang-bintang tersebut memerlukan ribuan bahkan jutaan tahun untuk capai ke mata kita.

Sudah tentulah alam semesta ini sangat luas. Jadi berapakah luasnya alam semesta ini?

Tidak semua isi kandungan alam semesta ini dapat kita lihat. Jika dicerap objek paling jauh yang dapat kita lihat, cahaya daripada objek tersebut datang sekitar 13 hingga 14 bilion tahun lalu. Jadi, adakah alam semesta kita seluas 13 atau 14 bilion tahun cahaya?

Jawapannya tidak semudah itu. Alam semesta kita bukanlah dilahirkan dan terus berada dalam keadaan seperti hari ini. Namun ia mengembang sejak permulaan hidupnya. Disebabkan alam semesta kita berkembang, jarak objek yang paling jauh yang dapat kita cerap berada pada jarak sekitar 46 bilion tahun. Ini bermaksud alam semesta yang dapat kita lihat adalah sekitar 46 bilion tahun pada semua arah. Jika alam semesta kita berbentuk sfera seperti sebiji bola, ini bermaksud diameternya ialah sekitar 92 bilion tahun.

Namun adakah alam semesta yang sebenar mempunyai saiz seluas ini? Adakah ia berbentuk sfera? Apakah yang wujud di sebalik alam semesta? Jika ia berkembang, ke manakah ia berkembang?

Alam semesta yang disebut di atas adalah berdasarkan objek-objek yang dapat kita cerap pada jarak yang sangat jauh seperti galaksi. Namun disebabkan alam semesta ini berkembang dengan sangat pantas, ahli kosmologi menteorikan bahawa jika kita pergi ke hujung alam semesta, kita hanya akan dapati lebih banyak galaksi yang bertebaran.

Barangkali alam semesta kita tidak berpenghujung atau barangkali alam semesta kita adalah alam semesta 3 dimensi yang terbentuk di atas alam yang lebih daripada 3 dimensi. Dimensi-dimensi lain tak dapat kita jangkau dan tak dapat kita lihat. Adakah wujud dimensi lain?

Apabila kita berbicara mengenai keadaan alam semesta pada hari ini, kita tidak dapat terlepas daripada mencari asal usul alam semesta. Sama seperti seorang detektif yang menjejak sesuatu kes dengan melihat kepada kesan-kesan dari masa lampau, ahli kosmologi juga menjejak asal usul alam semesta dengan melihat alam semesta daripada kelahirannya sehinggalah keadaannya hari ini.

Berdasarkan data-data kajian daripada teknologi teleskop yang pelbagai, kita mendapati bahawa alam semesta ini berkembang daripada sebuah titik yang dikenali sebagai ketunggalan (singularity). Titik inilah yang mengandungi segala-galanya yang dapat kita lihat di alam semesta kita. Atas sebab yang tak diketahui, titik ini mengembang dengan pantas. Selepas 14 bilion tahun, hasilnya ialah segala yang dapat kita lihat pada hari ini. Pengembangan inilah yang dikenali sebagai Big Bang atau Letupan Besar. Terdapat banyak bukti saintifik yang menyokong teori ini seperti pergerakan galaksi-galaksi yang menjauhi antara satu sama lain.

Jika benar alam semesta kita berasal dari sebuah titik, di manakah lokasi titik tersebut? Apakah yang berada di luar titik tersebut?

Persoalan ini telah menyebabkan para saintis berfikir panjang tentang keberadaan ruang dan masa. Apakah yang kita faham tentang ruang dan masa? Jika alam semesta kita ialah sebuah ruang, apakah yang wujud di sebalik ruang tersebut? Jika alam semesta kita bermula ketika Big Bang, apakah yang wujud sebelum Big Bang?

Apa itu ruang? Adakah alam semesta kita mencakupi ruang? Jika begitu, apa pula yang wujud di sebalik ruang?

Bagaimana pula dengan masa? Apa yang kita maksudkan dengan masa? Jika alam semesta berumur 14 bilion tahun, apa yang berlaku sebelum 14 bilion tahun lalu?

Persoalan ini menyentuh fikiran kita sedalam-dalamnya. Apakah yang wujud di sebalik ruang? Sukar untuk kita terjemahkan persoalan ini dalam bentuk fizikal. ‘Di sebalik’ itu merujuk kepada ruang. Jadi, apakah di sebalik atau di luar ruang itu sendiri adalah persoalan yang tidak sah. Begitu juga dengan masa. Apakah yang wujud sebelum masa? Persoalan ini tidak boleh dijawab dan difahami oleh akal kita kerana persoalannya berputar. Kita hidup dalam sistem ruang masa. Kita diletakkan di dalamnya.

Melalui persoalan dan kajian inilah kita dapat lihat betapa luasnya alam ini, betapa banyaknya ilmu pengetahuan yang tak terjangkau dek akal kita dan betapa kerdilnya kita dibandingkan dengan sang Pencipta. Jadikanlah sifat ingin tahu kita ini sebagai satu jalan untuk mendekatiNya.

Tentang Penulis

Muhammad ‘Izzat adalah siswa Universiti Sains Malaysia dalam jurusan Sains Fizik. Beliau adalah penulis yang terpilih dalam Liga Penulisan Artikel Pengajian Tinggi.

Komen