Peperangan telah menjadi satu cara yang digunakan sepanjang sejarah untuk menyelesaikan masalah antara negara atau golongan. Namun, apakah peperangan benar-benar merupakan jalan penyelesaian yang efektif?
Peperangan sering dianggap sebagai satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah yang berbahaya. Namun, peperangan sering mengakibatkan kerugian besar, baik dalam bentuk kehilangan nyawa atau kemerosotan ekonomi. Peperangan juga dapat menyebabkan konflik yang berlarutan sukar untuk dipecahkan, seperti yang terjadi di beberapa negara sekarang. Peperangan juga dapat menyebabkan kerosakan moral dan pengaruh negatif pada masyarakat yang terkena dampaknya. Konflik yang berlarutan ini juga dapat menyebabkan perpisahan keluarga, kemiskinan dan pelarian.
Bagaimana peperangan itu boleh berlaku? Jika kita mengimbau kisah perjalanan Rasulullah S.A.W., banyak peperangan yang telah terjadi sehingga berlakunya pertumpahan darah dan kehilangan nyawa orang-orang penting dalam Islam. Dengan kehilangan kata perdamaian yang tidak dapat lagi dicapai, maka tercetusnya peperangan yang bertindak sebagai jalan untuk mempertahankan hak dan memerangi musuh yang menindas orang Islam dengan keizinan Allah.
Sebagaimana Firman Allah yang disebutkan dalam Surah al-Hajj ayat 39:
“Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan). Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: “Tuhan kami ialah Allah”.”
Berdasarkan apa yang dijelaskan dalam ayat di atas, Allah memberi keizinan untuk berperang bagi mengelakkan hal buruk yang bakal terjadi jika tiada kata sepakat berlaku dalam golongan musuh yang ingin memerangi Islam. Oleh itu, peperangan yang berlaku pada zaman tersebut bertujuan untuk menjaga perdamaian serta mencegah daripada kerosakan yang berlaku akibat pemberontakan golongan yang ingin memerangi Islam. Jadi peperangan yang berlaku dalam sejarah Islam tidak boleh dijadikan alasan membuat tohmahan bahawa Islam menganjurkan keganasan.
Jauh berbeza dengan peperangan yang berlaku setelah kewafatan Rasulullah, kebanyakan peperangan tercetus adalah berpunca daripada sifat rakus manusia yang inginkan kuasa dan perebutan takhta dari zaman ke zaman. Sebagaimana apa yang berlaku ketika Perang Dunia Pertama yang salah satunya berpunca dari persaingan ketenteraan dan persenjataan yang wujud di antara Jerman, Perancis dan Britain. Situasi ini telah mencetuskan ketegangan dan juga peperangan yang berlaku pada tempoh masa 1914 sehingga 1918. Peristiwa peperangan ini telah menimbulkan berbagai-bagai kesan yang menjejaskan keadaan negara.
Bermulanya kemusnahan harta benda yang merosakkan hampir seluruh tempat perindustrian di negara masing-masing. Kejatuhan ekonomi juga telah berlaku di mana berlaku masalah inflasi dan dibebani hutang akibat peperangan yang berlaku. Bagi mencapai kata perdamaian setelah tamatnya peperangan, pelbagai usaha juga telah dilaksanakan seperti pembentukan Liga Bangsa yang bertujuan untuk mengelakkan peperangan dan memelihara keamanan dengan cara rundingan bagi menyelesaikan masalah. Walaupun pertubuhan ini tidak berjaya tetapi ia sedikit sebanyak membuka mata orang ramai untuk sedar bahawa pentingnya hidup dalam keadaan aman dan harmonis tanpa perlunya peperangan.
Justeru, perdamaianlah merupakan satu permulaan bagi mencapai kebahagiaan dalam dunia ini. Dalam perbincangan mengenai perdamaian, seorang tokoh yang bernama Paolo Friere telah berpendapat iaitu:
“Damai merupakan dimensi kemurahan hati yang memiliki tujuan untuk mengikis penyebab dari sebuah peperangan.”
Kata-kata yang telah diluahkan oleh beliau banyak memberi inspirasi untuk meneruskan kelangsungan kehidupan manusia tanpa berlakunya peperangan di seluruh dunia. Walaupun istilah peperangan juga tidak pernah akan hilang dari dunia ini tetapi konsep perdamaian yang diterapkan dalam jiwa masing-masing merupakan satu matlamat yang jelas untuk menolak peperangan tercetus di abad sekarang.
Alternatif lain untuk menyelesaikan masalah antara negara atau golongan adalah dengan cara damai, seperti perundingan dan berdialog. Cara ini memerlukan kesabaran dan komitmen dari kedua belah pihak, tetapi dapat mendatangkan cara yang lebih baik dan berkelanjutan daripada peperangan.
Oleh itu, konsep perdamaian haruslah menjadi satu misi dan visi bagi semua manusia untuk menjalani sebuah kehidupan yang diimpikan iaitu bebas daripada peperangan dan kerosakan yang melampau. Perdamaian merupakan cita-cita setiap individu, masyarakat serta pemimpin negara bagi mengelakkan konflik yang berlaku antara individu mahupun negara itu sendiri. Jadi marilah kita bersama menanamkan erti perdamaian dan mengaplikasikannya bagi kesejahteraan bersama.
Secara keseluruhan, peperangan yang sering dianggap sebagai jalan penyelesaian yang paling efektif, namun sebenarnya ia merupakan jalan yang paling merugikan. Rundingan dan cara damai harus diutamakan sebagai cara untuk menyelesaikan masalah antara negara atau golongan.
(Artikel ini adalah tulisan saudari Nur Aizatul Aina Binti Yusof dan merupakan pandangan peribadi penulis)
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.