Adakah Muhyiddin Lupa Luahan Zahra?

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Pada 4 April yang lalu, keluar satu kenyataan pak menteri Perikatan Nasional (PN) menyuruh graduan perlu bersyukur mendapat pekerjaan dengan gaji yang rendah ketika pandemik berbanding mereka yang masih tidak mendapat pekerjaan. Saya berpendapat kenyataan ini tidak cermat dan hanya menimbulkan kemarahan rakyat, khususnya graduan dan orang muda yang tertekan berhadapan krisis pandemik ini.

Saya mula teringat kisah seorang gadis bernama Zahra, seorang graduan undang-undang yang meluahkan kepayahan menghadapi cabaran kos sara hidup yang tinggi dalam sebuah program dianjurkan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) enam tahun yang lalu.

Dalam ucapannya, Zahra menimbulkan persoalan “apa gunanya belajar tinggi-tinggi, akhirnya mengemis juga?”. Gaji rendah yang diterima graduan menyebabkan mereka tidak dapat jalan keluar daripada kemelut ekonomi.  Situasi buruk ini tidak menguntungkan anak muda, khususnya anak Melayu. Ramai anak muda sudah tidak peduli dengan isu politik perkauman kecuali ‘survival’ mereka untuk menempuh hari-hari sukar yang menyebabkan mereka bertambah susah.

Luahan Zahra ini dikongsi orang ramai sehingga video ucapannya tular di Twitter dengan hashtag #SayaZahra. Ramai yang memuji keberanian Zahra bercakap perkara yang benar mengenai kesengsaraan anak muda di hadapan pemimpin tertinggi ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi Timbalan Perdana Menteri kepada Najib Razak.

Gaji Graduan Makin Teruk

 Selepas menjadi Perdana Menteri, adakah Muhyiddin lupa akan luahan Zahra enam tahun yang lalu? Apakah Muhyiddin tidak peduli akan nasib anak muda yang kian tertekan dengan situasi ekonomi yang hampir tidak masuk akal ini?

Selepas enam tahun ucapan Zahra, adakah gaji graduan mengelamai perubahan ketara? Tentunya tidak. Persatuan Majikan Malaysia (MEF) menyatakan gaji graduan pada tahun ini lebih rendah berbanding tahun 2020. Majoriti graduan menerima pendapatan antara RM1,001 dan RM1,500 pada 2020 berbanding RM2,001-RM2,500 pada 2019.

Krisis pandemik COVID-19 pula telah menunjukkan sisi buruk ekosistem ekonomi negara yang masih berlegar dalam aktiviti ekonomi bernilai rendah dan lebih cenderung menggaji pekerja tempatan dengan kadar yang rendah.  Namun, graduan dan anak muda tidak mudah putus asa.

Ada yang rela membuat lebih dua kerja ketika pandemik untuk mencari pendapatan. Mereka sanggup mengorbankan kudrat, kelayakan akademik dan masa bersenang-lenang demi keberlansungan hidup. Ada yang sudah setahun tidak bertemu keluarga demi mencari duit di Singapura, tidak dapat pulang ke tanah air kerana pintu sempadan masih ditutup akibat kes COVID-19 belum reda.

Di sebalik kesungguhan graduan dan anak muda bekerja keras untuk mencari rezeki, Muhyiddin pula dengan mudah menyatakan kerajaan tidak cukup wang untuk dibelanjakan kepada rakyat. Apakah pendirian seperti ini dapat membantu graduan dan anak muda untuk terus hidup pada waktu yang sukar ini?

Muhyiddin Cuai, Lupa Keluhan Zahra

Muhyiddin sepatutnya sudah cukup masak dengan masalah gaji rendah yang melanda pekerja, termasuk graduan dan anak muda, sejak dua dekad yang lalu. Laporan Bank Negara Malaysia 2018 menyatakan agihan keuntungan diberikan kepada majikan kepada pendapatan pekerja hanya 35.2 peratus.

Ini bermaksud, setiap RM10 keuntungan syarikat, pekerja di Malaysia hanya mendapat RM 3.52, yakni dua kali ganda lebih rendah daripada pendapatan majikan sebanyak RM6.48. Namun, masalah ini dipandang ringan oleh majikan mahupun kerajaan.

Maka, tidak hairanlah anak muda seperti Zahra sanggup bekerja dalam sektor 3D (Dirty, Dangerous, Difficult atau Kotor, Berbahaya, Sukar) di Singapura untuk mendapat gaji yang lebih lumayan. Ada pula sanggup menjadi pemetik buah di luar negara, asalkan gaji mereka terima halal dan setimpal berbanding tawaran gaji di Malaysia yang kekal rendah.

Kalau Muhyiddin ingat kesukaran yang dihadapi Zahra, mungkin peruntukan berbilion-bilion ringgit akan disalurkan untuk meingkatkan kestabilan ekonomi untuk graduan dan anak muda. Jika ia dilakukan, mungkin Zahra dan generasi hari ini cukup merasai nikmat hidup dalam keadaan yang lebih selesa meskipun menghadapi krisis besar seperti pandemik.

Ternyata, Muhyiddin lupa akan luahan Zahra. Peluang yang ada untuk membetulkan keadaan ekonomi graduan ketika krisis COVID-19 telah disia-siakan Muhyiddin yang hanya sibuk membuat percaturan politik kuasa. Jadi apa jalan seterusnya untuk menyelesiakn masalah gaji rendah graduan dan anak muda?

Memilih Pemimpin Yang Betul

Hakikatnya, isu gaji rendah graduan bukan sekadar masalah ekonomi, tetapi ia mempunyai hubung kait dengan politik. Graduan dan anak muda perlu sedar bahawa masalah gaji rendah ini berpunca daripada kelemahan kerajaan menguruskan ekonomi sehingga gagal mencipta pasaran ekonomi yang menawarkan gaji dan pekerjaan setimpal untuk mereka. Sebaliknya, para pemodal dan majikan mengambil keuntungan atas angin terhadap graduan akibat kelemahan dasar ekonomi dibawa kerajaan.

Graduan sendiri boleh lihat kegagalan kerajaan PN yang sibuk mengagihkan peruntukan atas kepentingan politik semasa pandemik berbanding sehingga cuai dalam memikirkan semula kaedah membantu anak muda mendapat gaji yang lebih setimpal ketika ini. Akhirnya, kerajaan PN menunding jari kepada graduan yang didakwa tidak kompeten dalam memenuhi pasaran kerja.

Jika adanya sebuah kerajaan tidak kompeten seperti PN dan Muhyiddin, maka penyakit gaji rendah ini tidak akan selesai dan bakal diwarisi generasi akan datang.

Apa yang boleh dilaksanakan graduan dan anak muda dalam mengatasi isu ini adalah terlibat aktif dalam dialog dan perbincangan dalam ruang demokrasi dalam menuntut kepimpinan politik terus komited melaksanakan pembaharuan dalam isu gaji dan peluang pekerjaan buat graduan.

Penting juga buat graduan memilih parti politik atau pemimpin yang boleh mengatasi masalah mereka untuk menerajui kerajaan. Desakan daripada graduan  akan menjadi faktor utama parti politik memikirkan tawaran dasar ekonomi terbaik buat anak muda berbanding bermain politik perkauman yang hanya tidak mampu menyelesaikan masalah sebenar.

Saya percaya, pendekatan ini lebih baik berbanding sikap diam atau tunggu dan lihat graduan dalam memperjuangkan nasib ekonomi mereka yang kini sudah sampai tahap kritikal. Cukuplah, kita tidak mahu lihat generasi akan datang masih senasib Zahra dan graduan bergaji rendah.

Komen