Keluhuran Perlembagaan.
Kedaulatan Undang-undang.
Dua ini adalah prinsip-prinsip yang ada di dalam Rukun Negara kita. Malam Jumaat sudah, saya bersama 30 orang sahabat yang lain telah ditahan oleh pihak Polis DiRaja Malaysia dan dibawa ke IPD Dang Wangi kerana mengadakan upacara memorial di Dataran Merdeka untuk korban COVID-19. Sekurang-kurangnya 2 hak kami yang telah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan telah dicabul oleh pihak polis malam itu.
Soalan kami “Adakah kami ditahan?” tidak dapat dijawab oleh pihak polis bahkan kami diherdik dan ada di antara sahabat saya dikasari sewaktu mereka cuba menahan kami. Kami dipaksa menaiki Black Maria dalam keadaan bersesak di dalam kenderaan itu dan diperlakukan seperti penjenayah.
Sewaktu kami tiba di Dataran Merdeka dan memulakan upacara memperingati korban COVID-19, sekumpulan polis terus mendekati kami dengan gaya yang penuh intimidasi. Saya masih ingat raut wajah pegawai yang mengetuai operasi mengherdik kami;
“Bagi IC. Jangan besar kepala! Nak naik (ke ruang upacara) bagi IC dulu. Kalau tidak halang dia!”
Seorang anggota mendekati saya. Terlalu dekat dan meminta IC saya. Saya bertanya mengapa dia perlukan IC saya? Dia menjawab dengan kasar;
“Saya polis. Bila saya minta IC bagi! Saya ada kuasa ambil IC awak. Kalau tak tahu undang-undang, diam!”
Saya akhirnya menyerahkan IC saya kepada beliau. Kami memulakan upacara memorial. Ia mengambil masa kurang dari 30 minit. Selesai sahaja upacara, kami diarahkan untuk kekal di atas “pentas”. Wakil media disuruh turun ke bawah. Dan beberapa minit selepas itu dua buah kenderaan Black Maria kelihatan masuk ke kawasan Dataran Merdeka. Baru saya sedar, laluan ke Dataran Merdeka telah ditutup oleh pihak polis. Kami telah dikepung.
Kami kemudiannya dipisahkan lelaki dan wanita. Ketika ini seorang anggota datang kepada saya dan menunjukkan video seorang peserta di protes #Lawan beberapa minggu yang lalu. Dia bertanyakan saya mengenai identiti peserta itu. Saya hanya diam. Dia kelihatan kurang senang tetapi berdiam diri adalah hak saya. Dan selepas itu bermula babak-babak ganas antara pihak polis dengan kami. Saya melihat bagaimana sahabat-sahabat lelaki saya diseret dan dipaksa masuk ke dalam Black Maria. Saya melihat bagaimana dua sahabat wanita saya dikasari dan dipaksa untuk menaiki Black Maria.
Namun persoalan kami tetap tidak dijawab. Adakah kami ditahan?
Selepas dua orang sahabat wanita saya dikasari dan dipaksa, kami yang masih di “pentas” mengambil keputusan untuk duduk tanda protes. Selepas mereka selesai “menguruskan” 2 wanita tersebut, mereka datang semula kepada kami. Pegawai operasi mengugut kami;
“Kalau tak nak jalan sukarela, kami seret kamu macam kawan kamu tadi.”
Kami tetap berkeras dan bertanya “adakah kami ditahan?”
Namun mereka tetap tidak menjawab bahkan mengherdik kami;
“Kenapa degil sangat ni? Kenapa tak nak bekerjasama?”
Akhirnya mereka sekali lagi cuba mengasari sahabat yang lain. Saya dan seorang sahabat kemudian bangun. Apabila melihat kami bangun, mereka mula kendur.
Saya katakan saya akan berjalan ke Black Maria sendiri asalkan sahabat yang lain selamat. Akhirnya kami semua akur. Namun masih ada tolak menolak dan paksaan serta kekasaran oleh anggota polis yang mengiringi kami ke Black Maria. Sampai di IPD Dang Wangi, kami diarahkan untuk menyerahkan telefon kami. Kami bertanya sekali lagi, adakah kami ditahan? Kami masih tidak mendapat jawapan. Akhirnya kami semua dibawa ke satu ruangan dan bertemu dengan sahabat-sahabat lelaki yang lain. Keterangan kami diambil, begitu juga dengan cap jari dan “mugshot”. Kami dibebaskan secara berperingkat dan saya sendiri dibebaskan pada jam 12 tengah malam. Apabila saya keluar, saya melihat ramai peguam di pintu pagar IPD. Baru saya tahu mereka tidak dibenarkan untuk masuk dan mewakili kami. Hanya dua orang sahaja yang dibenarkan naik setelah negosiasi. Sehingga ke saat saya menulis ini, pihak polis masih lagi gagal menjawab soalan saya. Adakah saya ditahan?
Menurut anggota operasi, kami hanya dibawa ke IPD untuk dokumentasi dan urusan kompaun. Tapi akhirnya kami diserahkan Borang Hak Hak Orang Ditangkap sebelum kami dibebaskan. Masih, soalan kami tidak mendapat jawapan. Adakah kami ditahan?
Pihak polis sepatutnya berterus terang memaklumkan kepada kami;
“Ya. Anda ditahan di bawah kesalahan sekian, seksyen sekian, akta sekian. Sila ikut kami ke IPD untuk diambil keterangan”
Mudah. Namun mereka lebih suka mengherdik “kamu diam!”, “ikut sahaja!”, “kenapa kamu degil / tak nak beri kerjasama”. Kami juga diugut “kalau tak nak naik (Black Maria), kami charge kamu halang tugas penjawat awam!”. Adakah ini prosedur tangkapan oleh pihak polis?
Saya ingin mencadangkan kepada pihak PDRM untuk mengadakan kelas untuk anggota mereka agar mereka faham peruntukan Perlembagaan Persekutuan ke atas setiap rakyat Malaysia selain dari peruntukan undang-undang supaya mereka tahu dan faham apa yang perlu mereka lakukan di dalam tugasan mereka. Saya juga ingin menyatakan kekesalan saya terhadap intimidasi yang dilakukan oleh pihak polis ke atas kami. Semuanya tidak perlu jika mereka terus menjawab “ya, kamu ditahan”.
Jika mereka fikir intimidasi ini akan melenyapkan semangat kami, jawapannya tidak. Tidak sesekali. Bahkan secara peribadi untuk diri saya, ia telah menyuntik adrenalin ke dalam sistem badan ini untuk terus melawan kebobrokan sistem dan kerajaan. Setiap intimidasi bukan melenyapkan kami bahkan menambahkan bilangan kami. Saya bersyukur insiden yang menimpa kami ini mendapat liputan media. Saya juga bersyukur kini ramai rakyat Malaysia sudah celik dengan hak mereka dan kebebasan mereka yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Saya tertanya-tanya, apa agaknya terjadi kepada mereka yang ditahan yang tidak tahu akan hak mereka. Bagaimana keadaan mereka ketika berada di dalam tahanan polis?
Dan sehingga artikel ini ditulis di bahagian ini, saya masih tidak lagi mendapat jawapan “adakah saya ditahan?”
(Nota: Gambar oleh saudara Lancelot Theseira)
Pernah berkhidmat sebagai pegawai khas parlimen dan dasar kini menceburi bidang korporat. Extrovert. Memasak adalah terapi dan masih single.