Siapa yang sebenarnya meminta-minta Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas Tabung Haji diadakan pada mulanya?
Yang tidak tahu hujung pangkal mungkin akan cepat mengatakan Pakata Harapan yang mahu RCI TH dilaksanakan. Sebab pendedahan laporan berlaku di zaman PH menjadi kerajaan sekarang.
Tambahan lagi ketika laporan RCI TH dibahaskan, parti yang paling kuat melompat dan bertindak keluar Dewan Rakyat adalah rata-rata dari PN khususnya di kalangan wakil rakyat PAS.
Tapi yang sebenarnya meminta-minta RCI TH dilaksanakan adalah dari PN.
Itulah yang luar biasanya.
Dan yang semakin pelik bin ajaib sekarang ialah PN juga yang sibuk meminta RCI TH diadakan sekali lagi untuk kali kedua.
Asal usul RCI TH bermula sejak 2019 apabila ada desakan dari wakil rakyat PN di Dewan Rakyat ketika itu untuk diadakan satu siasatan khas ke atas TH.
Yang pertama sekali membangkitkannya ialah Annuar Musa, MP Ketereh.
Tetapi kerajaan PH 1.0 pada ketika itu menolak keperluan melaksanakan RCI.
Kenapa ada desakan untuk melaksanakan RCI ke atas TH?
Kerana naratif yang dimainkan ketika itu adalah hendak menilai benarkah wujud penyelewengan di dalam TH ketika era BN seperti yang didakwa PH 1.0.
Juga wujud sentimen di kalangan penyokong PN dan BN bahawa aset-aset TH telah habis dijual PH 1.0 kepada bukan Islam oleh ‘mastermind’ Lim Guan Eng yang menjadi Menteri Kewangan ketika itu.
TH didakwa rugi dan kerugian itu kononnya dikaitkan dengan kerajaan PH 1.0.
Maka apabila berlakunya Langkah Sheraton dan PH 1.0 tumbang, kerajaan PN dan BN yang baru atau lebih mudah kita sebut MN bertindak melaksanakan RCI TH.
Jemaah Menteri di bawah PM Muhyiddin Yassin merasakan perlu ditubuhkan satu RCI pada Ogos 2020, dan pada Julai 2021 kabinet secara rasmi bersetuju menubuhkan RCI TH di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119].
Pun begitu penubuhan RCI TH tidaklah semudah itu. Walaupun ketika menjadi pembangkang PN khususnya PAS antara paling lantak mendesak diwujudkan RCI, setelah menjadi sebahagian dari kerajaan pernah ada cubaan untuk tidak meneruskan usaha tersebut.
Sebagai contoh pada Ogos 2020 Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah pernah memperkecilkan keperluan RCI.
“Mungkin ada perkembangan baru, sebab dulu kita sebagai pembangkang kita desak RCI sebab banyak maklumat yang kita tidak tahu. Jadi ada munasabahnya untuk kita desak. Sekarang kita dalam kerajaan, maklumat yang dulu tidak ada kepada kita, kini sudah ada. Jadi keperluan kepada RCI (Tabung Haji) sudah kecil, dulu kita di luar kita minta benda dalam rumah, sekarang kita dalam rumah boleh cari sendiri.”
Ini kata beliau, seperti dilaporkan oleh media.
Tetapi oleh kerana desakan RCI sudah diadakan sejak sekian lama, dan keghairahan penyokong PN dan BN ketika itu untuk ‘mengkantoikan’ PH 1.0 maka RCI TH tetap diteruskan juga.
Tanggal 20 Januari 2022, Yang di-Pertuan Agong XVI memperkenankan pelantikan enam anggota RCI untuk tempoh enam bulan, sehingga 19 Julai 2022.
Sehari selepas itu Idris Ahmad, Menteri Agama ketika itu menulis di Facebook betapa penubuhan RCI TH adalah hasrat ramai pihak termasuklah dirinya. Komen di pos beliau ketika itu khususnya dari penyokong PN dan PAS sendiri adalah satu keterujaan bahawa segala salah laku penyelewengan terutama di zaman PH 1.0 akan akhirnya terbongkar dan individu seperti Lim Guan Eng (mantan Menteri Kewangan) dan Mujahid Yusof Rawa (mantan Menteri Agama) boleh didakwa.
RCI TH siap sepenuhnya pada 19 Julai 2022 dan laporan dipersembahkan kepada YDPA pada 30 Ogos 2022. Selang beberapa bulan selepas itu, kerajaan MN bubar dan pilihan raya umum diadakan pada 19 November 2022.
RCI TH tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi dan tidak didedahkan kepada umum. Baik PN atau BN, tiada siapa mendesak agar laporan RCI TH didedahkan walaupun pada awalnya dua gabungan parti inilah yang paling ghairah mahu RCI TH dilaksanakan.
Yang pernah mendesak ialah Mujahid Yusof Rawa di dalam Dewan Negara beberapa kali sejak 2023. Individu yang penyokong PN dan PAS percaya paling berpotensi didapati terlibat dalam salah tadbir dan penyelewengan TH tetapi dialah yang paling mendesak laporan didedahkan kepada umum.
Hanya pada 29 Julai 2026, laporan RCI TH akhirnya didedahkan kepada umum. Itu pun masih ada bahagian yang dirahsiakan khususnya berkaitan sesi temubual dengan beberapa saksi terlibat.
Persoalan kenapa laporan RCI TH ‘diperam’ selama 4 tahun dikatakan berpunca dari kegusaran kerajaan pendedahan ketika proses pemulihan TH boleh menjejaskan keyakinan pendeposit.
Namun selepas ia akhirnya didedahkan, masih timbul isu ketidakpuasan hati di kalangan BN dan PN.
Yang BN, buat majlis penerangan syok sendiri kononnya tiada isu ‘sakau’ dalam TH.
Yang PN pula selaku pak turut, tiba-tiba minta diadakan RCI TH yang baru.
Kenapa?
Sebab RCI TH 1.0 dahulu tidak kena dengan anak tekak mereka.
Nak tengok Mujahid terciduk, Lim Guan Eng kena dakwa atau PH 1.0 terbukti songlap dan tipu umat Melayu Islam semuanya tidak kesampaian.
Sebaliknya hasil dapatan RCI TH mendedahkan berlaku salah tadbir, ketirisan dan penyelewengan dalam TH ketika era BN, dan usaha PH 1.0 dahulu walaupun tidaklah sempurna tetapi berhasil menyelamatkan TH dari muflis.
Hasil dapatan yang tidak kena dengan anak tekak BN dan PN.
Maka sebab itu, mereka minta pula RCI TH 2.0 dan sekali lagi kita berdepan satu lagi projek pembodohan umat.









