‘Perpaduan’ Kunci Kemajuan Ekonomi Malaysia

Malaysia melonjak tangga ke-15 dunia dalam IMD World Competitiveness Ranking 2026. Ia bukan sekadar angka. Ia bukti bahawa PERPADUAN, kestabilan politik dan kerjasama pelbagai pihak menjadi asas kemajuan ekonomi negara.

Saya percaya, pendekatan inklusif dan sederhana yang dibawa oleh PMX Anwar Ibrahim adalah resepi untuk Malaysia yang berbilang kaum. Ia diterjemahkan melalui Kerajaan Perpaduan yang inklusif. Kemajuan tak datang daripada sikap ingin mendominasi atau meminggirkan pihak lain.

Setiap tahun, institusi antarabangsa dari Switzerland – International Institute for Management Development (IMD) akan terbitkan ranking daya saing dunia. Ia mengukur keupayaan sesebuah negara menarik pelaburan, mengembangkan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Tahun ini (2026), Malaysia melonjak kedudukan ke-15 dunia, berbanding tangga ke-23 pada 2025 dan ke-34 pada tahun 2024. Dalam dua tahun sahaja, negara kita telah naik 19 anak tangga.

Untuk mudah faham, bayangkan seperti keputusan peperiksaan. Jika dulu kita dapat nombor 34, hari ini kita nombor 15! Malaysia sedang bergerak lebih pantas berbanding banyak negara maju yang lain seperti Kanada (ke-16), Australia (ke-17), Norway (ke-18), Finland (ke-19) dan Bahrin (ke-20).

Malaysia berjaya ke tahap ini antaranya kerana prestasi ekonomi yang lebih kukuh, peningkatan pelaburan, pertumbuhan perniagaan dan penambahbaikan kecekapan kerajaan. Malah, Malaysia kini berada kedudukan ke-4 dunia bagi prestasi ekonomi, ke-14 bagi kecekapan kerajaan dan ke-16 bagi kecekapan perniagaan.

Peranan Johor

Mari lihat konteks Johor. Johor memainkan peranan sangat penting. Tahun 2024, ekonomi Johor bernilai RM158 bilion yang menyumbang 9.6% daripada KDNK Malaysia. Johor juga mencatat pertumbuhan ekonomi 6.4% – kadar tertinggi antara semua negeri dan melebihi kadar pertumbuhan negara sebanyak 5.1%.

Ini menunjukkan Johor bukan sekadar negeri yang sedang membangun, tetapi merupakan salah satu enjin pertumbuhan ekonomi negara. Sektor pembuatan, perkhidmatan, logistik, perdagangan dan ekonomi digital di Johor telah berikan sumbangan besar untuk Malaysia.

Kita tentunya tidak boleh nafikan usaha Kerajaan Negeri. Namun pada masa yang sama, kita juga perlu berlaku adil dengan mengiktiraf peranan besar Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan. Kami menyediakan dasar, infrastruktur dan menerap keyakinan para pelabur.

Projek-projek strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pembinaan RTS Link Johor Bahru-Singapura, pembangunan pusat data, pengukuhan hubungan ekonomi dengan Singapura serta pelbagai inisiatif menarik pelabur asing tidak mungkin berjaya tanpa kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

Perpaduan Sebagai Ramuan

Hakikatnya, kejayaan Johor dan Malaysia hari ini telah menjadi bukti. Apabila semua pihak sanggup bekerjasama, rakyat akan mendapat manfaat. Pelaburan meningkat, peluang pekerjaan bertambah dan ekonomi berkembang.

Sudah tentu masih banyak perkara yang perlu diperbaiki. Kos sara hidup, gaji bermaruah, pendidikan, kesihatan dan pengangkutan awam masih memerlukan perhatian serius. Namun pencapaian ini memberi petanda bahawa formula ‘perpaduan’ merupakan ramuan pembangunan Negeri dan Negara.

Sebab itu bagi saya, mesej paling penting daripada pencapaian ini ialah PERPADUAN. Ia bukan sekadar slogan politik. Perpaduan adalah strategi kemajuan kita semua.

Apabila kita memilih kerjasama berbanding perpecahan dan kesepakatan berbanding pertelingkahan, Malaysia akan menjadi lebih kuat, ekonomi lebih makmur dan martabat kita dihormati di mata dunia.

Komen