Adakah anda menyaksikan drama politik dalaman Perikatan Nasional, apabila PAS dan Bersatu sedang berebutkan jenama Perikatan Nasional atau PN, dan di tengah-tengah itu terdapat gerakan reset yang wajahnya adalah Hamzah Zainudin?
Menariknya, dalam keadaan Pilihan Raya Negeri di Johor dan Negeri Sembilan bakal berlangsung tidak lama lagi, PAS sedang berusaha mengemut-keluarkan Bersatu dari PN, manakala Bersatu pula menjadi degil enggan untuk keluar dari blok yang sudah punya jenama itu. PAS berharap dengan mengemut-keluarkan Bersatu, kehadiran Hamzah Zainudin dan kawan-kawannya akan menjadi lebih mudah.
Drama saling kemut-mengemutkan, dan ketul yang berdegil sukar keluar ini tentu sahaja akan membawa generasi X dan sebelumnya kepada satu episod kesusasteraan Melayu yang menarik, cemas, tetapi menghiburkan. Saya menjadi saksi mata kepada episod tersebut kerana memang saya berada betul-betul di dalamnya kediaman pencetus episod sastera ini.
Pada tahun 1999, saya sedang bikin Sarjana di Universiti Sains Malaysia, dengan arwah Sasterawan Negara Shahnon Ahmad. Cikgu Shahnon, gelar mesranya telah menulis dan menerbitkan sebuah novelet bertajuk ‘Shit’. Karya ini meletup dan dari kehebohan sastera, kerana judulnya yang amat sensasi, ia juga meletus serta-merta menjadi kericuhan politik. Ia kisah tahi dalam usus seorang individu yang sedang berak.
Cikgu Shahnon mempertahankan kebiadaban karya sastera tersebut, kerana dalam argumen beliau, Shit adalah sebuah sativa, dan beliau memilih bentuk satira Juvenalia yang gaya dan langgam bahasanya kasar, kesat, tidak sopan, kurang ajar dan tujuan paling intinya adalah untuk menyakitkan hati sasaran.
Ketika ia diterbitkan, Perdana Menteri sekarang, Anwar Ibrahim yang ketika itu menjawat posisi sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, baru dipecat. Oleh itu tiada sebab untuk kita tidak percaya yang ‘Shit’ atau watak ‘kepala barisan taik’ yang diperihal oleh Shahnon itu adalah Dr Mahathir sementara watak Wirawan, ’ekor taik’ yang ingin bertaubat dan melakukan reformasi pula adalah Anwar Ibrahim.
Akan tetapi apa yang lebih mengejutkan untuk audien sastera pada waktu itu ialah keluarbiasaan novelet ‘Shit’ ini yang seluruh sebab akibatnya adalah mengenai usaha tolak menolak taik ini, atau meminjam ungkapan genius yang digunakan oleh Cikgu Shahnon, kemut-mengemutkan. Latar novelet ini adalah di dalam usus seorang manusia yang sedang memerut sukar berak.
Meskipun ‘Shit’ ditulis untuk memberi gambaran keadaan politik tatkala itu, sebagai karya sastera yang bermesej dan tahan zaman, ia nampaknya boleh menjelaskan keadaan politik hari ini. Jika dalam satira tersebut, proses blok-bok taik sedang saling berdesak-desakkan berusaha untuk tolak-menolak, kemut-mengemutkan lantas keluar mengeluarkan; kita dapati hal yang sama dapat diperkirakan dalam drama politik Perikatan Nasional (PN).
Kalau kita membaca perenggan-perenggan dalam ‘Shit’ kita akan dapat melekat dan menghubungkan aksi Bersatu enggan dikemut-keluarkan oleh PAS itu, saya petik dari ‘Shit’:
“Tapi perihal mengeluari diri sendiri itu amat jarang-jarang berlaku dalam sejarah kepimpinan kepala taik jenis ini kecuali sudah tak tertahan lagi dengan kebusukan yang membelit diri. Namun sama ada dikeluarkan atau mengeluari diri, yang busuk tetap busuk juga. Yang membusukkan tetap membusukkan juga”.
Sudah tentu latar sosial ‘Shit’ itu tidak semestinya mengenai parti Umno dan Majlis Zenith Tahi (Majlis Tertinggi Umno), itu pun ya juga. Ia boleh dibaca sebagai mana-mana organisasi politik hatta di peringkat kampung, pejabat mahupun syarikat. Kisah kemut-mengemutkan ini adalah mengenai kisah mereka yang gila kuasa, dan melakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa dan merebut kuasa, tidak kiralah jika mereka itu berserban atau tidak. Justeru Shahnon melukiskan secara perinci bagaimana watak-watak ini berebutkan kuasa untuk menjadi ‘kepala taik’:
“Dan pergolakan itu biasanya berkisar dan berputar pada paksi-paksi itu juga: rebutan mahu jadi kepala taik, rebutan untuk rasa kenyang lebih dari yang kenyang, rebutan untuk menjadi yang punya nombor-nombor, yang punya gelaran-gelaran.
Kadang-kadang rebut lagi untuk menjadikan diri lebih busuk dari kebusukan yang sedia wujud”.
Mereka atau tahi yang berebut kuasa, di dalam proses berak ini menggunakan segenap tipu daya untuk lindas-melindas dan di satu rantaian kausaliti untuk memberakkan satu sama lain. Untuk kemut-mengemutkan, tahi akan saling berpura, dan menyamar. Shahnon Ahmad ingin menegaskan yang politik hipokrit tahi ini sebenarnya sangatlah busuk:
“Banyak yang pura-pura menyukainya tapi yang sebenar tidak menyukainya. Banyak yang pura-pura memujinya tapi yang sebenar menjijikkannya. Berbagai-bagai cara tenaga-tenaga lain itu mengorak langkah dan membuat berbagai-bagai muslihat, malah melontarkan seribu satu makihamun, berbagai-bagai fe’el, berbagai-bagai fitnah supaya dia cepat-cepat dikeluarkan dari domain kekuasaan atau dia sendiri mengeluari dirinya dari kekuasaan”.
Politik fitnah ini tidak segan silu lagi dilakukan, malah hari ini, terlihat pada parti yang mengakui diri membawa slogan suci.
Politik busuk dalam PN, dan dalam UMNO satu masa dahulu adalah gejala ketiadaan inquiry mind, yang mana semua dilanda budaya angguk dan pak turut.
Kita boleh sahaja melihat bagaimana budaya politik berak yang menjijikkan ini berlaku di Negeri Sembilan dan Johor, yang turut mengheret institusi yang sepatutnya neutral.
Puak yang menjadi tukang angguk ini kita boleh lihat ramai setiap kali ada ‘press conference’ mereka akan berdiri mengeliling, atau di belakang ’kepala taik’ itu.
Shahnon Ahmad melukiskan gambaran ini secara berlebihan, tetapi bertepatan dalam novelet ‘Shit’:
“Dia memalingkan kepalanya yang waktu itu agak lonjong sedikit ke belakang dan sempat melihat para pengikutnya dalam barisan tetap berkapukan pada landas ketulan yang tirus memanjang dalam usus besar dalam domain kekuasaan itu.
Mereka semua mengangguk-angguk dan dia sebagai kepala pun mengangguk juga. Memang anggukan sudah pun menjadi budaya peradaban taik yang dikepalainya selama hampir dua puluh tahun ini. Sebagai kepala, dia memang cukup sedar tentang budaya anggukan ala pokke itu.”
Yang menjadikan ‘Shit’ sebuah satira teramat ‘lejen’ adalah kerana Shahnon Ahmad telah awal-awal memperihalkan gejala taksub, setia buta-babi, atau dalam ungkapan Gen Z hari ini ‘walak’ tanpa berani mempersoalkan. Untuk nota, watak PM dalam karya ini adalah ‘kepala taik’ atau kependekan kepada Pu**M*k. Shahnon menulis begini:
“PM ketawa dalam diam dan dalam kebusukan dirinya. Pernah sekali PM sengaja menguji ketaatan para ketulan anggota barisannya untuk benar-benar tahu sejauh mana kepatuhan para anggota dalam barisan. Siapa saya? PM menyoal begitu saja.
Puk****! Jawab mereka. Lagi sekali PM menyoal dan kali ini PM sengaja melebihkan liuklintuk kepala taiknya itu. Siapa saya? Para anggota lantas menjawab: Puk****! Cuba laungkan nama itu sepuluh kali? Puk****! Puk****!
Puk****! Puk****! Puk****! Puk****! Puk****! Puk****! Puk****! Puki****! Yang pendeknya? P.M. P.M. P.M. P.M. P.M. P.M. P.M. P.M. P.M. P.M”.
Dalam kebusukan itu juga, kemut-mengemutkan terus aktif berlaku. Dan tentu ada blok tahi yang berdegil enggan keluar, manakala blok tahi yang mengharapkan tahi yang tidak diingini itu keluar pula berusaha menolak tahi yang tidak diingini ke muara dubur. Tulis Shahnon:
“Kali ini aku tidak mahu keluar melalui lobang keramat itu, bisik PM. Jangan siapa berani mengeluarkan aku melalui lobang keramat itu, katanya agak kuat. Aku tidak mahu keluar. Sesiapa ingin keluar dulu, boleh keluar sendiri-sendiri tapi aku sendiri tidak mahu keluar. Aku tetap ingin berada di dalam perut kekuasaan pemerintahan ku ini.”
Untuk rakyat Malaysia yang tidak sempat menyaksikan drama kemut-mengemutkan pada tahun 1998-1999 itu, saya kira kalian juga boleh menghidu kebusukan yang hampir nak sama. Malah sebetulnya kemut-mengemutkan itu tidak pernah berhenti.
Sejak dekad-dekad memulas itu, perut pimpinan politik di Malaysia memang penuh dengan kemut-mengemut. Lihat bagaimana Najib sukar dikemut-keluarkan, apabila berjaya dikemut-keluarkan, masih ada anasir ingin melakukan reset. Lihat bagaimana untuk berkuasa Langkah Sheraton dicetuskan sehingga kerajaan yang demokratik jatuh.
Lihat bagaimana untuk mengemut-keluarkan blok tertentu, parti seperti DAP dipersalahkan. Lihat bagaimana perut para ulama, dan proses berak mereka begitu busuk sehingga sanggup tanpa segan silu saling kemut- mengemutkan. Lihat bagaimana Bersatu dan PAS saling bertolak-tolakan agar dapat diberakkan keluar dari ‘lobang keramat’.
Lihat bagaimana gelar kepala taik boleh dikemut-keluarkan, dan diberi kepada kepala sebelumnya. Lihat bagaimana politik berak ini dilakukan oleh puak-puak busuk di negeri yang sedang berdepan proses pilihan raya.
Percayalah, drama kemut-mengemutkan tahi ini akan terus berlangsung. Dan itulah sebabnya novelet ‘Shit’ karya Shahnon Ahmad ini akan kekal bertahan menjadi karya refleksi untuk kita, para saksi segala tahi ini.

Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani adalah Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Penyelidik Bersekutu di sebuah tim penyelidikan di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard, Amerika Syarikat. Kajian beliau menganjur dari Sastera Bandingan sehingga Hak Asasi Manusia dengan penekanan terhadap kumpulan minoriti agama.









