DAP, Ghanimah Politik Dan Umpan Melayu Bernama Marina

Tanggal 30 Mei 2026, Marina Ibrahim menulis sepucuk surat kepada kepimpinan DAP Johor, khususnya kepada pengerusi Teo Nie Ching.

Dalam surat ringkas satu muka surat itu, Marina menyatakan pendiriannya menolak “tawaran” (dibaca: arahan) untuk bertanding di kerusi DUN Tiram dalam PRN Johor akan datang. Menyedari keingkaran dirinya sendiri terhadap “tawaran” parti, Marina juga memilih untuk bersara dari politik.

Tetapi apa yang lebih mengejutkan dalam surat ringkas Marina itu ialah pendedahan tentang pelan sandaran seandainya Marina kalah di Tiram. Satu jawatan GLC akan disediakan untuk Marina sebagai timbal balik sekrianya tidak lagi bergelar wakil rakyat selepas ini.

Pendedahan itu tentunya membawa implikasi yang besar. Sebuah parti yang kononnya lahir untuk melawan amalan lama, rupa-rupanya kini sudah menjadi salinan karbon kepada lawan mereka. Cuma kali ini ia digulakan dengan slogan reformasi, meritokrasi dan tatakelola yang baik.

Tindakan Marina Ibrahim menolak “tawaran” DAP Johor untuk bertanding di Tiram bukan sekadar cerita seorang wakil rakyat yang mahu bersara. Ia adalah kejutan realiti tentang DAP. Dan realiti yang tertera bukan lagi tentang parti yang bersih, segar dan berprinsip. Tetapi sebuah parti yang lapar kuasa, pandai berkira untung rugi dan tidak segan menawarkan ghanimah politik kepada calon yang berisiko kalah.

Ya, ghanimah politik. Apa lagi nama yang lebih tepat apabila seorang calon diminta meninggalkan kerusi yang pernah diwakilinya, dihantar ke medan berisiko, lalu dipujuk bahawa jika kalah pun, akan ada jawatan GLC sebagai pelan sandaran atau jaringan keselamatan?

Bukannya benda sebegini tidak pernah berlaku. Hari ini, sekian banyak ahli politik DAP yang kini tidak lagi menjadi ADUN atau Ahli Parlimen sedang selesa menjawat jawatan dalam GLC, sampai tidak ada bezanya antara mereka dan UMNO.

Tetapi, tidak semua orang boleh dibeli prinsipnya. Kali ini DAP tersilap membaca watak.

Marina membuktikan prinsip beliau tidak boleh ditawar-menawar. Lalu Marina memilih jalan yang lebih bermaruah dengan bersara daripada politik kepartian daripada membiarkan dirinya dijadikan alat.

Di sinilah letaknya keberanian Marina. Beliau bukan sekadar menolak kerusi. Beliau menolak budaya politik yang jijik. Marina menolak untuk menjadi “umpan Melayu” dalam parti yang kononnya memperjuangkan Malaysia untuk semua tetapi apabila tiba saat menyusun calon, masih juga melihat warna kulit, nama dan identiti sebagai modal politik paling mudah dijual.

Apabila seorang pemimpin Melayu diminta meninggalkan kawasan yang telah beliau wakili, lalu dihantar ke kawasan lain atas kiraan demografi, mesejnya jela. Nilai beliau bukan semata-mata pada kerja, prinsip atau khidmatnya, tetapi pada kegunaan politik identitinya.

Inilah ironi terbesar DAP. Parti yang sering menuduh orang lain bermain politik kaum, kini akhirnya terperangkap dalam matematik politik kaum sendiri.

Apa yang dilakukan DAP Johor juga mendedahkan satu lagi kepincangan dalam DAP hari ini. Ia memberikan mesej bahawa apa yang berlaku dalam PRN Sabah tahun lalu nampaknya tidak “menginsafkan” DAP.

Ternyata pengundi Sabah celik huruf membaca kepincangan DAP . Pengundi Sabah melihat jarak antara slogan dengan tindakan. Mereka melihat parti yang bercakap tentang reformasi, tetapi semakin selesa dengan budaya kuasa. Mereka melihat parti yang bercakap tentang integriti, tetapi membisu apabila kepentingan politik menuntut kompromi. Mereka melihat parti yang bercakap tentang Malaysia untuk semua, tetapi akhirnya tetap bermain formula identiti apabila mahu menang pilihan raya.

Kini Johor berpotensi menjadi pentas ulangan.

Jika DAP Johor menyangka pengundi tidak nampak bagaimana Marina diperlakukan, parti itu sedang menipu diri sendiri. Pengundi Johor bukannya buta politik. Pengundinya cukup matang untuk melihat apabila seorang pemimpin yang telah berkhidmat di satu kawasan tiba-tiba mahu dialihkan demi percaturan kaum. Mereka juga cukup waras untuk bertanya jika begini DAP melayan pemimpin Melayunya sendiri, bagaimana pula parti itu mahu meyakinkan rakyat bahawa mereka benar-benar membawa politik rentas kaum?

Maka tidak hairan jika pemimpin Melayu dalam DAP sering kelihatan seperti perhiasan politik. Cukup untuk dipamerkan di pentas ceramah, cukup untuk menepis dakwaan parti itu berat sebelah, cukup untuk dijadikan bukti bahawa DAP kononnya inklusif. Tetapi apabila keputusan besar dibuat, siapakah yang benar-benar menentukan haluan? Siapakah yang benar-benar dilindungi? Dan siapakah pula yang mudah dikorbankan?

Marina Ibrahim menjadi simbol kepada persoalan itu.

Beliau memilih untuk tidak tunduk. Dan kerana itu, beliau wajar dipuji. Dalam zaman ramai ahli politik sanggup menelan apa sahaja demi jawatan, Marina membuktikan masih ada ruang untuk berkata tidak. Tidak kepada percaturan yang menghina prinsip. Tidak kepada ghanimah politik. Tidak kepada parti yang menjual idealisme di depan rakyat tetapi berdagang jawatan di belakang tabir.

Yang lebih utama, Marina mengatakan tidak untuk dirinya dijadikan “umpan Melayu”.

Komen