Rasuah Dan Monopoli Kartel Terhadap Pencerobohan Hutan Simpan Di Malaysia

Kes pencerobohan hutan simpan kerap didengar dan menjadi tajuk akhbar yang utama mengenai kes ini. Amalan rasuah dan penglibatan kartel melibatkan pencerobohan hutan simpan di Malaysia menjadi punca utama kes ini terjadi. Hal ini menurut Global Watch Forest, dalam tempoh 19 tahun bermula tahun 2001 sehingga 2020, Malaysia telah kehilangan sebanyak 8.39 juta hektar bahkan juga telah kehilangan sebanyak 29% kawasan hutan.

Definisi bagi rasuah adalah satu bentuk penerimaan atau pemberian suapan yang dianggap sebagai upah atau dorongan untuk seseorang melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang diminta dengan tugas yang rasmi. Suapan pemberian rasuah terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan ,jawatan, upah dan juga diskaun. Pemberian atau penerimaan apa-apa bentuk ganjaran yang dijanjikan demi kepentingan diri dalam tugas yang rasmi dianggap sebagai rasuah. Manakala definisi bagi kartel pula, adalah kumpulan pengeluar bebas dan bertujuan meningkatkan keuntungan iaitu dengan penetapan harga, mengehadkan bekalan atau yang lain-lain. Kedua- dua ini merupakan salah satu punca peningkatan pencerobohan hutan simpan di Malaysia.

Kekurangan amalan integriti di dalam kalangan penguatkuasa menyebabkan berlakunya pencerobohan hutan simpan di Malaysia. Hal ini disebabkan oleh penguatkuasa dilihat sebagai entiti awam yang terdedah dan berisko kepada rasuah terutama sekali di dalam isu pencerobohan hutan simpan negara. Amalan integriti di dalam kalangan penguatkuasa dan juga kepada penjawat awam adalah sangat penting untuk diamalkan kerana mereka merupakan penyumbang utama di dalam berkhidmat kepada negara dan menjadi cerminan masyarakat tempatan dan juga negara-negara luar. Jelas, sikap integriti perlu diambil berat supaya terhindar daripada gejala rasuah dan dapat melakukan tugas dengan penuh tanggungjawab dan berhemah.

Pelaksanaan undang-undang yang lemah memberi kesempatan yang baik kepada pemberi rasuah dan kartel di dalam pencerobohan hutan simpan di Malaysia. Hukuman yang dikenakan kepada pesalah rasuah dilihat tidak begitu berat dan keuntungan yang didapati dari pemberi rasuah lebih menguntungkan dan mampu untuk membayar denda yang dikenakan. Oleh hal yang sedemikian, ia merupakan salah satu sebab amalan rasuah di dalam negara tidak berkurangan dari tahun ke tahun akibat daripada tindakan hukuman yang dikenakan menyebabkan seseorang individu yang terlibat tidak serik dalam melakukan perkara itu. Jelas, undang-undang serta hukuman kepada amalan rasuah perlu dipertingkatkan supaya negara akan bebas daripada gejala tersebut.

Kewujudan peluang dan ruang kepada pemberi rasuah dan kartel menyebabkan berlakunya peningkatan pencerobohan hutan simpan di dalam negara. Disebabkan oleh permintaan yang tinggi oleh negara luar akan kayu-kayan bernilai dan berkualiti tinggi yang ada dalam negara menyebabkan berlakunya gejala rasuah kepada penguatkuasa terhadap pencerobohan hutan simpan dan memberi keuntungan yang besar kepada kartel. Oleh hal yang demikian, jika perkara ini tidak dibendung dengan segera dikhuatiri sumber-sumber semulajadi di dalam negara akan habis bahkan juga akan menganggu ekosistem persekitaran di dalam negara.

Penguatkuasa dan penjawat awam yang menerima gaji yang rendah terdedah kepada gejala rasuah, berikutan dengan ekonomi yang tidak menentu di dalam negara serta kos sara hidup yang semakin hari yang telah menyebabkan tiada pilihan selain daripada sanggup menerima rasuah. Ia sekaligus memberi peluang kepada kartel untuk menceroboh hutan simpan di dalam negara. Maka, bagi mengelakkan perkara itu berlaku, penyeragaman gaji yang bersesuaian dan pemberian subsidi yang bersasar perlu dinilai semula oleh pihak kerajaan agar dapat memastikan hidup penjawat awam akan lebih selesa dan dapat mengelakkan diri dengan rasuah.

Pegangan agama serta pendidikan tentang gejala rasuah yang berkurangan dan lemah kepada penguatkuasa dan juga penjawat awam menyebabkan berhadapan pelbagai bentuk ancaman yang boleh menjejaskan prestasi, produktiviti serta masa hadapan sesebuah organisasi terutama sekali dalam keterlibatan dalam kancah rasuah. Apabila perkara ini berlaku, kesempatan kepada kartel untuk melakukan pencerobohan hutan simpan bagi mengait keuntunggan yang tinggi kepada mereka. Penguatkuasa dan penjawat awam perlu tingkatkan akhlak dan nilai diri supaya gejala rasuah ke atas mereka dapat dihindarkan.

Sikap materialistik penguatkuasa dan penjawat awam memberi peluang kepada kartel dalam pencerobohan hutan simpan. Gaya hidup mewah yang diimpikan, menyebabkan kartel mudah mengambil kesempatan iaitu dengan pemberian rasuah. Oleh demikian, ia perlu dibalas balik dengan kepentingan yang lain. Hal ini menyebabkan pihak kartel mudah untuk menceroboh hutan simpan di dalam negara dan menyebabkan banyak berlaku pembalakan haram yang berlaku dalam negara. Sikap ini perlu dihindari oleh penguatkuasa dan penjawat awam supaya dapat melakukan tugas dengan penuh tangggungjawab dan telus.

Kesimpulannya, amalan rasuah dan monopoli kartel merupakan punca utama berlakunya pencerobohan hutan simpan di dalam negara. Oleh itu pihak yang berwajib perlu memainkan peranan yang penting dalam membanteras perkara ini daripada menular dengan lebih luas lagi di dalam negara.

Komen