12 MASJID DI WILAYAH PERSEKUTUAN JADI PUSAT ADUAN KAUNSELING MANGSA KEGANASAN RUMAH TANGGA

Sebanyak 12 masjid di Wilayah Persekutuan dipilih sebagai pusat aduan dan khidmat kaunseling kepada mangsa keganasan rumah tangga yang memerlukan khidmat nasihat, sokongan psikologi serta kaunseling.

Perkara ini diumumkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri melalui kerjasama dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Selain dari 12 masjid tersebut, dua buah masjid lagi di Wilayah Persekutuan turut dipilih sebagai Pusat Transit Keganasan Rumah Tangga.

Masjid tersebut adalah Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Masjid Al-Ghufran di Pinggiran Taman Tun Dr Ismail (TTDI) yang akan berfungsi sebagai tempat perlindungan untuk mangsa keganasan rumah tangga.

Inisiatif ini telah dilaksanakan sejak 2021 dan merupakan sebahagian dari pelan pengimarahan masjid di bawah JAWI agar masjid diperkasa dan dapat memainkan peranannya dalam membantu masyarakat setempat.

Natijahnya isu keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan sering menjadi fokus utama kerana ia melangkaui batas sempadan, agama, bangsa dan budaya.

Berdasarkan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hampir satu daripada tiga wanita di seluruh dunia mengalami keganasan fizikal atau keganasan seksual sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Terdapat lima bentuk keganasan yang dikenal pasti boleh berlaku kepada wanita, iaitu penderaan fizikal, penderaan seksual, penderaan sosial, penderaan kewangan serta penderaan psikologi dan emosi.

Berdasarkan statistik polis, kes keganasan terhadap wanita yang melibatkan keganasan rumah tangga, jenayah rogol dan gangguan seksual di seluruh negara merekodkan sebanyak 9,334 kes pada 2021 dan 8,580 kes pada 2022 dan bagi tahun ini, sehingga Ogos, sebanyak 5,050 kes telah direkodkan.

Adalah diharapkan dengan pemilihan 12 buah masjid sebagai pusat aduan kaunseling dan 2 lagi masjid sebagai pusat transit akan memberikan situasi menang-menang kepada golongan wanita mendapatkan perlindungan dan kepada pihak masjid dalam usaha mengimarahkan masjid.

Komen