Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan Ekonomi Madani sebagai asas pembangunan ekonomi negara. Rangka kerja ekonomi madani itu telah menggariskan tujuh pasak dan sasaran yang perlu dicapai.
Pertumbuhan Ekonomi
Matlamat negara adalah untuk berada dalam kedudukan antara 30 ekonomi terbesar dunia. Malaysia kini berada di kedudukan ekonomi ke-35 terbesar dunia.
Daya Saing Global
Sasaran Ekonomi Madani adalah untuk Malaysia di tangga ke-12 teratas Indeks Daya Saing Global. Malaysia kini berada pada kedudukan daya saing ke-27 dunia.
Pekerjaan Dengan Gaji Setimpal
Kadar gaji dan upah masa kini adalah pada 32.4% dari KDNK. Sasaran yang ditetapkan ialah untuk pendapatan buruh meliputi 45% KDNK.
Pertumbuhan Inklusif
Penyertaan wanita kini adalah 55.5% dalam tenaga buruh, sasaran Ekonomi Madani adalah untuk penyertaan wanita dalam tenaga buruh mencapai 60% dari populasi keseluruhan wanita.
Pembangunan Manusia
Malaysia kini berada dalam Indeks Pembangunan Manusia ke-62 dunia. Sasaran yang ditetapkan adalah untuk berada pada kedudukan ke-25 teratas dunia dalam indeks yang sama.
Tata Kelola Yang Baik
Indeks Persepsi Rasuah Malaysia adalah pada kedudukan ke-61 di peringkat global dan Ekonomi Madani mahu mengubah persepsi rasuah ini kepada kedudukan ke-25 terbaik dunia.
Kemampanan Fiskal
Purata defisit fiskal adalah sekitar 5.5% untuk lima tahun lalu dan sasaran yang ditetapkan ialah mahu mengubah kepada sasaran defisit fiskal 3% atau lebih baik.