Tabung KWSP Merosot: Kaitan Pengeluaran Dan Gaji Rendah

KENYATAAN yang dikeluarkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini bahawa hampir separuh dari pencarum mempunyai jumlah simpanan kurang dari RM10,000 di dalam akaun mereka adalah satu amaran besar betapa meruncingnya keadaan sosio-ekonomi rakyat Malaysia.

Data yang lebih tepat adalah sejumlah 46% ahli KWSP yang berusia di bawah 55 tahun mempunyai simpanan kurang dari RM10,000. Situasi ini menimbulkan tanda tanya tentang keupayaan mereka untuk mendapat jumlah simpanan yang cukup apabila bersara nanti.

KWSP menetapkan ambang simpanan asas pada usia persaraan 55 tahun sebanyak RM240,000 untuk setiap ahli. Tiga pengeluaran KWSP yang diluluskan kerajaan sepanjang pandemik Covid-19 iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra telah mengakibatkan jumlah ahli yang ambang simpanan asas merosot dari 36% kepada 27%.

Bermaknan, kurang dari 1/3 ahli KWSP yang akan mempunyai simpanan RM240,000 atau lebih apabila mereka mencapai umur 55 tahun nanti.

Keluar Duit Simpanan Untuk Teruskan Hidup

Sejak tercetusnya pandemik Covid-19, kerajaan telah meluluskan tiga jenis pengeluaran KWSP.

i-Lestari merupakan jenis pengeluaran yang pertama dengan menggunakan Akaun 2 sebanyak maksimum RM500 sebulan bermula dari 1 April 2020 hingga 31 Mac 2021. Untuk i-Lestari, KWSP melaporkan seramai 5.23 juta ahli melakukan pengeluaran dengan jumlah keseluruhan berjumlah RM19.45 bilion.

Kerajaan seterusnya memberikan izin untuk pengeluaran KWSP kedua yang diberi nama i-Sinar. Perbezaan ketara antara i-Sinar dan pengeluaran sebelum ini adalah i-Sinar menggunakan Akaun 1 yang merupakan akaun simpanan utama ahli KWSP. Seramai 6.6 juta ahli melakukan pengeluaran i-Sinar melibatkan sejumlah RM58.8 bilion.

Peggeluaran yang terkini adalah i-Citra yang bermula sejak 12 Julai 2021. Pengeluaran dihadkan pada kadar maksimum RM10,000 yang dibayar secara ansuran selama 5 bulan menggunakan Akaun 1. Untuk i-Citra, seramai 5 juta permohonan diterima melibatkan jumlah pengeluaran sebanyak RM20.8 bilion.

Jumlah nilai keseluruhan tiga KWSP ini tadi adalah sebanyak RM99.05 bilion. Ia satu jumlah wang yang besar dan tidak dinafikan pengeluaran wang simpanan ini ke pasaran dapat membantu menghidupkan ekonomi yang tenat susulan pandemik.

Namun satu perkara yang perlu kita sedari, nilai RM99.05 bilion ini bukanlah bantuan dari kerajaan tetapi sebaliknya adalah wang tabungan rakyat. Simpanan yang sepatutnya digunakan di hari tua terpaksa dikorbankan untuk meneruskan kehidupan hari ini.

Justeru tidaklah menghairankan jika jumlah simpanan KWSP rakyat Malaysia merosot teruk selepas tiga pengeluaran bernilai RM99.05 bilion. Kesan ini lebih ketara di kalangan mereka dari kelompok B40 atau M40 yang terjejas susulan pandemik. Kehilangan sebahagian simpanan akan merencatkan perancangan persaraan mereka.

Walaupun begitu, adakah kita hanya melihat permasalahan ini dari sudut pengeluaran KWSP ketika pandemik semata?

Punca Permasalahan Sebenar

Apa yang mungkin kita terlepas pandang sebenarnya adalah punca permasalahan sekarang bertitik tolak dari sebelum pandemik Covid-19 meletus.

Jika ambang simpanan asas yang ditetapkan KWSP adalah sebanyak RM240,000 pada usia 55 tahun, maka perlu untuk kita melihat berapakan nilai gaji yang ideal buat kebanyakan ahli KWSP bagi mencapai ambang simpanan asas tersebut?

KWSP menetapkan untuk setiap pekerja mencarum 9% dari nilai pendapatan manakala majikan pula ditetapkan pada kadar 13% bagi pekerja yang berpendapatan RM5,000 dan ke bawah, dan 12% untuk pekerja dengan pendapatan lebih RM5,000. KWSP menjamin kadar dividen minimum 2.5% tetapi berdasarkan rekod beberapa tahun kebelakangan kadar dividen boleh dikatakan berlegar sekitar angka 6%.

Akan tetapi, berapa jumlah caruman yang disimpan setiap bulan masih bergantung pada jumlah gaji yang dibayar. Jika besar gaji yang diterima, maka besarlah nilai caruman 9% pekerja atau 13% oleh majikan.

Melihat kembali kepada apa yang berlaku sekarang, dengan hampir separuh ahli KWSP mempunyai simpanan kurang RM10,000 di dalam akaun, maka soalan yang perlu kita bangkitkan adalah jika semua ini sebenarnya berpunca dari gaji yang rendah?

Tidak dinafikan pengeluaran KWSP yang dibuat ketika pandemik memainkan peranan dalam merosotnya jumlah simpanan. Tetapi kemerosotan itu mungkin tidak seteruk yang kita alami sekarang jika sedari dulu lagi rakyat Malaysia dibayar gaji yang tinggi setimpal dengan kos sara hidup dan keperluan asas.

Dan mungkin inilah yang sebenarnya perlu kita berikan perhatian. Bahawa punca permasalahan sebenar bukanlah pada pengeluaran KWSP ketika pandemik, tetapi kesan jangka panjang akibat membiarkan rakyat Malaysia terbelenggu dalam income trap yang terbantut.

Komen