Politik Terlalu Kejam Untuk Dr Maszlee Malik

Dr Maszlee Malik bukan orang politik dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bukan pentas untuk beliau berpencak silat kerana pastinya ia kelihatan sumbang. Beliau adalah ahli akademik, bukan sekadar ahli akademik biasa tetapi berlatar belakang akademik agama yang baik. Saya pemuja beliau sebagai seorang intelektual tapi bukan walaun beliau.

Pandangan peribadi saya, Dr Maszlee masuk ke alam politik kerana marahnya beliau dan rasa keinginan bersama sama rakyat Malaysia menjatuhkan kerajaan kleptokrasi atau kerajaan penyembah duit.

Jutaan komen bercerita mengenai Dr Maszlee. Yang mengejutkan saya 99% memuji dan merasakan satu kerugian untuk pentadbiran negara atau Pakatan Harapan (PH) sendiri. Kenapa simpati begitu sekali sedangkan dulu ramai yang menghentamnya?

Saya geram kenapa sekarang baru hendak memuji kebaikan yangg dilakukan oleh Dr Maszlee. Saya marah apabila isu kasut hitam dimainkan pembangkang di media sosial dengan rasa tidak bertanggungjawab. Isu yang tak patut jadi isu.

Kasut hitam adalah perubahan yang sangat baik tetapi kenapa Dr Maszlee dikambing hitamkan? Mengapa tidak diulas tentang kebaikan kasut berwarna hitam?

Rata-rata rakan saya memberitahu bagus juga kasut anak berwarna hitam. Jika tidak dahulu setahun paling kurang dua atau tiga pasang kasut mesti dibeli. Sebab kena sentiasa basuh.

Sedangkan kita yang bekerja ini pun tidak sanggup membeli kasut berwarna putih mengenangkan sukar menjaganya. Inikan pula anak-anak yang terkenal dengan kenakalannya.

Mengapa kebaikannya tidak dihebahkan? Ini semua adalah masalah komunikasi. Masalah yang saya sering katakan ia adalah masalah Menteri Komunikasi dan Multimedia tidak berperanan. Menteri yang dikekalkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad bagi melemahkan kerajaan Pakatan Harapan dalam komunikasi kerajaan dengan rakyat.

Saya rasa teruknya sikap sesetengah orang Malaysia hingga pemberian makanan percuma juga dijadikan isu. Benda yang baik dijadikan isu asal boleh melahirkan persepsi negatif kepada usaha kerajaan.

Masalah komunikasi (kelemahan Kementerian Komunikasi dan Multimedia) rakyat bukan sahaja tidak faham malah lebih teruk tidak tahu apa kebaikan yang dibuat Dr Maszlee atau kementeriannya.

Sedangkan beban guru berjaya beliau kurangkan, permudahkan pertukaran guru dibuat secara dalam talian, pembaikan sekolah-sekolah usang dan bermacam-macam lagi. Beliau bukan menteri curi duit rakyat.

Sepatutnya isu Rosmah Mansor didakwa atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dalam penyelewengan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi sekolah di Sarawak menjadi isu gempar dan dihebahkan sepanjang tahun.

Berbalik kepada isu Dr Maszlee, menjadi tanda tanya adakah beliau mahu berhenti atau diberhentikan? Dari kenyataan beliau jelas beliau dipanggil dan disuruh berhenti oleh Perdana Menteri. Itu pemahaman saya dari kenyataan dalam sidang media.

Di sini timbul konflik mengapa beliau diminta berhenti? Kenapa bukan Azmin Ali yang menawarkan projek kepada ahli parlimen Barisan Nasional, skandal seks, melancong beratus ribu ringgit, perkahwinan mega anaknya dan bermacam macam lagi skandal tetapi tidak diminta berhenti?

Jika berdasarkan ketidakmampuan menteri, Gobind Singh Deo, Mohammadin Ketapi, Waythamoorthy, Zuraida, Baru Bian, Mohd Redzuan dan Rina Harun jauh lebih teruk. Kenapa bukan nama-nama ini dinyahkan?

Adakah benar kerana Dr Maszlee mendengar aduan guru-guru bahawa jaringan Internet yang dimonopoli YTL sangat perlahan dan KPM bercadang untuk membuka tender kepada syarikat-syarikat lain membuat Tun Mahathir berang?

Jika KPM bermasalah kenapa hanya Dr Maszlee disuruh berhenti? Mengapa timbalannya, Teo Nie Ching tidak disuruh berhenti juga?

Benarkah tulisan Jawi itu adalah arahan Tun Mahathir untuk mencetus semangat anti Cina? Jika dari Dr Maszlee bagi saya ia adalah satu kesilapan beliau dalam memahami dunia politik. Apatah lagi Jawi tidak membawa apa-apa dalam dunia Islam untuk tujuan dakwahnya.

Adakah Dr Maszlee diminta berhenti bagi menguatkan agenda Tun Mahathir utk memahatkan minda orang Melayu bahawa Dr Maszlee diarahkan berhenti kerana tekanan dari DAP?

Sekaligus untuk membuktikan kononnya DAP adalah yang paling berkuasa di dalam PH bagi memudahkan Bersatu bersama PAS dan UMNO memimpin kerajaan pintu belakang yang baru? Kita kena memikirkan di luar kotak atau lebih mendalam tentang isu ini.

Sedangkan yang membaca (golongan intelektual) tahu yang menentang pelajaran Jawi ini adalah MCA. DAP melalui Lim Kit Siang sendiri menjelaskan kepada kaum Cina belajar bahasa Jawi tidak akan menghilangkan jati diri bangsa Cina.

Kes lagu Negaraku dinyanyikan dalam bahasa Cina yang dibenarkan kerajaan (melalui KPM) dahulu sedang Lim Guang Eng pula pertahankan lagu Negaraku mesti dinyanyikan dalam bahasa Melayu, tetapi rakyat tidak tahu kerana masalah komunikasi.

Yang rakyat berbangsa Melayu teramai tahu ialah Melayu terlanggar lembu hingga mati adalah salah DAP, sumbangan berjuta ringgit pada Sekolah Agama salah DAP, Cina kencing berdiri salah DAP, semut mati kena pijak pun salah DAP.

Isu 13 Mei atau anti Cina seolah-olah dimainkan semula melangkaui sempadan sehingga ke dunia pendidikan negara. Sama ada oleh kerajaan (musuh dalam selimut) atau pembangkang semata-mata memenuhi nafsu politikus.

Baiklah isu Maszlee berhenti akan selesai selepas seminggu sebelum ada isu baru dialihkan. Persoalannya siapakah yang layak menggantikan tempat Dr Maszlee?

Pastinya Tun akan cuba mengisinya dari parti Bersatu. Apatah lagi untuk menguatkan parti tersebut. Ramai yang berkata Datuk Mustapa Mohamed disebutkan individu yang bakal menjadi pilihan Tun.

Cuma yang dipertikaikan adalah mengapa individu terbabit yang tidak berjuang tetapi hanya melompat parti? Adakah Saifuddin Abdullah wakil kartel yang dilihat begitu kuat membodek Tun Mahathir? Adakah Tun akan melantik individu yang rapat degannya dan mampu mengikut telunjuknya?

Dr Maszlee menjadi mangsa kepada sikap orang Melayu itu sendiri. Orang Melayu memang terkenal dengan sikap menolak walaupun ia bertujuan untuk kebaikan. Suruh berhenti merokok dimarahnya, jangan merokok dalam kedai dimarahnya.

Tidak hairan sejak dulu dihebahkan oleh Abdullah Munsyi, Pendita Za’aba, Hamka, Professor Ungku Aziz dan Professor Syed Hussein Al Attas dalam penulisan atau pandangan mereka mengenai sikap orang Melayu.

Sebab itu 10 kebaikan dibuat Dr Maszlee tetap beliau dicopkan sebagai Menteri Kasut Hitam. Kasut hitam yang sebenarnya bagus untuk rakyat dari segi ekonomi dan masa telah dikambingkan hitamkan politikus dan rakyat yang berhati hitam.

Terima kasih Dr Maszlee atas sumbangan anda. Anda tetap mendapat penghormatan saya kerana anda bukan menteri yang menghabiskan ratusan ribu ringgit bercuti ke sana sini. Terima kasih pemberian makanan percuma untuk anak-anak saya dan terima kasih menjimatkan kos kasut anak-anak saya.

Buat Dr Maszlee anda adalah antara menteri yang baik. Cuma salahnya anda menguruskan KPM sebagai ahli akademik dan bukan sebagai orang politik.

(Tulisan di atas diambil dengan izin dari status Facebook oleh saudara Norman Liverpool)

Komen