PERTAHANKAN KEDAULATAN NEGARA: MALAYSIA TOLAK TUNTUTAN SULU

Masihkah anda ingat kekecohan tuntutan pihak Sulu ke atas negeri Sabah yang telah mendapat anugerah akhir di Eropah tidak berapa lama dahulu?

Isu tuntutan tersebut dijadikan mainan politik oleh sesetengah pihak kononnya bagi mempertikaikan kelemahan tindakan kerajaan terdahulu.

Namun perkembangan mutakhir mengenai tuntutan Sulu ini telah membuktikan sebaliknya apabila Malaysia beroleh tiga kemenangan berturut dalam perbicaraan di mahkamah di luar negara.

Pada 27 Jun 2023, Mahkamah Rayuan The Hague yang terletak di Belanda telah menolak permohonan pihak Sulu untuk mengiktiraf kuatkuasa anugerah terakhir di Perancis yang memihak kepada mereka.

Seterusnya pada 6 November 2023, Mahkamah Perancis pula telah membatalkan perintah gadai janji berkanun ke atas bangunan diplomatik Malaysia di Paris.

Susulan itu pihak Sulu telah diminta untuk membayar EUR15,000 kepada Malaysia sebagai kos perundangan.

Dan pada tanggal 9 November 2023 pula, pihak Sulu membuat keputusan menarik diri dari prosiding yang mereka mulakan sekaligus mematikan sebarang usaha merampas aset diplomatik kerajaan Malaysia di Paris.

Dengan matinya usaha rampasan aset diplomatik ini, kerajaan kini menumpukan pada perbicaraan seterusnya pada 11 Disember 2023 nanti di Mahkamah Jenayah Madrid, Sepanyol.

Perbicaraan pada Disember nanti adalah berkaitan penimbang tara Sepanyol, Dr Gonzalo Stampa yang telah menganugerahkan kepada pihak Sulu tuntutan RM62.59 bilion yang akan cuba dibatalkan oleh pihak kerajaan Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan “Kerajaan Malaysia sentiasa akan memastikan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan negara secara menyeluruh dilindungi setiap masa oleh kerajaan Perpaduan MADANI”.

Komen