Gempar di Dewan Rakyat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan Malaysia telah menerima tiga démarche atau notis tata tindak berkaitan isu Palestin.
Sebelum kita pergi lebih jauh, tahukah anda apakah yang dimaksudkan dengan démarche?
Démarche sebenarnya berasal dari perkataan Perancis yang membawa maksud ‘diplomatic move’ atau tindakan diplomatik yang lazimnya membawa mesej bantahan rasmi atau rayuan sokongan.
Mengikut takrifan Institut Perkhidmatan Luar Negara, Jabatan Negara Amerika Syarikat pula; démarche bermaksud ‘a request or intercession with a foreign official, e.g., a request for support of a policy, or a protest about the host government’s policy or actions’.
Adakah démarche atau notis tata tindak dari Amerika Syarikat yang diterima Malaysia merupakan satu ugutan?
PMX mendedahkan bahawa dua démarche yang diterima adalah pada 13 dan 30 Oktober dari Kedutaan Amerika Syarikat kepada Kementerian Luar manakala satu lagi démarche diterima oleh wakil Malaysia di Amerika Syarikat pada 18 Oktober.
Pihak pembangkang dalam respon atas pendedahan tersebut mendakwa démarche atau notis tata tindak yang diterima adalah satu nota diplomatik biasa dan bukanlah berbentuk satu ugutan.
Mungkin ada betulnya, tetapi satu hal yang tidak boleh kita abaikan ialah jumlah démarche sebanyak tiga kali yang diterima oleh Malaysia dari Amerika Syarikat dalam tempoh bulan Oktober sahaja.
Menurut mantan Menteri Luar Tan Sri Dato’ Seri Dr. Syed Hamid Albar penyerahan démarche adalah sesuatu yang normal dalam hubungan diplomatik, tetapi apabila ia diserahkan berulang kali dalam tempoh yang singkat maka ianya adalah sesuatu yang perlu diambil serius.
Malaysia telah menerima tiga démarche yang sama dalam tempoh yang singkat, dan harus diingat bahawa Institut Perkhidmatan Luar Negara, Jabatan Negara Amerika Syarikat juga ada menyebut bahawa setiap démarche perlu melaporkan tindakan susulan justeru persoalannya apakah langkah Amerika Syarikat seterusnya jika Malaysia masih enggan tunduk pada desakan Uncle Sam?