Perebutan Kerusi BN-PN Menjelang PRU15

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Pengisytiharaan darurat masih menjadi kontroversi dalam kalangan rakyat. Alasan Perdana Menteri untuk tidak membubarkan parlimen kerana Covid-19 telah menimbulkan pelbagai persoalan. Sama ada Perdana Menteri cuba mengelak ujian keabsahan di parlimen, darurat ini dilihat orang awam sebagai satu persiapan kerajaan PN untuk mengadakan pilihan raya selepas darurat tamat.

Pergelutan antara UMNO dan Perikatan Nasional (PN) kian kritikal dan situasi ini juga memberi gambaran awal akan berlakunya pertindihan kerusi antara UMNO, PAS dan BERSATU pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), khususnya di kerusi parlimen yang mempunyai majoriti pengundi Melayu di Semenanjung.

Persoalannya, adakah UMNO akan memberi laluan kepada BERSATU untuk bertanding kerusi parlimen yang telah dibawa lari oleh bekas ahli parlimen mereka pada PRU15? Parti mana yang akan mendapat kelebihan sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru antara BERSATU, UMNO dan PAS?

UMNO Masih Berpengaruh Di Kerusi-kerusi Melayu

 Ketiga-tiga parti yang membentuk gabungan PN ini pernah bertembung pada PRU14 di kerusi majoriti pengundi Melayu (Semenanjung). Terdapat 47 daripada 165 kerusi parlimen di Semenanjung yang mempunyai pertembungan antara BERSATU, PAS dan UMNO. Hanya dua kerusi parlimen menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara UMNO dan BERSATU, iaitu parlimen Kota Tinggi dan Pengerang, Johor.

Daripada 47 kerusi tersebut,  UMNO menang 30 kerusi, BERSATU (10 kerusi) dan PAS (7 kerusi).

Untuk kerusi parlimen dengan 80 peratus pengundi Melayu, UMNO menang sebanyak 23 kerusi, PAS (7 kerusi) dan BERSATU (3 kerusi).

Bagi kerusi parlimen dengan pengundi Melayu antara 60 hingga 79 peratus, UMNO dan BERSATU masing-masing mendapat tujuh kerusi dan PAS pula tidak menang sebarang kerusi. Ini menunjukkan persaingan sengit UMNO dan BERSATU berlaku di kerusi majoriti Melayu bawah 80 peratus.

Terdapat dua kerusi parlimen yang mempunyai pertembungan dua penjuru antara UMNO dan BERSATU pada PRU14, iaitu parlimen Kota Tinggi dan Pengerang di Johor yang mempunyai 70 peratus pengundi Melayu. UMNO berjaya mempertahankan kedua-dua kerusi ini dengan perbezaan margin 38.2 peratus (Kota Tinggi) dan 35.4 peratus (Pengerang).

Maklumat ini jelas menunjukkan PAS tidak mempunyai pengaruh besar di kerusi parlimen yang mempunyai pengundi Melayu bawah 70 peratus. Begitu juga BERSATU yang sukar menandingi kekuatan UMNO di kerusi parlimen majoriti Melayu meskipun berjaya merampas kerusi tradisi UMNO.

Pengaruh UMNO masih lagi kuat bertanding tiga penjuru antara BERSATU dan PAS. Maklumat ini menjadi penunjuk awal mengapa UMNO tidak akan memberi laluan kepada BERSATU bertanding di kerusi-kerusi mereka, termasuk 11 kerusi parlimen UMNO yang telah dibawa ke dalam BERSATU seperti Larut, Hulu Terengganu dan Jeli. UMNO akan menjadikan informasi ini sebagai alasan untuk bertanding sendiri pada pilihan raya akan datang. Jadi, di manakah BERSATU akan bertanding untuk PRU15?

Kerusi MCA dan MIC diambil BERSATU?

UMNO akan menjadi penghalang terbesar buat BERSATU di setiap kerusi-kerusi parlimen majoriti Melayu. Formula BERSATU untuk bertanding lebih 50 kerusi parlimen seperti PRU14 tidak lagi relevan. Untuk mengelak pertembungan tiga penjuru, ketiga-tiga parti tidak boleh bertanding lebih 50 kerusi parlimen di Semenanjung.

Ada kemungkinan besar kerusi-kerusi tradisi Barisan Nasional (BN) daripada MCA, MIC dan GERAKAN akan diambil BERSATU sebagai alternatif untuk menambah jumlah kerusi berbanding UMNO. Pada PRU14, MCA bertanding 39 kerusi parlimen di Semenanjung, MIC (9 kerusi), GERAKAN (11 kerusi), dan MyPPP (1 kerusi).  Maka, BERSATU akan mengintai peluang bertanding di 60 kerusi parlimen ini pada PRU15.

Perkara ini tidak mustahil memandangkan blok Azmin Ali akan menggunakan formula PH dan PKR, meletakkan calon BERSATU di parlimen campuran di separa bandar dan bandar. Prestasi kurang memberangsangkan MCA dan MIC pada PRU14 akan menjadi faktor utama BERSATU akan meletakkan calon mereka di 60 kerusi parlimen BN ini. Namun, sejauh manakah MCA dan MIC akan memberi laluan kepada BERSATU? Adakah UMNO juga akan cuba mendapatkan kerusi tradisi MCA dan MIC pada PRU15?

BERSATU akan menempuh laluan yang sukar dan mungkin tidak boleh mengelak pertembungan dengan BN (UMNO, MCA dan MIC) di semua kerusi parlimen Semenanjung dan tidak mempunyai peluang cerah untuk bertanding selesa untuk menang seperti PRU14. Situasi BERSATU akan menjadi rumit apabila pertembungan tiga penjuru berkemungkinan memberi kelebihan kepada PH.

24 Kerusi Marginal Menjadi Rebutan

Dalam 47 kerusi parlimen yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara UMNO, PAS dan BERSATU, terdapat 24 kerusi parlimen yang dimenangi dengan perbezaan margin di bawah 10 peratus: UMNO menang 14 kerusi parlimen, PAS (5 kerusi) dan BERSATU (5 Kerusi). Kesemua 24 kerusi marginal ini juga boleh menjadi sasaran kepada PH yang melengkapkan kemenangan 112 kerusi parlimen di Semenanjung pada PRU15.

Faktanya, persaingan di kerusi-kerusi Melayu akan hampir sama dengan kerusi campuran dan bukan Melayu pada PRU15. Tidak ada satu parti yang akan mendapat undi penuh pengundi Melayu. Undi bukan Melayu pula akan menjadi penting untuk menjamin kemenangan di kerusi majoriti Melayu Semenanjung meskipun jumlahnya kurang daripada 10 peratus.

Persoalannya, bolehkah parti-parti yang berjuang berlandaskan platform perpaduan Melayu semata-mata mengecapi kemenangan dalam PRU15?

Besar kemungkinan, gabungan parti politik yang berjaya meyakinkan rakyat Malaysia merentasi kaum ialah formula terbaik untuk menang pada PRU15. Formula gabungan parti politik yang cuba membawa sentimen eksklusif untuk sesuatu kaum akan berhadapan dengan masalah kerana persaingan terbuka ini memerlukan undian setiap kaum untuk menjamin kemenangan dalam pilihan raya.  Malah, gabungan politik yang tidak mempunyai perwakilan daripada pelbagai kaum sukar mencari keseimbangan dan kestabilan politik apabila memerintah.

Situasi ini memberi peluang kepada PH untuk menang dan membentuk kerajaan sekali lagi pada PRU15. Acuan PH yang mementingkan prinsip integriti, reformasi dan kepelbagaian kaum dilihat mampu memberi tawaran terbaik buat rakyat Malaysia untuk keluar daripada krisis politik, ekonomi dan kesihatan di bawah pemerintahan kerajaan minoriti PN. Namun, sejauh manakah PH mampu bangkit semula untuk membentuk perpaduan pihak pembangkang menjelang PRU15?

Komen