Mengharungi PKP 3.0 – Apa Khabar Mental Kita?

Baru-baru ini seorang wanita telah mengambil keputusan untuk mengakhiri hidup beliau di sebuah pusat membeli belah terkemuka di Bandar Utama. Kematian beliau dikaitkan dengan kemurungan yang mungkin dihadapi oleh beliau. Pada bulan lalu, seorang lelaki telah mengambil keputusan untuk mengakhiri hidup beliau, juga di sebuah pusat membeli belah terkemuka di Kuala Lumpur. Menurut laporan beliau mengalami kemurungan akibat kesukaran mendapatkan pekerjaan. Ada yang mengatakan terdapat resume dan surat terakhir beliau bersamanya pada ketika itu.

Kini heboh diperdebatkan mengenai perlunya total lockdown dilakukan ke atas negeri Selangor. Kes baru jangkitan Covid-19 juga mencatatkan rekod tinggi melebihi 6,000 kes.

Mengharungi PKP ke 3 dalam sejarah Malaysia melawan Covid-19, apa khabar kesihatan mental kita semua?

Masihkah dalam keadaan yang baik seperti kita menghadapi PKP 1 atau sudah mula hilang kawalan?

PKP kali ini nampak kejam, kerana ia dilaksanakan sehari sebelum sambutan Syawal. SOP yang dikeluarkan melarang aktiviti ziarah menziarahi apa lagi untuk pulang ke kampung halaman bagi merayakan Syawal bersama keluarga yang tersayang. Ini adalah tahun kedua Syawal disambut dalam pandemik melanda dan kita semua tidak boleh pulang ke kampung bagi meraikannya. Namun tahun ini agak lebih kejam kerana walaupun kita tinggal satu daerah bersama keluarga, kita tidak dibenarkan untuk meraikan Syawal bersama.

Ramai sahabat dan kenalan saya yang meraikan Syawal sendirian. Bersyukur kita kini hidup di zaman teknologi yang membolehkan kita berhubung melalui panggilan video. Sedikit sebanyak mengubati kerinduan. Namun tetap tidak lengkap dengan sentuhan manusiawi yang penuh dengan kasih sayang dan perasaan.

Tidak habis dengan kesedihan beraya sendirian, kini sahabat yang tinggal di Selangor dan mungkin juga kita yang tinggal di Kuala Lumpur akan menghadapi total lockdown. Walaupun kerajaan masih bermain tarik tali, namun rasanya kita semua sudah boleh menjangkakan yang buruk yang bakal berlaku. Kesan total lockdown ini bukan sahaja dirasai oleh para peniaga terutamanya peniaga kecil dan sederhana, bahkan pekerja sektor perniagaan kecil dan sederhana juga mungkin akan terkesan. Total lockdown ini akan melumpuhkan sektor ekonomi dan mungkin sesetengah peniaga dan perniagaan tidak mampu untuk bertahan. Maka mereka berkemungkinan terpaksa melepaskan pekerja sedia ada kerana tidak mampu menanggung bayaran gaji. Sudahlah kebanyakan dari mereka masih belum pulih sepenuhnya kesan dari PKP sebelum ini. Pekerja yang dilepaskan pula berkemungkinan sukar untuk memperolehi pekerjaan semula akibat pertumbuhan ekonomi yang sangat lembab.

Ini antara faktor yang menyumbang kepada keadaan tekanan dan kemurungan kepada seseorang. Sudahlah sendirian dan kesunyian, kini hilang pula pendapatan.

Befrienders melaporkan sejak bermulanya PKP 3, hampir setiap hari mereka menerima lebih dari 100 panggilan telefon sehari. Keadaan ini amat menyedihkan dan membimbangkan, namun pada pandangan saya, saya gembira mereka yang membuat panggilan ini sedikit sebanyak sedar bahawa mereka memerlukan bantuan. Cuma saya terfikir, berapa ramai yang masih tidak sedar akan keadaan mereka dan mereka sebenarnya memerlukan bantuan?

Kemurungan dan masalah kesihatan mental adalah satu penyakit yang tidak boleh kita nampak. Ia halimunan. Mereka yang menghidapi masalah ini mungkin kelihatan normal, ceria dan tidak menunjukan apa-apa simptom sekali mengenai hal ini. Memang selalu orang yang rapat dengan mereka yang mempunyai masalah ini hanya mengetahui mengenainya apabila ia sudah terlambat, dan seperti yang saya katakan tadi, kadang-kadang si penghidap sendiri tidak tahu dan sedar bahawa mereka memerlukan bantuan. Ada juga yang tidak mahu mengaku dan malu untuk mencari bantuan.

Baru-baru ini saya menyedari bahawa saya menghidap anxiety iaitu salah satu simptom masalah mental. Ia bermula apabila saya menghadapi masalah di tempat kerja dan pada masa yang sama juga saya mengalami masalah keluarga. Pada mulanya saya tidak tahu mengenainya, sehinggalah sahabat baik saya memberitahu simptom yang saya alami adalah serangan anxiety. Saya bersyukur kerana saya mampu dan sedang berusaha untuk memulihkan keadaan diri saya. Saya masih belum pulih dan ada kemungkinan ia akan menjadi lebih teruk kerana tekanan yang saya hadapi, namun saya masih berusaha untuk pulih dan jadi seperti diri saya yang dahulu. Tidak dinafikan setelah mengetahui keadaan saya ini, saya sedikit sebanyak mula rasa sedih dan murung. Saya malu dengan keadaan saya dan saya merasa saya seperti seorang yang lemah kerana saya tidak mampu menghadapi tekanan dalam kehidupan saya. Saya yang kini sedang mencari pekerjaan baru, juga risau jika bakal majikan tidak mahu menggajikan saya kerana masalah ini. Bukan itu sahaja, kerana trauma yang saya hadapi di tempat kerja lama, saya juga risau jika ia akan menyebabkan saya tidak mampu untuk bekerja semula. Selamanya.

Namun saya sedar, saya hanya seorang manusia biasa. Badan saya, diri saya dan yang paling penting sekali mental saya mempunyai batasan tertentu dalam menghadapi tekanan. Apa yang saya alami adalah tindak balas dari badan saya yang mempunyai batasan ini. Saya bersyukur saya mempunyai sahabat yang selalu mengambil berat mengenai keadaan saya. Dan saya juga bersyukur saya mampu untuk pergi mencari bantuan sepatutnya.

Sebagai seseorang yang kini bergelut dengan masalah ini, sokongan orang rapat adalah paling penting. Saya mengaku adakalanya saya rasa terlalu rapuh dalam hidup, dan saya percaya mereka yang berada dalam keadaan yang sama seperti saya juga ada perasaan begitu. Sokongan orang rapat ini bukan sahaja daripada keluarga dan sahabat. Majikan juga memainkan peranan penting dalam hal ini.

Ada sesetengah dari kita yang kini dan mungkin sejak dari PKP yang pertama sekali telah bekerja dari rumah. Keadaan di rumah dengan di pejabat adalah sangat berbeza. Saya juga dahulu pernah bekerja dari rumah dan saya merasakan saya kurang fokus dan tidak mempunyai sumber dan peralatan yang cukup untuk bekerja dari rumah.

Pendek kata, keadaan rumah saya tidak seselesa di pejabat untuk saya melakukan kerja. Bekerja di rumah juga kadang-kadang membuatkan kita lupa akan waktu dan rutin kita sewaktu di pejabat. Kita sering kali bekerja lebih masa, dan majikan juga sering kali mengambil kesempatan untuk mengerah pekerja untuk melakukan kerja mereka lebih masa kerana, iyalah, bekerja dari rumah. Persepsi duduk di rumah itu selesa dan mungkin lebih mudah untuk melakukan kerja bermain-main di fikiran. Saya mempunyai seorang sahabat yang menghidapi keadaan burn out akibat bekerja dari rumah. Ini kerana majikan beliau sepertinya sudah tidak menghormati dan lupa waktu bekerja para pekerja – mereka dikerah melakukan kerja sehingga lewat malam! Ini juga memberikan tekanan kepada seseorang. Sudahlah (mungkin) berkecamuk dengan anak-anak atau ahli keluarga yang lain, beban kerja pula menimbun.

Majikan perlu menghormati hak-hak pekerja seperti yang termaktub di dalam Akta Pekerja yang digunapakai di pejabat – ia juga terpakai walaupun pekerja melakukan kerja dari rumah. Majikan perlu ada empati terhadap pekerja. Mempunyai majikan yang memahami keadaan mental dan perasaan pekerja adalah satu rahmat, dan ia adalah satu ciri-ciri yang sukar untuk ditemui. Mungkin satu dalam sejuta.

Masyarakat juga memainkan peranan penting. Kebanyakan mereka yang menghadapi masalah kemurungan dan kesihatan mental malu untuk mengaku masalah ini kerana takut dengan stigma masyarakat. Masyarakat kita mudah melabel seseorang gila atau kurang siuman tanpa ingin mengetahui kisah sebenar. Ada juga yang berlagak suci dengan memberikan nasihat agar mereka yang mempunyai masalah kemurungan atau kesihatan mental ini perlu mendekatkan diri dengan ajaran agama. Biar saya beritahu semua, bagi pihak mereka yang mempunyai masalah seperti saya – kami ini sudahlah mempunyai masalah dan bergelut dengan suara dalam kepala sendiri setiap saat, tidak perlulah ditambah beban dan sakit kami dengan mengatakan bahawa kami ini tidak mempunyai pegangan agama yang jitu dan kuat. Ada juga yang mempunyai masalah kemurungan dan kesihatan mental yang teguh iman dan taat pada ajaran agama. Ini bukan soal ketuhanan atau keagamaan. Ini adalah penyakit. Sakitnya sama seperti demam, pening dan sakit yang boleh kita mengaduh. Tapi bezanya sakit ini tidak boleh dilihat dan hanya dirasai oleh orang yang menghadapinya. Jadi berhentilah menghakimi dan sebaliknya berilah sokongan kepada orang seperti kami ini.

Hari ini, sudahkah anda semua bertanya khabar ahli keluarga, sahabat, rakan sekerja dan pekerja anda? Pernahkah anda bertanyakan keadaan mereka – adakah mereka tertekan atau menghadapi masalah? Kita semua perlu menormalisasikan sikap ini. Ini kerana kemurungan dan masalah mental yang dihadapi oleh seseorang, selain daripada mereka tidak mengetahuinya, ada juga yang cuba menyorokkan keadaan mereka. Adalah menjadi satu tanggungjawab sosial, jika boleh saya katakan di sini, bagi kita, masyarakat, ahli keluarga, sahabat, rakan sekerja dan majikan untuk bertanyakan khabar mereka. Mungkin pada awalnya mereka tidak akan selesa untuk berkongsi, akan tetapi percayalah, akan ada waktu mereka akan membuka ruang untuk berkongsi, kerana memendam sesuatu itu sangat perit. Dan mungkin ada di antara mereka sebenarnya tidak pandai untuk meluahkan dengan kata-kata. Medium komunikasi dan cara untuk berkomunikasi itu adalah penting.

Pada waktu ini, dengan penularan wabak Covid-19 yang tidak diketahui bila akan berakhir, saya hampir pasti semua orang berasa tertekan, termasuklah kanak-kanak. Mereka tidak lagi bebas bergaul dan bermain bahkan tidak boleh pergi ke sekolah. Proses pembelajaran dan pembesaran mereka seakan-akan terbantut. Kita tidak boleh menafikan perasaan mereka dan tekanan yang mereka hadapi. Jiwa mereka dan diri mereka masih muda dan mungkin ada beberapa perkara yang kita sebagai orang dewasa sendiri tidak dapat penuhi dan fahami, walaupun kita juga pernah berada dalam fasa usia mereka. Jangan kita sisihkan kanak-kanak ini dan perasaan mereka. Jiwa muda itu adalah jiwa yang paling mudah untuk merasa kekecewaan, mudah terluka dan mudah sengsara.

Kerajaan kini pada pandangan saya melalui kementerian yang berkaitan sudah boleh menyediakan satu pelan atau pun bantuan yang menyeluruh untuk mereka yang mempunyai masalah kemurungan dan kesihatan mental. Mungkin akses kepada rawatan sudah boleh diperluaskan. Kerajaan juga perlu mengubal undang-undang yang berkaitan dengan masalah mental, serta menghapuskan peruntukan undang-undang yang menghukum mereka yang cuba membunuh diri. Mereka ini memerlukan bantuan. Sangat memerlukan bantuan. Bukan hukuman. Dakwaan dan hukuman yang dikenakan ke atas mereka akan lebih memberikan tekanan justeru membuatkan keadaan mereka semakin teruk. Kerajaan juga perlu cakna dan prihatin mengenai hal ini.

Apa pun, harapan saya semoga kita semua dapat harungi PKP 3 dan waktu-waktu sukar ini dengan baik dan dengan jayanya. Pesan saya kepada semua yang mempunyai masalah, agar jangan malu untuk mendapatkan bantuan. Jika kita rasa tiada siapa yang peduli kepada kita, kita sendiri wajib peduli dan sayang pada diri kita sendiri. Kuatkan diri. Carilah bantuan. Jika anda perlukan seseorang untuk mengatakan bahawa mereka sayangkan anda – saya sayangkan anda. Anda semua yang senasib dengan saya.

Komen