Ada pertemuan yang berlangsung hanya beberapa minit, tetapi kekal dalam ingatan bertahun-tahun. Bagi saya, salah satu daripadanya ialah pertemuan bersama Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali selepas pelancaran buku Dr. M: Apa Habaq Orang Muda? beberapa tahun lalu.
Sebagai penganjur dan penerbit, menjadi tanggungjawab saya untuk mengucapkan terima kasih kepada para tetamu sebelum mereka berangkat pulang. Ketika itu, Tun Dr Siti Hasmah dan Tun Dr Mahathir Mohamad sedang bersedia meninggalkan lokasi acara. Anak saya, Niyaz Anaqi, yang ketika itu baru berusia setahun sembilan bulan pula sudah mula tidak mahu berenggang. Maka saya mendukungnya ketika menghampiri Tun Dr Siti Hasmah.
Saya sekadar mahu mengucapkan terima kasih kerana beliau sudi meluangkan masa menghadiri majlis tersebut. Namun, seperti seorang ibu atau nenek yang melihat seorang anak kecil, perhatian Tun Dr Siti Hasmah segera beralih kepada Niyaz.
“Your first child?” tanyanya.
Saya menjawab ya. Beliau kemudian bertanya umur Niyaz. Selepas saya menjawab, datang pula satu soalan yang langsung tidak saya jangka:
“So how many vaccinations taken?”
Saya terdiam seketika.
Bukan kerana Niyaz tidak menerima vaksinasi, tetapi kerana saya tidak pernah mengira berapa banyak suntikan yang telah diambil. Sebagai ibu bapa, kami sekadar mengikuti sepenuhnya jadual vaksinasi yang ditetapkan kerajaan. Lalu saya menjawab bahawa saya tidak pasti jumlahnya, tetapi semua vaksinasi yang diwajibkan telah diambil.
Wajah Tun Dr Siti Hasmah terus berubah ceria.
Beliau menyatakan rasa lega dan pada masa sama kesedihannya melihat kewujudan ibu bapa yang memilih untuk tidak memberikan vaksin kepada anak-anak. Bagi beliau, isu itu bukan sekadar perbahasan tentang pilihan peribadi. Ia dekat dengan perjalanan hidupnya sendiri, puluhan tahun yang dihabiskan dalam bidang perubatan dan kesihatan awam, khususnya menjaga kesihatan ibu serta kanak-kanak.
Pertemuan singkat itu memberi gambaran kepada saya tentang siapa sebenarnya Tun Dr Siti Hasmah di sebalik kedudukannya sebagai isteri seorang bekas Perdana Menteri.
Beliau mempunyai sifat keibuan yang begitu semula jadi. Dalam suasana orang ramai mengerumuni, ketika beliau sendiri sudah bersedia untuk pulang, seorang kanak-kanak kecil yang tidak dikenalinya masih mampu mencuri perhatiannya. Pertanyaannya bukan tentang majlis, buku atau politik. Beliau bertanya mengenai kesihatan seorang anak kecil.
Mungkin itulah naluri seorang doktor yang tidak pernah benar-benar meninggalkan dirinya.
Tun Dr Siti Hasmah merupakan antara wanita Melayu terawal menceburi profesion perubatan. Selepas menamatkan pengajian perubatan pada 1955, beliau berkhidmat dalam sektor kesihatan kerajaan dan banyak terlibat dalam kesihatan awam luar bandar. Pada 1965, beliau menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Perubatan dalam bidang Kesihatan Ibu dan Kanak-kanak, sebelum menjadi wanita pertama memegang jawatan Pegawai Kesihatan Ibu dan Kanak-kanak Negeri pada 1974. Sepanjang kerjayanya, imunisasi, kesihatan ibu dan anak serta pendidikan kesihatan masyarakat luar bandar menjadi antara bidang yang dekat dengan perjuangannya.
Pada suatu ketika dahulu, pasukan kesihatan yang disertainya perlu turun sendiri ke kampung-kampung bagi membawa rawatan, pendidikan kesihatan dan imunisasi kepada masyarakat. Mereka berhadapan dengan penyakit seperti batuk kokol, difteria, tetanus, polio dan tuberkulosis — penyakit yang boleh membawa maut kepada kanak-kanak ketika akses terhadap rawatan moden masih terbatas.
Sebab itulah saya kini lebih memahami mengapa soalan mengenai vaksinasi menjadi antara perkara pertama yang ditanyakan kepada saya pada hari tersebut.
Bagi saya ketika itu, ia sekadar memastikan jadual suntikan anak dipatuhi. Bagi Tun Dr Siti Hasmah, ia mungkin membawa bersamanya kenangan tentang puluhan tahun usaha petugas kesihatan yang pergi dari satu komuniti ke satu komuniti demi memastikan lebih ramai anak Malaysia dapat membesar dengan selamat.
Hari ini, 28 September 2026, berita pemergian Tun Dr Siti Hasmah pada usia 100 tahun membawa saya kembali kepada perbualan singkat itu. Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pagi ini sebelum diberikan penghormatan terakhir dan dikebumikan di Pusara Negara.
Saya bersyukur pernah diberikan kesempatan, walaupun hanya seketika, untuk Niyaz dan saya bertemu dengannya.
Daripada pertemuan beberapa minit itu, yang saya ingat bukan sekadar seorang tokoh negara. Saya mengenang seorang wanita yang lembut tutur katanya, penuh sifat keibuan, tetapi tegas apabila menyentuh perkara yang dipercayainya — terutama kesihatan dan masa depan kanak-kanak.
Semoga segala jasa, ilmu dan bakti Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menjadi amal jariah yang berpanjangan.
Al-Fatihah. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah, mengampuni segala khilafnya, menerima segala amal kebajikannya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.








