Malaysia Menjelang PRU15: Adakah Rakyat Malaysia Bersedia?

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

“Saya ingin ulangi komitmen saya bahawa saya akan menasihati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sebaik sahaja penularan wabak COVID-19 telah reda dan Pilihan Raya Umum adalah selamat untuk diadakan.”-  Ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perutusan Khas: Penjelasan Terkini Mengenai Pelaksanaan Proklamasi Darurat pada 4 Februari 2021.

Petikan ucapan di atas memberi gambaran awal kepada rakyat bahawa Malaysia sudah berada di ambang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Perkara ini telah menjadi sebahagian perancangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika negara sedang berada dalam fasa pemulihan pandemik.

Apa yang boleh kita sahkan sekarang adalah hala tuju kerajaan PN bukan lagi mengurskan pandemik, tetapi lebih cenderung melawan musuh politik untuk kekal berkuasa di Putrajaya.

Perbalahan antara ketiga-tiga parti PN iaitu UMNO, PAS dan BERSATU dalam soal pengagihan kerusi PRU15 kian rancak. Serangan politik antara ketiga-tiga parti Melayu ini tidak dapat dibendung lagi dan telah menjadi punca utama kerajaan Muhyiddin goyah. Kini, mereka percaya pilihan raya merupakan jalan pintas untuk menyelesaikan politik dalam kerajaan PN.

Sebelum memasuki PRU15, kerajaan PN  terlebih dahulu menundukkan musuh politiknya secara perlahan-lahan dalam tempoh darurat. Selain menggantung fungsi parlimen sepanjang darurat, beberapa keputusan yang diambil kerajaan dari sudut dasar dan SOP lebih cenderung untuk menutup kecuaian tadbir urus mereka dan mematahkan usaha rakyat dan musuh politik PN.

Contohnya, keputusan Menteri Pendidikan membuka semula sekolah pada 1 Mac. Saya berpendapat bahawa keputusan membuka semula sekolah pada saat-saat akhir adalah satu respon politik untuk menutup kelemahan kerajaan yang tidak mampu meningkatkan kualiti pendidikan atas talian sejak tahun lepas.

Selain itu, keputusan ini juga dilihat sebagai satu tindak balas politik kerajaan PN untuk memperlahankan mobilisasi rakyat dan musuh politiknya yang lebih ke hadapan membantu anak-anak sekolah mendapat bantuan kemudahan pembelajaran atas talian.

Apa yang menyedihkan ialah ibu bapa terpaksa menanggung beban atas keputusan kerajaan PN ini setelah mereka menghabiskan duit mereka untuk membeli kelengkapan pendidikan atas talian.  Cuma, saya gusar sekiranya kemudahan teknologi yang diberi oleh NGO dan wakil rakyat terpaksa dijual semula oleh ibu bapa bagi mendapatkan wang untuk menampung kos persekolahan harian anak-anak mereka.

Apa yang kita lihat sekarang, kerajaan PN sudah ‘shutdown’. Akibat tidak tahu atau kelu dalam membuat perancangan yang memberi impak kepada rakyat, PN hanya memilih jalan mudah untuk menyelesaikan masalah politik dan membuat persiapan menjelang PRU15.

Agak janggal sekiranya PN menganggap PRU15 merupakan pendekatan tunggal untuk menyelesaikan masalah politik mereka ketika rakyat sedang resah di tengah-tengah krisis pandemik.  Mungkin, dengan memberi bantuan kewangan dan bermacam-macam lagi kepada rakyat ketika pandemik, Muhyiddin berharap rakyat akan memberi mandat kepada PN pada PRU15.

Jika tanggapan ini benar, maka PN masih berada di takuk  ‘politik’ lama. Hakikatnya, politik pasca PRU14 telah membuktikan bahawa parti kerajaan tidak mempunyai jaminan untuk kekal berkuasa, khususnya pemimpin yang tidak telus dalam menguruskan masalah rakyat. Jika Barisan Nasional (BN) yang telah menaburkan berbilion ringgit pada PRU14 telah tersungkur, apakah jaminan PN akan menang dalam PRU15 dengan pendekatan yang sama?

Pandemik juga telah memberi kesedaran kepada rakyat bahawa mereka memerlukan sebuah kerajaan yang demokratik dan berfungsi untuk menerajui negara.  Rakyat sudah mula berbicara mengenai sebuah kerajaan yang boleh bekerjasama dengan pelbagai pihak, khususnya ahli parlimen pembangkang, dalam soal membina semula asas yang baik buat Malaysia pasca krisis COVID-19. Gabungan parti yang cuba mendominasi politik dan berfikiran pemenang sapu semuanya (Winners take all) tidak lagi menjadi idaman rakyat Malaysia.

Pertumbuhan ekonomi dunia dan Malaysia dijangka akan meningkat dengan kadar yang perlahan pasca COVID-19. Ini memberi gambaran awal bahawa pilihan raya akan datang berlaku ketika ekonomi rakyat masih tidak stabil

Tidak kira apa pun yang berlaku, rakyat perlu bersedia dari sekarang untuk menghadapi pilihan raya akan datang. Anak muda yang layak mengundi perlu mendaftar segera sebagai pengundi. Penyertaan anak muda dan seluruh rakyat Malaysia dalam pilihan raya begitu penting demi memastikan negara ditadbir oleh gabungan parti politik yang berkemampuan dan berintegriti.

Undi rakyat boleh diibaratkan seperti ‘vaksin’ yang boleh menamatkan krisis politik negara. Jika rakyat keluar mengundi secara beramai-ramai, ia menunjukkan bahawa rakyat Malaysia masih lagi komited untuk mencorak masa depan negara. Jika tidak, maka anak muda dan rakyat telah memberi jalan mudah kepada pemimpin tidak kompeten untuk terus berkuasa dan menjalankan tadbir urus negara tanpa mementingkan keperluan rakyat mahupun negara.

PRU15 dilihat akan menjadi penentu kepada masa hadapan politik Malaysia dan perkara ini harus dilakukan dengan betul oleh rakyat untuk membina semula asas yang baik buat politik negara. Ia juga merupakan langkah permulaan bagi memastikan sistem demokrasi Malaysia tidak lagi memberi ruang kepada politik pengkhianat dan gila kuasa untuk generasi akan datang.

Komen