Kunang Pesisir Morten – Bab 2

PESTA CAHAYA DAN LEBARAN

BERDIRI di jambatan besar. Melihat jauh Kampung Morten. Betapa kampung ini kampung aneh. Bukan sahaja sebaik kau melangkah keluar daripada kampung damai melangkaui jambatan besar Kampung Morten, kau akan terus menemui panggung wayang dan jalan sesak bandar yang semakin pesat. Tetapi juga kerana mentaliti penduduknya yang mengelirukan.

Satu perkara membingungkan tentang penduduk Kampung Morten ini, walaupun sungai yang melingkungi mereka sentiasa kotor amat dengan lambakan sampah, bagaimanapun rumah mereka bersih terjaga rapi. Sungguh pun rumah mereka rapat-rapat dengan laman sempit, tidak ada rumah yang kau tidak akan ketemui kehangatan warna bunga di depan rumah.

Pilihan wajib mereka adalah Belulang. Kau kenali juga sebagai bunga kertas. Jika kau berjalan sepanjang Persiaran Datuk Othman, yang kau nampak hanyalah pokok yang dinamakan sempena komander laut Perancis, Louis Antoine de Bougainville. Di sini sekali lagi kau nampak asimilasi pertembungan senibina tradisional dengan gaya taman dunia Barat.

Ku kira ini kerana pokok itu senang sekali subur dan warna hangatnya bertahan selama berbulan-bulan.

Mereka yang tidak mengenali penduduk kampung ini akan berkata tiada apa yang istimewa dengan perkara ini. Tetapi kami memegang tabiat menghias rumah bukan sahaja sebagai satu kebanggaan malah pertandingan siapa menang. Pakar psikologi mengatakan penyakit ini sebagai masalah pengurusan self image yang sukar diubat. Pertandingan berlumba mencantikkan rumah ini berubah menjadi obsesif atau lebih tepat jika disebut sebagai kegilaan apabila masuk bulan Ramadhan.

Menghias rumah ini adalah satu bentuk ibadah yang diletakkan sama penting seperti mengerjakan Tarawih dan berpuasa seharian. Lapar haus tidak menghalang. Semangat berlumba-lumba ini memberi kepuasan spiritual, bahawa estetika kediaman perlu dinikmati dan diraikan.

Sepenat bagaimanapun sepulang kerja, mereka bertungkus lumus mengecat rumah sempena lebaran. Inilah sebab utama mengapa rumah-rumah panggung yang dibina sejak tahun 1920-an itu masih lagi dalam keadaan baik. Kerja mengecat itu bukan pada dinding rumah sahaja, tetapi melarat-larat kepada daun tingkap, pintu, kekisi, pagar, papan tebeng, lubang angin, tunjuk langit dan segala macam emak nenek bahagian. Ada antaranya mereka begitu berlebih-lebihan dengan langsir beropol-ropol dua tiga tona untuk menghiasi tingkap panjang terbuka. Menukar langsir setiap tahun adalah wajib walaupun kepadaku ianya satu pembaziran.

Permandangan malam mengasyikkan. Kilauan air sungai memantulkan refleksi dan elemen-eleman anggun senibina kediaman. Mereka memasang lampu lip lap di serambi terbuka. Juga deretan pelita kecil di depan rumah. Justeru itu di bulan Ramadhan yang penuh barakah itu secara literalnya memberi sinar nirwana kepada kami dan daripada jauh kau akan melihat Kampung Morten seperti menyambut pesta cahaya yang gilang gemilang.

Ramadhan inilah ibu Dhiya bagai tidak cukup tangan. Dia mengambil tempahan menjahit baju lebaran. Rumahnya yang sudah sedia kecil sesak dilimpahi berplastik-plastik kain ela menggunung untuk dibuat kurung moden, kebaya klasik dan teluk belanga pesak gantung. Ibu Dhiya kalut tidak terurus tetapi menolak tempahan bermakna menolak rezeki yang jarang-jarang turun sebegini lebat.

Dhiya, perempuan itu pun dipaksa menolong. Koordinasi Dhiya dibentuk apabila dia seharian menggunting baju sehabis ibunya langsai melukis pelan. Perlahan-lahan Dhiya belajar tentang struktur baju dan bagaimana cantuman-cantuman pelan menghasilkan busana indah. Kerja menggunting itu membuat Dhiya faham bagaimana gabungan paten dua dimensi itu akan melekap cantik ke badan tiga dimensi. Ini pelajaran penting buat Dhiya yang baru berumur sembilan tahun. Tetapi Dhiya nyata kurang berminat dengan kerja yang menjerakan itu. Tolongnya itu cuma atas dasar sayang.

Memikirkan ibunya seorang mencari makan, Dhiya bertolak ansur. Dhiya selalu memandang wajah ibunya dengan sayu kasihan. Takdir apakah yang membawa seorang ibu muda rupawan menjalani hidup seorang. Raut wajah ibu Dhiya itu sentiasa mengingatkan aku kepada bintang filem klasik, seniwati Zaiton daripada Singapura. Air mukanya jernih naif tetapi pandangan dalam. Menggambarkan pengalaman getir tidak berpenghujung yang menerbitkan aura pesona misterius. Mulutnya terkatup rapat tidak pernah menceritakan tentang kisah silam mahupun cerita bapanya. Sama ada dia masih hidup atau pergi menghilang.

Ibu Dhiya berbeza dengan perempuanperempuan kampung ini. Juga jauh yang amat seperti langit dan kerak bumi, tidak menurun sifatnya kepada Dhiya. Mungkin kerana jarang kau ketemui perempuan Jawa di Kampung Morten. Ibu Dhiya datang dari Kampung Paya Dalam, sebuah perkampungan pedalaman Melaka yang kebanyakannya berasal daripada bumi Jawa Tengah, kini menetap menjadi orang tempatan. Bagaimana dia terlantar jauh ke Kampung Morten tidak kami ketahui. Sangat misteri.

Kami tidak pernah melihat ibu Dhiya berpakaian moden selain baju tradisional. Sama ada sekadar kurung belanga polos atau kebaya sulam goyang dengan batik bersusun kipas di depan seperti gadis Jawa. Pandangan matanya redup dan suaranya santun. Juga dengan kebolehannya menjahit dan memasak pelbagai jenis sama ada sekadar ikan parang asam pedas mahupun sayur lodeh ala kampungnya, aku selalu menganggap jika kau mahu melihat contoh seorang perempuan Melayu, kau harus bertemu dengan ibu Dhiya.

Malang sekali semua ini tidak kau ketemukan pada Dhiya. Kami tidak mengerti kenapa ibu Dhiya membiarkannya menjadi liar, berani tidak terbendung. Betapa perkara ini jika tidak dikawal akan membawa padah kepada Dhiya sendiri. Betapa salahnya kami. Hakikatnya, jika kami menganggap ibu Dhiya terlalu lurus, sebenarnya kami yang naif dan buta. Ibu Dhiya jauh lebih bijak daripada yang kami sangka dan dia membiarkan Dhiya begitu kerana dia tahu sifat lurus dan menurut tidak akan menyelamatkan Dhiya daripada arus dunia. Ibu Dhiya tidak mahu Dhiya bernasib malang dan kemudian menurut pula nasib malang itu seperti dirinya. Justeru dibiarkan Dhiya meneroka seada-adanya.

Langit kanvas hitam pekat. Dan deru bunyi mesin itu. Kami boleh mendengar bunyi mesin jahit ibu Dhiya selewat dua tiga pagi. Keesokan paginya dia harus bersiap pula untuk membantu memasak di tabika. Sepulangnya dia daripada sekolah itu, dia akan menyambung semula kerja-kerja menjahitnya itu. Kami sekeluarga cuma dapat melihat kerana kami sendiri bukan orang senang. Saban hari ibuku berniaga di pasar besar Melaka dan bapaku cuma seorang pengawal keselamatan di sebuah kedai pajak gadai. Pulangnya hanya pada lewat malam.

Kesibukan ibu bapa kami ini sering diambil mudah oleh aku dan Dhiya kerana ia memberi kami peluang untuk bermain atau apa-apa yang saja yang kami rancangkan. Kami kanak-kanak yang sibuk dengan rencana segala jenis permainan meraikan alam. Kami boleh saja bermain bola, konda kondi, selipar tuju dan galah panjang di laman kecil. Bermain masak-masak menggunakan tin, botol dan barang buangan (sehingga kini kami percaya kami perintis kempen kitar semula) dan berlakon sebagai peniaga dan pembeli barang runcit yang masih menggunakan barang-barang yang sama.

Apabila tiba monsun, angin kuat menggiatkan kami bermain layang-layang dengan menarik benang berkaca dan permainan yang terunggul sekali mengalahkan kegilaan pesta bola piala dunia adalah laga ketam. Walaupun aktivis alam akan membenci kami dan permainan ini sememangnya kejam, cuma anak-anak di pesisiran sungai sahaja mengerti bahawa sumber sungai lumpur yang tidak boleh dimakan itu membazir jika disia-siakan tanpa permainan. Kerana memang menjadi resmi ketam sebagai haiwan kanibal; tanpa permainan laga pun mereka tetap berbunuhan sesama kawan.

Walau bagaimanapun, semua permainan ini masih belum cukup untuk menghilangkan kebosanan dan kekosongan Dhiya. Ketika bersidai di Persiaran Datuk Othman, matanya menerawang ke seberang sungai mengharapkan satu hari dia dapat keluar dari kepompong ini. Sekiranya dia diberi sepasang sayap, sudah lama perempuan itu jauh terbang. Perangai termenungnya itu menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Aku yang dungu ini fikir mungkin dia merindukan ayahnya yang tidak pernah wujud dalam hidupnya. Antara takut berani, perkara ini ku panjangkan kepada ibuku. Wajah ibuku yang sentiasa terlukis raut bengkeng berubah. Ibuku terdiam. Kemudian dengan ringkas tanpa tona suara belas dia menjawab;

“Nanti mak tanya ibu Dhiya! Jangan sibuk! Bukan urusan budak-budak.”

Ketika itu Ramadhan hampir tiba di penghujungnya. Dan Dhiya menyatakan satu perkara yang mengusutkan kepalanya setiap kali tibanya satu Syawal. Aku sudah risau dan menjangkakan mereka menghadapi masalah besar tidak tertanggung. Ku fikir mungkin ibu Dhiya menghadapi masalah kewangan dan perempuan itu meminta bantuan sehinggalah aku terpempan bila Dhiya menyebutnya;

“Kau tahu Adi, bila tiba pagi raya, satu benda yang paling aku menyampah, pakai baju kurung. Macam mana aku nak lari dengan baju kurung? Macam mana aku nak main dengan kain labuh? Lengan panjang? Ini masalah besar tahu tak? Masalah besar!”

Dhiya menarik nafas panjang sebelum menyambung;

“Tahun ini aku tak kan pakai baju kurung lagi! Tak kan!”

Aku terkedu memandang wajahnya seakan tidak percaya dengan apa yang ku dengar. Kemudian, aku menggeleng kepala tidak mengerti. Memandangnya seperti memandang orang mereng.

“Kau memang sewel…” Malas melayan, aku angkat punggung dan pergi.

Dengan mudah aku melupakan keluhan Dhiya. Pantas saja kami anak-anak kampung begitu sibuk meraikan Ramadhan. Malam tujuh likur pun tiba. Malam-malam bagi kemuncak pesta cahaya Kampung Morten. Kau akan lihat kami anak-anak kecil mengiringi cahaya lampu lip lap dan deretan pelita dengan permainan bunga api. Letupan dan pancutan mercun bernada riang mewarnai kanvas hitam di langit. Upacara ini berlangsung hingga penghujung Ramadhan bermula daripada tamatnya solat Tarawih setiap malam. Pesta ini wajib berlanjutan hingga lewat tengah malam dan seterusnya memberi alasan kepada kami untuk ponteng sekolah keesokan harinya kerana kami mula dijangkiti demam hari raya tahap tiga.

Ibuku walaupun bermulut lantang, namun berhati luhur rupanya telah merencanakan sesuatu untuk Dhiya dan ibunya. Memikirkan yang mereka tidak punya sesiapa dan menyambut lebaran sendirian, ibu mengajaknya menyambut bersama kami. Aku melihat ibu Dhiya merenung ibuku dengan mata berkaca-kaca. Anjuran ibuku ini disambut ibu Dhiya dengan cucuran air mata dan pelukan hangat.

Detik-detik akhir Ramadhan. Pantas masa meninggalkan kami. Hari yang paling sibuk. Ibuku telah bangun awal pagi membuat persiapan menyambut Syawal. Sarung ketupat nasi telah dianyam malam semalam. Dia sudah mula memasukkan beras yang direndam. Ibu Dhiya, sebagai penghargaan dan baru pula mendapat bonus hasil jahitan telah memasak berjenis-jenis lauk yang kebanyakan resepi datang daripada kampungnya sendiri. Ku kira inilah cara dia mengubati kerinduannya kepada kampung halaman. Acara memasak hari terakhir Ramadhan itu berselang-seli dengan celoteh dan gosip meletup-letup tidak berpenghujung ibuku sambil ibu Dhiya tetap senyum meleret dan melayan dengan santun.

Kau akan menghidu harumnya masak lodeh dengan petai, ayam kampung masak ungkep, daging masak kicap berempah, daging tetel sambal goreng Banda Kaba dan serunding kelapa. Manakala ibuku memasak masakan wajib; sambal kacang dan cili tumis udang. Jumlah hasil masakan dengan jelas berkadar songsang dengan kadar percakapan mereka. Hidangan diatur cantik di atas meja makan seperti ada pertandingan memasak peringkat final. Aku yang baru belajar berpuasa itu semacam tidak dapat menahan godaan berganda-ganda di atas meja. Hampir setiap jam aku mengendeng makanan dan memohon kepada ibu jika boleh berpuasa setengah hari. Ibuku menjeling tajam dan tanpa perasaan menjawab dengan cubitan.

Aneh sekali. Yang menjadi misteri hari itu ialah kehilangan Dhiya. Perempuan itu mengghaibkan diri seharian dan membuat aku tertanya-tanya. Apabila ku tanya kepada ibu Dhiya, dia memberitahu Dhiya di rumah sedang menjahit. Jawapan itu membuat aku bertambah bingung kerana segala tempahan telah selesai dan sejak bila pula perempuan itu mahu menjahit?

Dhiya cuma muncul apabila hendak berbuka puasa. Ibu-ibu kami yang tadi seharian memasak bersama, membuat keputusan berbuka puasa juga bersama. Dhiya duduk diam membisu. Bagaimanapun mulutnya itu menyimpul senyum yang mencurigakan. Seolah menyimpan rahsia bahagia yang tidak boleh dikongsi waima dengan aku sekali pun.

“Pergi mana satu hari? Orang sibuk memasak, kau hilang!” geram aku mencucuk melihat senyum bahagia Dhiya.

“Sejak bila kau pandai rindu dengan aku?” pandai sungguh perempuan itu mengelak menjawab.

“Rindu? Ceh… Rindu dengan rambut gerbang kau?”

Berkerut dahiku melihatnya curiga tetapi sudah malas mahu bertanya kerana perutku sudah diikat nafsu besar yang disajikan di atas meja. Jawapanku cuma terjawab keesokkan harinya.

Langit biru bersih begitu harmoni dengan bening satu Syawal. Seperti yang dijanjikan, Dhiya akan menyambut lebaran bersama kami. Dan pagi lebaran yang hening dengan sahutan takbir yang syahdu itu aku melihat kedua beranak itu menghampiri rumahku. Ibu Dhiya seperti biasa memakai kebayanya dengan kerongsang serangkai yang anggun. Dan aku melihat Dhiya dengan penuh takjub. Dhiya melangkah dengan mata berkunang-kunang. Lengkok mulutnya tidak berhenti mengulum senyum.

Aku melihat lengan bajunya yang telah di potong menjadi tiga suku. Tiada lagi kain baju kurung. Yang tinggal ialah seluar longgar. Perempuan itu dengan rambut yang masih kembang mengerbang riang telah mengubah baju kurung yang dijahit ibunya menjadi kurti.

“Adi!!” jeritnya. Gembiranya tidak terbendung.

“Cantik baju ni kan?”


Tulisan Raiha Bahaudin ini ada di dalam Kunang Pesisir Morten.

Komen