Kerjasama Politik Pakatan Harapan Dan MUDA Penting Untuk Permulaan Kestabilan Politik Negara

Ini adalah respon kepada kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkenaan kerjasama di antara DAP dan MUDA.

Kerjasama politik di antara Pakatan Harapan dan Parti MUDA adalah bukan seperti kerjasama bersama PAS seperti dahulu, di mana PAS berkepit dengan menipu rakan sekutunya dahulu melalui Pakatan Rakyat dan juga membuat demikian melalui Muafakat Nasional.

Kerjasama strategik dibentuk untuk memastikan bahawa parti-parti pembangkang yang mempunyai prinsip sama kerjasama untuk selamatkan Malaysia daripada kegagalan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional di mana urustadbir menjadi huru-hara sehingga menyusahkan rakyat. Kita juga ingin memastikan golongan kluster mahkamah tidak akan berkuasa semula.

Kerjasama ini menggunakan kekuatan politik masing-masing untuk mendapat sokongan padu daripada semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang.

Semasa Parti PAS berkepit bersama DAP dan PKR dahulu mereka sempat mendapat manfaat politik di kalangan pengundi bandar dan bukan Melayu secara mendadak kerana mereka sendiri tidak boleh mendapat undi Melayu aung mencukupi.

Daripada mengepit dengan parti ‘kawan’, PAS sempat merasakan kuasa selama dua penggal di negeri Selangor. Semasa penggal kedua PAS mula tunjuk belangnya sehingga sanggup mencetuskan konflik di dalam kerajaan negeri Selangor dan sanggup kerjasama dengan UMNO dengan mengacau undi semasa PRU ke 14.

Namun demikian mereka sendiri kalah teruk di Selangor dan jumlah kerusi parlimen turun kepada 18 sahaja.

Sejak dahulu sampai sekarang pandangan politik Parti PAS adalah sangat ekstrem sehingga mencetuskan ketidakselesaan di kalangan orang Melayu dan bukan Melayu yang cintakan harmoni. Golongan moderat dalam PAS pun sudah meluat sehingga tinggalkan PAS. Pandangan ini juga boleh diperakui oleh rakan sekutu dalam Kerajaan iaitu Parti MCA dan juga rakan sekutu dalam Perikatan Nasional, Parti Gerakan. Mereka sendiri pernah kritik parti PAS berulang kali.

Walaupun sekarang Parti PAS adalah sebahagian daripada kerajaan tebuk atap, kegagalan mereka sebagai ahli jemaah menteri mula menonjol.

Parti PAS juga tidak boleh menerima kritikan walaupun dalam bentuk satira seperti lukisan Fahmi Reza baru-baru ini. Pimpinan Parti PAS seumpama ada hati tisu dalam penerimaan kritikan.

Dengan cara Parti PAS mengepit kepada Kerajaan Keluarga Malaysia dan Perikatan Nasional seperti parasit atau pelacur politik yang gila kuasa, kita akan melihat pentadbiran kerajaan persekutuan hanya akan bertambah teruk yang akan memberikan akibat yang tidak baik kepada rakyat Malaysia dari segi sosioekonomi. Ini hanya akan mencetuskan ketidakstabilan negara.

Generasi anak muda Melayu sekarang tidak suka Parti parasit seperti PAS yang suka jual agama untuk kepentingan politik dan habuan. Generasi pengundi baru sekarang tahu menilai keikhlasan sesebuah parti politik dalam memastikan negara di halatuju yang betul. Mereka bukan naif (atau lurus bendul) seperti dianggap oleh Parti PAS.

Kerjasama Pakatan Harapan dan MUDA akan memberikan Harapan baru untuk rakyat Malaysia bermulanya dengan Johor supaya kita boleh mula memberikan kestabilan kepada negara dari segi ekonomi, pentadbiran yang lebih cekap dan halatuju yang positif untuk negara.

Komen