Ini Paroi Jangan Main

MALAM itu Zharif mengikut Ujang dan geng ultrasnya ke Stadium Paroi. Negeri Sembilan akan melayan kunjungan Selangor dan Negeri Sembilan wajib menang untuk memastikan mereka ke peringkat seterusnya dalam kancah Piala Malaysia. Sesuatu yang tidak dapat dibayangkan oleh seluruh peminat Negeri Sembilan ialah bagaimana pasukan mereka terpaksa melalui keadaan genting sebegini setelah bangga dinobatkan sebagai Juara Piala Malaysia sebanyak 2 kali beberapa tahun sebelumnya. Di manakah salah dan silap Negeri Sembilan sehingga begitu alpa dalam mencari mata selamat ke peringkat seterusnya?

Kehadiran penonton macam selalu, sekitar 5 ribu orang, jarang terlebih. Zharif memilih untuk duduk di kawasan tengah teres stadium. Bukannya dia tidak mahu duduk bersama Ujang, Mat Jin, Black dan geng ultras, tetapi tempat paling terbaik menonton bola di stadium ialah di tengah, bukan di sudut belakang gol. Lagipun Zharif memang tak pernah mahu dilihat bersama ultras.

Pergi ke stadium ini boleh dikategorikan sebagai acara santai juga. Berehat sambil menyaksikan keunikan bola sepak tempatan dan gelagat penyokongnya. Kalau duduk di teres atas sekali, lagi baik. Sesekali angin bayu bertiup memang stim. Kalau nak tolak ‘dam’ pun line clear, kalau hisap lagi la sesuai.

Perlawanan di antara Negeri Sembilan dan Selangor masuk minit ke-35. Kedudukan masih lagi Selangor mendahului dengan 1 gol. Penyokong Negeri Sembilan mula tak senang duduk.

“Tolak la bola tu bangang!!” Jerit seorang abang yang datang bersama anak bininya.

Rasanya tak sampai 5 saat bola sampai ke kaki pemain tadi dan abang tu dah mula menjerit memberi arahan untuk menghantar bola kepada rakan. Beliau dan beberapa penyokong lain dah mula tak senang duduk. Mereka benar-benar marah dan tidak peduli lagi pada telinga anak kecil yang mendengar makian mereka. Pada mereka, pemain dilihat bermain seperti tidak mahu menang. Heh, sebenarnya kalau tengok dari atas teres stadium memang la nampak mudah, hantar bola ke atas, ke kanan, tukar side atau buat cross. Cuba masuk dalam padang, tengok macamana.

“Haaaa!!! Pogang tolo eh tu biar dio tak dapek lari!” Jerit abang botak penjual air bila Aidil berhadapan dengan seorang pemain import berkulit hitam.

Adat menyokong bola di Malaysia ini memang menarik. Sepuluh minit pertama semua ghairah menyokong, masuk minit ke-30 dah mula tertekan, jika masih tidak menghasilkan gol di masa kedua akan mula keluar maki hamun. Kemudian apabila pemain baru menghantar bola ke depan untuk menyerang, penyokong mula ghairah semula. Dan bila gol dicetak, mereka akan bersorak gembira, walau tadi dekat sebakul maki hamun dilontarkan kepada penjaring gol tersebut. Inilah orgasme bola sepak sebenar.

Tapi kadang-kadang tu memang jelas juga kekurangan pemain yang masih kelam kabut dengan asas bola sepak seperti menahan atau menendang bola. Membuat hantaran ketika dilihat lebih baik memegang bola itu dahulu atau terlalu lama menggentel bola sedangkan sepatutnya telah melorongkan kepada rakan di hadapan. Mana penyokong tak berapi makiannya? Penyokong memang boleh memaki kerana mereka tidak perlu menjadi profesional sangat sementara pemain dibayar mahal untuk menerima makian tersebut. Adil?

“Dah kau tendang sampai langit sapa nak tanduk bola kau tu… Banganggggg! Makan taikkkk!” Jerit seorang lagi brader berambut kerinting yang tak tahan melihat tendangan percuma diambil melambung tinggi. Sampai tersembul urat leher dia memekik.

Zharif tersenyum sendiri melihat telatah penyokong Negeri Sembilan. Inilah ultras sebenar, bisik hatinya. Inilah penyokong yang datang setiap kali perlawanan melibatkan pasukan negeri, tak kira jatuh bangun kalah menang. Asal ada perlawanan, ada la mereka. Asal menyala lampu stadium, sampai la mereka. Kalau dulu datang solo sebab masih bujang, bila sudah berkahwin, angkut anak bini pula datang ke stadium.

Dari zaman stadium terletak di tengah bandar Seremban hinggalah berpindah ke STAR of Paroi, mereka menyokong tanpa prejudis.

“Kau tau, mereka ini lebih ultras dari kawan kau kat sana tu.” Zharif memoncongkan bibirnya ke arah ultras yang sedang bernyanyi di bawah seliaan Mat Jin.

“Kenapa kau cakap macam tu?” Balas Ujang yang baru saja melabuhkan punggungnya ke lepa konkrit sebelah Zharif.

“Kau tau, mereka ni dah datang stadium lama sebelum bebudak kau tu pandai sifir 12 lagi, hahaha. Kau nampak makcik tu, satu stadium ni kenal dan respek dengan dia walau hanya satu perkataan aje yang keluar dari mulutnya, ‘cedokkkk! cedokkkk!’ entah apa yang nak dicedok, takda siapa tahu. Tapi semangat dia jauh lebih tinggi, lebih suci.”

“Suci abah kau! Makcik tu atau penyokong lain, memang aku mengaku mereka dah lama turun stadium. Memang mereka sangat vocal. Sangat bersemangat, tapi ini bukan setakat datang stadium menjerit, memaki, memberi sokongan. Ultras ada perjuangan yang lebih jauh dari itu.”

“Hehehe… Perjuangan apa? Kau nampak tak Shakir tu. Marah bila bola tak sampai kat dia, tapi bila bola sampai, tendang pakai keting, tanduk lelap mata, perjuangan apa? Ini bola sepak Malaysia la Jang, semua game dah diatur, kita ditipu hidup-hidup, kau pun tau hal ni.”

Ujang diam. Dia rasa sedikit tercabar dengan kenyataan Zharif tapi dia cuba tenangkan dirinya. Dia tak kisah jika Zharif suka membandingkan kualiti bola sepak tempatan dengan luar tapi janganlah perjuangan ultrasnya dihina, dia hangin juga. Semua ini adalah hak masing-masing nak jadi apa.

“Kau tau apa Brian Clough cakap dalam bukunya?” Tanya Zharif.

Ujang diam tak memberi reaksi. Ayat “kau tau” yang dari tadi keluar dari mulut Zharif tu semakin menambahkan geramnya. Macam la dia tau semua benda atau macam la aku ni tak tau apa-apa.

“Brian Clough kata dia boleh melatih sekumpulan monyet untuk tendang bola sekuat hati atau setinggi yang boleh, kemudian kejar bola tu, pastu dia akan hantar monyet tu semua ke sarkis, hah! Sama la teknik pemain bola kita ni main, macam monyet jugak! Monyet sarkis! Kahkahkah.”

“CMC kau tau? CMC?” Balas Ujang menahan geram.

“CMC? Apa tu?”

“Cakap Macam Champion! Kau ni CMC la,tau?”

“Hahahaha, apahal? Tak betul ke apa aku cakap?”

“Aku tak kata salah, tapi tak perlu la sampai nak keluar statement Brian Clough kau tu. Ini bola sepak kita, latar belakang kita, tau? K I T A. Memang main hampeh, tahan bola kelaut, bookie dan FAM tak berguna, tapi takkan kita nak terus biarkan? Kau setuju kalau kita terus biarkan atau kita lakukan sesuatu, ubah!”

“Heh.” Hanya itu yang keluar dari mulut Zharif.

“Heh? Itu je kau dapat cakap? Kalau kau tau sangat sejarah bola Inggeris, kau mesti lebih tau bagaimana mereka boleh naik dari zaman liga yang dianggap kelas ketiga di Eropah sampai la sekarang. Sama kompetitif dengan liga lain, kau sebut Brian Clough, kau mesti tau macamana dia bawa Derby County jadi juara Divisyen 1 dan Nottingham Forest dari sebuah kelab yang tiada harapan hingga menjadi juara Eropah sebanyak 2 kali. Kau mesti tau bagaimana usaha dia nak jadikan bola sepak ini satu permainan yang cantik atau kau hanya tau Liverpool aje? Tipikal!”

Panjang lebar juga Ujang bercakap melepaskan geramnya. Zharif hanya mengangguk-anggukkan kepalanya sambil tersengih, gaya macam mendengar lagu guna headphone. Karakter tak boleh kene tiau sikit, dasar penyokong kelab lemah mental.

“Ultras ada misi lain, kau hanya nampak kami melompat menyanyi, pukul gendang. Bukan aku tak tau ramai yang mengutuk, kata ultras baru nak tengok bola semenjak menang AFF atau terus menyanyi walau Malaysia main macam haram. Takpe… Aku tak kisah. Bola sepak Malaysia ada bookie jangan tengok, takpe… Aku tak kisah, kami tetap datang, beri sokongan, kenapa? Kenapa kami masih ada walau Malaysia sudah tak menang AFF lagi?”

“Air bang?” Sapa seorang penjual air yang lalu di depan mereka.

“Bagi dua, abang kita ni haus tak berhenti bercakap lagi ni.” Minta Zharif sambil memerli Ujang.

“Burger rasa kadbod ada? Kuaci ke?” Tambah Zharif lagi, berlagak serius.

“Takda bang, air je.” Balas penjual air sambil memasukkan duit ke dalam beg sandangnya dan berlalu. Zharif menghulur kepada Ujang air warna hijau sementara Zharif meminum air berwarna merah.

“Kalau ada kuaci pun best gak ni.” Kata Zharif.

“Ahh, kau tak payah nak perli la Zharif. Apa salah tengok bola sambil makan kuaci atau burger? Kau nak kata semua tu takda di liga luar? Orang putih tengok bola tak makan kuaci atau burger?”

“Apa lak perli ni, mana ada aku perli?” Zharif ketawa.

“Kalau orang kita tengok bola sambil makan kuaci, apa salahnya? Bagi aku kalau dah itu gaya dan budaya tengok bola di Malaysia, biarlah. Kita dengan budaya kita.”

“Aku tak pernah dengar pulak ultras ni budaya kita?” Balas Zharif, tajam.

“Memang bukan budaya kita, tapi ini hanya untuk mengembalikan semula kegemilangan bola sepak Malaysia, kita nak buat orang datang semula ke stadium dan sokong pasukan kita. Stadium ini pernah hebat suatu ketika dulu, itu antara misi ultras.”

“Smoke bomb, flare, capo. Apa lancau semua tu, budaya dan bahasa kita ke?” Zharif terus sinikal, menggasak Ujang.

“Aku kata tadi memang bukan budaya kita, tapi ultras kena menonjolkan diri mereka, baru dilihat dan mendapat perhatian, smoke bomb dan flare adalah alat terbaik untuk menarik perhatian, ada part kita kene radikal. Kalau ultras sebut ‘cedokkk, cedookk’ macam makcik itu boleh juga, tapi habis satu musim pun orang tak beri perhatian, tapi jadi bahan lawak. Dengan smoke bomb, flare semua tu baru dapat perhatian media, masuk paper, menteri buat kenyataan bla, bla. Nampak?”

“Hehehe…” Zharif ketawa kecil.

“Tapi bola sepak Malaysia ni penuh dengan rasuah Jang, bookie yang tentukan kalah menang. Kita pulak tak boleh nak tentukan siapa yang ambil duit di tengah padang tu sebab kualiti pemain adalah sama. Pemain yang suci jujur ikhlas pun tendang tak kene, yang ambik duit pun sama, tendang lelap mata, habih camno? Hahahaha!”

“Hehehehe, sebenarnya siapa bookie ni Zharif? Aku tanya kau, kenapa polis Malaysia yang hebat dan banyak selesaikan masalah tak dapat nak hapuskan terus rasuah bola sepak ni? Kau pelik tak? Aku kuat rasakan polis memang tahu semua hal bookie, ada rekod pemain mana yang ambil duit dan berapa duit pertaruhan. Cuma polis tak bertindak aje, kalau mereka masuk, esok bola sepak Malaysia bungkus la. Takda siapa yang tinggal, semua ke dalam. Polis macam tersepit. Terpaksa biarkan sebab macam ada kuasa yang lebih besar mereka tak boleh langgar.”

“Uikk… Maksud kau, bookie ini lebih power dari polis, menteri dan FAM?”

“Ya, atau mungkin bookie itu sendiri adalah polis, menteri dan FAM. Boleh jadi. Di sinilah misi ultras Zharif. Ultras nak bersihkan bola sepak Malaysia ni. Bukan kami tak nampak kerenah atau kebebalan pemain, jurulatih, pengadil dan persatuan negeri, tapi tak guna nak serang mereka. Aku rasa mereka juga tersepit, ikut telunjuk atau ada wahyu dari atas yang mereka kena ikut. Tangan mereka dah kena pulas.”

“Ohh, itu yang minta Presiden FAM sila letak jawatan tu. Hmmm, aku kurang setuju agenda tu sebab siapa pun jadi presiden, pemain Malaysia tetap sama je. Bangang abadi!”

“Ah kau… Otak kau tu kena bukak sikit. Misi ultras juga nak cuci kepala otak orang Malaysia yang terlalu mengagungkan pemain luar macam kau ni. Bola sepak Malaysia dimainkan oleh orang Malaysia, orang Sabak Bernam, orang Kinta, orang Rembau, takkan kau nak tiba-tiba jadi power macam Rooney, Persie semua. Tak adil la. Apabila Presiden FAM digantikan, kerja mencuci lebih mudah dari atas, segala kesulitan selama ini boleh diubah.”

“Kau agak siapa yang sesuai jadi presiden? KJ? TMJ? Annuar Musa?”

“Semua ada kelebihan tetapi aku secara peribadi tidak mahu seseorang yang kuat berada di atas, nanti susah nak suruh turun. Atas tu duit banyak, berjuta masuk, memang kau sayang nak lepaskan kerusi kau bagi kat orang lain.”

“Gol! Kau nampak tak? Cibai Hamzanis, langsung tak terbang nak selamatkan.”

“Heh.”

Selangor menambah jaringan menjadikan kedudukan selesa 2 gol hasil tandukan mudah Amri Yahyah. Memang nampak tak masuk akal untuk Hamzanis tidak melakukan percubaan untuk menepis bola sebaliknya beliau seperti terpaku melihat bola melambung masuk ke dalam gawang. Tapi, bola itu bulat, rumput itu hijau. Ada bookie kah yang mengikat kaki Hamzanis?

Maka secara berjemaah dan bagai berwirid lagaknya penonton Negeri Sembilan memaki dan menepuk kepala. Sementara itu di satu sudut, ultras terus bernyanyi.


Tulisan Nasron Yassin ini ada di dalam Murtad Liverpool (lalu memeluk fahaman ultras).

Komen