India sudah mencatatkan 1,649 kes Covid 19 dengan 41 kes kematian di seluruh negara ketika artikel ini ditulis.
Kalau ikutkan data ini, India masih di bawah Malaysia. Dengan populasi 1.3 bilion manusia berbanding Malaysia yang cuma 33 juta, India kelihatan okey.
Masih jauh lagilah perjalanan kalau nak banding;
Amerika Syarikat dengan 215,300 kes, 5,110 kematian
Itali dengan 110,574 kes, 13,155 kematian
Sepanyol dengan 104,118 kes, 9,387 kematian
Covid19 di India boleh dikira 2 minggu di belakang AS dan 4 minggu di belakang Itali. Baru sangat nak bermula.
Tapi selepas Perdana Menteri India Narenda Modi buat arahan 21 hari lockdown bermula 25hb Mac hari itu, dunia mula bagi perhatian serius pada India.
India secara am di mata dunia sebelum ledakan Internet, adalah sebuah negara dalam filem Bollywood dan Kollywood. India adalah Amitabachan, Yash Chopra, Amrish Puri, Lata Mageshkar, Asha Bosle, Sharmila Tagore, Rajesh Khanna, Hema Malini, Rajinikanth, Kamal Haasan, dan pada era seterusnya ia dilambangkan pula oleh Shah Rukh Khan, Udit Narayan, Kajol, Amir Khan, Salman Khan, Mahduri Dixit dan Karisma Kapoor (sekadar memetik beberapa nama).
Rakyat India sangat seronok dan addicted dengan paparan ‘on screen‘, kerana itu sahaja hiburan yang murah dan available untuk mereka melupakan segala masalah.
Sebagai contoh, filem masyhur Dilwale Dulhaniya Le Jeyenge ditayang selama 20 tahun di teater Maratha Mandir, Mumbai.
20 tahun setiap hari 2 kali tayangan dari 19 Oktober 1995 sehingga 19 Februari 2015. Non stop brader. Panggung penuh setiap hari. Gilaa tak gilalah.
Ibarat K-pop hari ini yang berjaya menjual culture mereka melalui eksport filem, drama dan lagu, begitu jugalah India suatu masa dahulu malahan masih berterusan sehingga ke hari ini.
Tetapi selepas munculnya Internet, dunia secara perlahan mula mengenali India dengan lebih dekat.
Filem Slumdog Millionaire (Oscar Best Picture 2008) antara filem yang membuka mata ramai tentang betapa peritnya masalah sosioekonomi dihadapi India.
Kepadatan:
Slum area (setinggan, ghetto favela, jhuggi) boleh dikatakan Orange Is The New Black di India, terutamanya di pekan besar seperti Mumbai, Delhi, Kolkata, Chennai, Jaipur dan Bhubaneshwar.
Contohnya largest slum in the world, slum Dharavi, Mumbai – berkeluasan cuma 2.1 kilometer persegi, tetapi slum ini menempatkan 700,000 orang manusia. Kau pejam mata kemudian bayangkan!
Dan di seluruh India ada lebih kurang 65,000 slum runcit-runcit. Gabungkan semua ini ada 93 juta manusia hidup dalam slum area.
Apa maksud hidup dalam slum?
Maksudnya, di situ hampir tiada langsung:
Bekalan air bersih
Sanitasi
Tandas yang sesuai
Pendidikan untuk kanak kanak
Jagaan kesihatan
Infrastruktur
Atau hampir tiada keperluan asas hidup manusia.
Gelandangan:
Selain slum, India juga menghadapi isu besar lain yakni masalah gelandangan yang teruk dengan anggaran populasi homeless mencecah 1.8 juta orang.
Mereka ini hidup bawah jambatan, bawah flyover, bawah tiang lampu, di kaki lima jalan, di merata-rata asalkan boleh pacak khemah atau ada ruang sikit nak baring.
Aku pernah ke India beberapa kali sekitar tahun 2007-2009 atas urusan kerja. Aku ke Mumbai, Delhi, Kolkata, Bhubaneshwar, Haldia dan Paradeep. Antara yang aku ingat, aku naik teksi dari Hyatt Calcutta ke bandar pelabuhan di Haldia. Masa perjalan pergi 3 jam lebih, walhal cuma 100 kilometer. Jalannya ya Tuhan sempit macam jalan masuk kampung.
Jalan sempit dan banyak kenderaan satu hal, satu hal lagi sepanjang perjalanan 3 jam pergi dan 3 jam balik itu, sepanjang jalan kiri dan kanan terlalu ramai orang. Kau bayangkan begini, kau lalu masuk kampung tiba-tiba di depan ada kenduri kahwin, sesak kan? Begitulah perjalanan aku cuma bezanya kali ini kenduri kahwin sepanjang jalan sejauh 100 kilometer. Gila!
Masa pulang, pemandu ajak aku jalan pusing Calcutta dia nak bawa aku tengok slum area. Slum area dah jadi tempat pelancong melawat.
Di Mumbai? Delhi? Tidak perlu diperjelaskan macam mana padatnya manusia. Berjalan berhimpit di pasar malam? Mungkin begitulah, cuma di Mumbai atau Delhi boleh cakap ada pasar malam di mana-mana.
Itu cerita 12 tahun lepas.
Hari ni, keadaan masih tak banyak beza malahan semakin teruk.
Statistik menunjukkan 21.9% rakyat India hidup di bawah garis kemiskinan. Ini bersamaan 390 juta orang di India hidup dengan pendapatan kurang daripada 100 Rupee (RM5.70) sehari.
RM5.70 sehari nak tampung keluarga.
Manakala rakyat yang terlibat dalam informal economy pula berjumlah hampir 400 juta orang dengan purata pendapatan hanya RM300 sebulan.
Rakyat yang tidak ada kerja langsung?
7.3% atau lebih kurang 95 juta orang.
Di India hari ini, nisbah katil dan penduduk cuma 0.7 katil untuk setiap 1,000 orang. Di India jumlah private healthcare lebih banyak berbanding public healthcare. Keadaan ini sangat ironi kerana orang miskin beratus kali ganda lebih ramai dari kumpulan M40 dan T20. Senario yang tidak selari.
Dan di perenggan awal tadi aku beritahu yang dunia mula bagi perhatian pada India selepas Modi umum 21 hari lockdown. Kerajaan berikan tempoh beberapa jam saja supaya rakyat India balik duduk diam-diam di rumah.
Semua kena duduk diam-diam di rumah, social distancing.
Ini pun satu benda yang ironi, kerana social distancing di India merupakan perkara luxury. Macam mana nak social distance kalau ‘pasar malam’ ada di setiap inci tanah?
Kenapa dunia mula bagi perhatian pada India?
Sekarang cuba bayangkan,
93 juta manusia di slum area
1.8 juta pula bergelandangan
390 juta lagi kais pagi belum tentu esok boleh makan
400 juta yang lain kasi pagi makan pun pagi
95 juta orang langsung tidak tahu macam mana nak makan setiap pagi
Dan sekarang semua mereka ini kena duduk di rumah atau di mana-mana saja asalkan social distancing, tidak boleh keluar selama 21 hari dan kemungkinan extended only God knows sampai bila.
Covid 19 mencemar India bermula pada 30 Januari di Kerala, salah sebuah negeri paling miskin di India. Sekarang Covid 19 telah tersebar ke Maharashtra, Andra Pradesh, West Bengal, Gujerat, Punjab, Karnataka, Delhi, Jammu, Kashmir, Uttar Pradesh dan Telegana.
Askar Covid 19 sedang mara menghambat manusia – ia tidak kenal siapa duduk slum, siapa homeless, siapa below poverty line atau siapa jobless.
Dilema India paling utama yang menjadi perhatian dunia hari ni ialah;
Keluar rumah = potensi diserang Covid 19
Duduk rumah = kelaparan
Dalam situasi yang maha tersepit begitu, bagaimana rakyat India bisa melawan Covid 19?
Mengambil kata kata seorang kanak-kanak yang kerja sehariannya mencari sisa makanan di tempat pembuangan sampah di Mumbai;
“Saya dengar ada penyakit sedang menyerang, dan kami tidak boleh keluar langsung dari kediaman. Kata mereka penyakit ini ambil masa 2 minggu untuk berjangkit, dan kalau sakit mungkin ambil masa 2 minggu lagi sebelum mati.
Tetapi tahukah mereka?
Ia cuma mengambil masa 5 hingga 7 hari untuk kami mati jika kami tak keluar mencari makanan?”
Seorang Takafulman yang berjaya. Juga penulis buku antaranya Dari Tanjung Malim Ke KLCC, Dari KLCC Ke Tanjung Malim dan Proletar Dua Menara. Menetap di Tanjung Malim sejak kecil sehingga kini bergelar bapa.