Selain China, belum ada lagi negara di dunia yang batalkan lockdown/stayathome kempen. Lockdown, MCO, RMO atau apa saja namanya, masih tetap berjalan – di seluruh dunia.
Selepas 100 hari Covid 19 memberi shock wave, di peringkat global kita belum nampak tanda tanda penurunan. Malah di sebahagian hemisfera pula, Covid 19 ini baru sahaja memulakan serangan.
Kitaran serangan demi serangan di segenap sisi dunia ini membuktikan yang kita sedang berhadapan dengan pertarungan sengit yang sangat panjang.
Vaksin dijangka hanya akan tersedia paling awal pertengahan tahun 2021. Keyword dia “paling awal”.
Kalau paling lambat? Entah.
Berdasarkan fundamental ancaman yang kita alami ini, maka kita tahu – pertarungan ini akan berlarutan dan kita perlu bertahan, adapt, survive dan progress dalam ruang yang tersedia.
Covid 19 memberi naratif yang dunia tidak akan sama sperti dulu, dan tanpa sedar kita sedang beradaptasi melalui proses tersebut.
Hitam adalah putih yang baru.
Budaya dan resam
Bersalaman, berkenduri kendara, berhari raya, berupacara – akan menjadi sesuatu yang taboo. Katakan kita sudah tidak amalkan budaya ini untuk beberapa tahun, semua ritual tradisi diringkaskan dan dimudahkan seadanya – maka rutin kita sedang berevolusi ke arah itu.
Agama
Masjid, Gereja dan kuil – akan perlahan lahan hilang fungsinya. Aku ambil sikit pandangan Amy Sullivan Pengarah Strategy Vote Common God, dia cakap lebih kurang macam ni;
“Agama dan kepercayaan akan melalui fasa yang getir. Agama dan kepercayaan akan betul betul berdiri atas paksi individu dalam keluarga kecil untuk melakukan segala rutin ibadah secara sendiri”
Dengan kata lain, sebagai orang Islam Covid 19 memaksa kita supaya berAgama tanpa solat jemaah di masjid, tanpa solat terawikh di surau, tanpa berkumpul gotong royong sembelih lembu kambing untuk ibadah korban, tanpa ziarah menziarahi di hari raya dan tanpa kenduri kendara.
Sekali fikir, memang jadi takut.
Tapi sedar tak sedar, kita dah melaluinya selama sebulan, macam mana kalau berterusan?
Online sosioekonomi
Peringkat awal RMO, kita mengeluh – tak boleh berniaga, tak boleh bekerja, tak boleh itu dan tak boleh ini. Tapi selepas seminggu makcik pakcik yang kita suka makan di gerai mereka sebelum ni dah mula offer buat delivery. Di pekan kecil, di kampung kampung pemandangan delivery semakin ber-imaroh. Sayur, ikan, ayam, buah buahan, kuih muih dan segala keperluan domestik masyarakat setempat boleh dihantar ke depan pintu rumah.
Kalau dulu kita cakap “aku tak puas beli online, kena pergi mall pegang material baru puas hati”. Tapi hari ni prinsip macam tu kita terpaksa ketepikan. Kita kena beli online, sekali, dua kali, tiga kali dan akhirnya kita selesa, seterusnya sikap tu bertukar menjadi kelaziman.
Begitu juga dengan pekerjaan di pejabat. Kalau sebelum ni kita semua skeptikel yang bekerja itu mesti di pejabat, tapi sekarang tidak lagi.
Hari ni kita mengadap Zoom, Skype atau Teams menyelesaikan mesyuarat, buat report, siapkan planning – hal yang biasanya kita cuma buat di pejabat.
Dan kita semakin sedar “ehh boleh je setelkan di rumah”. Semua orang terjurus untuk memudahkan kerja dari rumah, dari CEO sampailah ke kerani bawahan. Konsep bekerja manusia sedang mengalami evolusi.
Majikan dah mula berfikir – kenapa perlu sewa pejabat mahal mahal kalau semua staff boleh urus dari rumah?
Pembangunan realiti virtual juga akan lebih drastik demi memberikan pengalaman sosial kepada pekerja tanpa perlu berhubung secara fizikal.
Ya online ekonomi tak boleh selesaikan semua jenis pekerjaan sekarang, itu pasti.
Tapi dalam keadaan sekarang, semua yang kita perlukan adalah bersifat online. Ironi kan?
Pendidikan
Hari ni anak anak kita kena belajar di Google classroom. Cikgu bagi kerja sekolah dan latihan ikut Whatsapp, Telegram. Semua ni tak biasa, tapi hari ni kena biasakan. Cuma kalau berterusan kita mesti tengok secara serius macam mana nak sediakan jaringan internet, peranti/laptop untuk anak anak yang susah supaya mereka juga berpeluang belajar dalam talian.
Betapa disruptive senario ni akan jadi – mak ayah tak perlu keluar duit beli uniform, beg, kasut sekolah, yuran, buku latihan, hatta tak perlu keluar duit belanja sekolah anak sebab hari hari makan di rumah.
Cikgu cikgu pula tak payah hadap komplen mak ayah, tak payah marah, tak payah tengking murid. Semua tanggungjawab tu mak ayah dah ambil sebab anak belajar dari rumah.
Rasa macam susah nak direalisasi dan hampir tak lojik kan? Lojik atau tidak kita sedang melalui dan menyesuaikan diri.
Kekeluargaan
Suami lebih kenal isteri, ibu lebih rapat dengan anak anak. Anak anak lebih masa dengan ibu ayah. Mak jadi makin rajin memasak, keluarga banyak masa bersama. Hubungan kekeluargaan sepatutnya akan bertambah baik. Ya aku tahu banyak juga pergaduhan dan penceraian bila kena paksa lockdown duduk sama sama. Tapi peratusannya terlalu kecil nak dibanding dengan kebaikan lain dalam aspek hubungan kekeluargaan.
Alam Sekitar
Ketika kita bertarung melawan Covid 19, bumi pula kini sedang berehat.
Ya bumi berehat.
Sejak lebih 150 tahun selepas Rockefeller menemui petroleum, Andrew Carnagie membangunkan Steel industry, Vanderbilt menemukan railroads, dan Henry Ford menemukan motokar;
Sejak itu bumi ini bekerja menyerap segalanya – tanpa henti.
Hari ni tiba tiba kereta tidak boleh bergerak sebarangan, kilang tidak boleh beroperasi sesuka hati, hutan tidak lagi ditebang, mungkin lebih separuh penyejuk udara yang beroperasi di dunia sudah dalam mode off sejak sebulan. Tidak ada bunyi bising kapal terbang, tidak ada sisa kimia dibuang – entah berapa banyak penurunan carbon emisson di atmosfera, entah berapa inci ketebalan lapisan ozon telah diselamatkan, entah berapa suhu di kutub utara berjaya diturunkan.
Bumi sedang memperbaiki dan memulihkan dirinya.
Kemanusiaan
Hari ni kita sedar, pengasingan diri menjadikan kita lebih ingin mengambil berat dan mengambil tahu sesama manusia. Kita jadi less individual. Kita jadi kurang polarize, kita mahu bersama membawa misi melawan Covid 19 the common enemy. Kita lebih patriotik. Kita mula melupakan konflik lain sebab kita ada singularity of purpose.
Ahhh betapa aneh apa yang Covid 19 sedang lakukan kepada kita.
Sejak lebih 10,000 tahun – kehadiran virus telah beberapa kali mengubah haluan dan sejarah ketamadunan dunia.
Antonine plague, Justinian plague, Cyprian plague, The Black Death, The Columbian Exchange, The Great Plague of London, Cholera, Spanish Flu dan pada zaman kita kini – Novel Coronavirus aka Covid 19
Mungkinkah Covid 19 akan sekali lagi mengubah tatacara peradaban dunia?
****
Aku akhiri tulisan panjang ini dengan sepotong contengan spray yang tertera di sebuah jambatan di Wuhan;
Maksud tulisan tu lebih kurang begini;
“Setelah masalah ini selesai kita akan kembali kepada kehidupan normal. Tapi bagaimana kita boleh kembali kepada kehidupan normal kalau kehidupan normal itu lah punca kepada masalah?”
Maka bersedialah kita untuk menilai,
bahawasanya;
Hitam adalah putih yang baru.
Seorang Takafulman yang berjaya. Juga penulis buku antaranya Dari Tanjung Malim Ke KLCC, Dari KLCC Ke Tanjung Malim dan Proletar Dua Menara. Menetap di Tanjung Malim sejak kecil sehingga kini bergelar bapa.